Monday, May 28, 2007

Syabas terhadap kemajuan ini !!!!

System penyampaian babitkan projek ICT mampu pertingkat kualiti perkhidmatan

PENDEKATAN konsep ‘tanpa kertas atau kurang kertas’ yang diperkenalkan beberapa tahun lalu mendorong kerajaan menjimatkan tenaga, wang dan masa, walaupun konsep itu ia belum dapat dilaksanakan sepenuhnya atas sebab tertentu termasuk mengkehendaki pindaan undang-undang.Malah, orang ramai yang beratur panjang untuk berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan juga sudah berkurangan berikutan kewujudan konsep yang lebih mesra pengguna.Bayangkan, jika dulu kita terpaksa mengejar masa untuk memperbaharui lesen memandu, kini segala-galanya boleh dilakukan hanya dengan mengunjungi kios yang disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan di pejabat pos. Malah, sekarang kita sudah boleh membayar saman hanya dengan melayari internet berbanding sebelum ini, kita cuma boleh menyemak sama ada kena saman atau tidak.Mungkin ramai juga yang tidak tahu bahawa kini sudah wujud perkhidmatan penghantaran peringatan tarikh luput lesen memandu kepada orang ramai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).Jika satu ketika dulu, pencari kerja terpaksa menjelajah ke beberapa pejabat atau membelek pelbagai jenis akhbar, kini kerja kosong diiklankan menerusi talian, malah permohonan juga boleh dibuat melalui internet.Pernahkah berlaku kepada anda sebagai seorang kakitangan kerajaan menghadapi kesukaran mencari sesuatu maklumat atau fail apabila pegawai yang mengendalikannya tidak hadir atau bercuti. Namun, segala-galanya dipermudahkan, malah semua maklumat mampu dicari hanya dengan membuka sistem komputer.Dengan penggunaan teknologi terkini secara dalam talian, pengguna tidak perlu lagi beratur panjang, memikirkan masalah kesesakan lalu lintas, masalah tempat letak kereta malah boleh melakukannya pada bila-bila masa selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.Pengarah Bahagian e-KL, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) di Jabatan Perdana Menteri, Wan Mohd Rosdi Wan Dolah, berkata sistem ini bakal menjadikan kerajaan elektronik tercanggih dan terbaik di dunia pada 2010.Contohnya, sekarang jika pelanggan bertanyakan sesuatu berkenaan Majlis Perbandaran Selayang di Majlis Perbandaran Kajang, jawapan yang akan mereka terima ialah “Maaf, encik perlu ke Selayang.” Namun, dengan pelaksanaan e-KL, tiada istilah salah pintu akan berlaku lagi kerana pelanggan akan dilayan walau di mana saja mereka berurusan.Harapan dan sasaran kerajaan adalah untuk menghapuskan terus penggunaan borang secara fizikal pada satu masa nanti, namun kajian berkenaan perkara itu masih diteliti kerana masih terdapat beberapa borang yang terikat dengan akta tertentu dan tidak boleh dipinda sesuka hati.Semua ini adalah hasil beberapa projek di bawah aplikasi perdana kerajaan elektronik dan bukan projek perdana kerajaan elektronik sehinggakan cita-cita untuk melihat negara ini menjadi negara berasaskan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sepenuhnya pastinya bukan lagi omong kosong.Sebanyak tujuh aplikasi perdana dilancarkan sebelum ini iaitu aplikasi perdana kerajaan elektronik, telekesihatan, sekolah bestari, kad pintar pelbagai guna, kelompok penyelidikan dan pembangunan, perniagaan elektronik serta pembangunan usahawan tekno yang setiap satunya dikendalikan agensi berbeza.Mampu diberi tanggungjawab menerajui projek aplikasi perdana kerajaan elektronik yang dibahagikan kepada tiga kategori perkhidmatan iaitu kerajaan kepada kerajaan (G2G), kemudahan untuk orang ramai (G2C) dan komuniti perniagaan (G2B).Dalam projek aplikasi perdana kerajaan elektronik pula, tujuh projek dilaksanakan iaitu e-Perolehan, Sistem Pemantauan Projek (SPP II), e-Khidmat, Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), Persekitaran Pejabat Generik (GOE), e-Syariah dan Bursa Buruh Elektronik (ELX).Projek yang bukan di bawah aplikasi perdana pula ialah Portal Perkhidmatan Awam (myGovernment), e-Tanah, e-Concent, e-Filing, e-Pihak Berkuasa Tempatan (e-PBT), e-Kehakiman, Sistem Maklumat Kastam (SMK), Sistem Pensions Online Workflow Environment (Power), Sistem Maklumat Latihan Secara Online (e-Sila) dan Sistem Afis Pendatang Tanpa Izin (Pati-Afis).Pengarah Bahagian Pembangunan Kerajaan Elektronik, Mohd Fouzi Wan Ab Rahman, berkata bagi memastikan keberkesanan dan kelancaran pelaksanaan projek kerajaan elektronik, kerajaan turut melaksanakan empat projek infrastruktur sokongan utama.Projek itu adalah Perkhidmatan Rangkaian Kampus Putrajaya (PCN), Perkhidmatan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan, Perkhidmatan Public Key Infrastructure (PKI) dan Sistem Pemantauan Rangkaian ICT Sektor Awam (Prisma).Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan projek kerajaan elektronik, didapati banyak peningkatan kualiti berlaku dalam perkhidmatan sektor awam kerana beberapa penjimatan utama dapat dihasilkan iaitu membabitkan masa, tenaga, dan kecekapan pekerja.“Konsep ‘tanpa atau kurang kertas’ yang cuba dilaksanakan kerajaan kini sudah mula menampakkan hasilnya di mana semua pihak sudah boleh menikmati kemudahan kerajaan dengan pantas dan berkesan tanpa perlu membuang masa dengan kaedah konvensional yang kita amalkan sebelum ini.“Jika dulu, borang yang ditawarkan di internet secara dalam talian perlu dimuat turun oleh pengguna, kini banyak yang sudah dinaik taraf dan pengguna boleh mengisi permohonan menerusi internet dan pemprosesannya juga lebih mudah dan pantas,” katanya.Mohd Fouzi berkata, walaupun kerajaan mensasarkan konsep tanpa kertas, masih ada beberapa borang terikat dengan akta tertentu dan tidak boleh dipinda sesuka hati.“Ada borang yang jika hendak dipinda untuk dimuatkan secara dalam talian perlu terlebih dulu dipinda aktanya seperti borang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana kandungan borang itu sendiri termaktub dalam akta. Justeru pindaan mesti dibuat ke atas akta sebelum borang itu dipermudahkan untuk disesuaikan penggunaannya secara dalam talian.“Mampu juga sedang mengenal pasti beberapa sektor dan perkhidmatan yang boleh ditingkatkan kualiti perkhidmatannya dengan memikirkan kaedah sesuai menjadikannya sebagai satu daripada perkhidmatan disediakan secara dalam talian,” katanya.Justeru, untuk meletakkan negara ini pada landasan tepat menuju status negara maju menjelang 2020, kerajaan tidak pernah menoleh ke belakang dan tidak berkompromi memantapkan sistem penyampaian membabitkan projek ICT dilaksanakan pelbagai agensi.

No comments: