Wednesday, June 13, 2007

Mundur selalu jika tak sokong dia ?

Kalau tak sokong hok (kerajaan) buat mundur dan kolot selalu ? Begitulah satu tajuk berita hari ini , kerana menolak ini lihat ni........................Hapus PTK: Cuepacs berfikir mundur, sempit
Jabatan Perkhidmatan Awam menyifatkan cadangan Cuepacs supaya peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dimansuhkan, sebagai satu langkah kebelakang dan berpandangan sempit.

Ketua pengarahnya Tan Sri Ismail Adam berkata perkhidmatan awam sukar melahirkan pekerja berilmu berkelas dunia tanpa adanya penilaian dari semasa ke semasa terhadap tahap kecekapan kakitangannya.

"Cuepacs tidak boleh berpandangan sempit dengan melihat habuan terdekat iaitu soal kenaikan gaji dan pangkat sahaja apabila bercakap tentang PTK," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini.

Baru-baru ini Cuepacs meminta agar PTK dimansuhkan dengan alasan antara ialah soalannya tiada kaitan dengan bidang kerja, tiada jaminan kenaikan gaji dan pangkat walaupun telah lulus PTK, dan PTK tidak menggambarkan tahap kecekapan sebenar seseorang pegawai kerajaan kerana ada pegawai yang lulus PTK tidak cekap bekerja dan ada pula yang cekap bekerja, gagal PTK.

PTK merupakan satu komponen Sistem Saraan Malaysia yang diperkenalkan pada 1 Nov 2002 dengan tujuan utama untuk menggalakkan kemajuan diri melalui pembelajaran berterusan, meningkatkan budaya pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi.

Dalam menghuraikan pentingnya PTK, Ismail berkata kecekapan seseorang itu tidak dapat diukur kecuali dengan adanya satu sistem penilaian.

Katanya cadangan Cuepacs supaya PTK digantikan dengan Sistem Pengembangan Professional Berterusan iaitu pembelajaran sepanjang hayat melalui kursus dan induksi sahaja tidak memadai tanpa adanya aspek penilaian.

"Kalau kita belajar sahaja dan kita tidak diuji maka kita tidak tahu sejauh mana kefahaman, impak dan aplikasi ilmu itu," katanya.
Ismail berkata PTK diwujudkan supaya ilmu yang diberi dapat dinilai dan akhirnya menyumbang ke arah meningkatkan prestasi jentera kerajaan.

Beliau mengakui bahawa daripada 719 agensi kerajaan yang menyediakan PTK untuk 272 jenis perkhidmatan mungkin terdapat sedikit kelemahan dan kekurangan.

Namun, katanya, segala kelemahan dan kekurangan itu boleh diatasi, dan dalam hal ini, kesatuan sekerja mempunyai peranan untuk memberikan cadangan melalui Majlis Bersama Jabatan.

"Tambahan pula, peperiksaan dan penilaian dalam PTK boleh dibuat dalam bentuk esei, aneka pilihan, amali, pemerhatian dan ujian lisan," katanya.

Sambil memberi analogi pemain badminton perseorangan negara, Lee Chong Wei yang mempunyai ranking tertentu dalam kalangan pemain dunia, dan Malaysia mempunyai ranking dalam kalangan negara perdagangan dalam dunia yang kompetitif, Ismail berkata kakitangan awam pun perlu mempunyai ranking.

"Soal penilaian dan ranking bagi perkhidmatan awam di awal zaman kemerdekaan tidak penting, tetapi ia merupakan aspek penting dalam dunia yang kompetitif sekarang," katanya.
Ismail juga mengakui bahawa memang benar lulus PTK tidak menjamin kenaikan gaji atau pangkat secara mutlak.

Bagi mendapatkan anjakan gaji, selain lulus PTK, pegawai perlu disahkan dalam perkhidmatan, berkhidmat tidak kurang daripada tiga tahun, mencapai tahap prestasi yang baik dan diperakukan oleh ketua jabatan sebelum boleh dipertimbangkan manakala bagi kenaikan pangkat, selain lulus PTK, kecekapan dan prestasi pegawai, kemahiran dan pengalaman, sifat peribadi dan kesesuaian dengan jawatan kenaikan pangkat, merupakan antara aspek yang diambil kira.

"Ibarat seseorang lulus ujian memandu lori, tak semestinya dia boleh jadi pemandu lori sebab majikan meletakkan syarat-syarat lain juga."Tetapi jika dia tak lulus ujian memandu lori, dia langsung tidak boleh dipertimbangkan untuk jadi pemandu lori," katanya.

Ismail berkata sektor swasta dilihat sebagai enjin pertumbuhan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan oleh kerana sektor awam berperanan sebagai fasilitator kepada sektor swasta, kakitangan awam mempunyai peranan dalam hal itu."Kita perlukan jentera kerajaan yang dianggotai pekerja berilmu dan berprestasi tinggi," katanya.

No comments: