Januari 2007 bulan paling panas
TOKYO 9 Feb. – Bulan Januari 2007 direkodkan sebagai Januari paling panas di dunia dalam satu lagi bukti yang menunjukkan pengeluaran gas rumah hijau menjadi punca pemanasan global.
Ahli-ahli sains Jepun hari ini berkata, suhu di seluruh dunia dicatatkan 0.45 darjah Celsius melebihi suhu purata bagi Januari, yang tertinggi sejak angka itu mula direkodkan pada tahun 1891.
Agensi Meteorologi Jepun berkata, suhu dicatatkan tinggi di timur Rusia dan utara Eropah.
“Sebab-sebab di sebalik suhu yang tinggi ini dianggap sebagai kesan daripada pemanasan global akibat peningkatan gas karbon dioksida dan juga akibat fenomena El Nino dan pergerakan berkitar secara semula jadi dalam peningkatan suhu,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kajian itu disiarkan seminggu selepas satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mempersalahkan kegiatan manusia ke atas pemanasan global dan meramalkan peningkatan dalam kejadian taufan, kemarau dan bencana alam yang lain menjelang akhir abad ini.
Laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) memberi amaran bahawa suhu boleh meningkat antara 1.1 hingga 6.4 darjah Celsius menjelang 2100.
Ia juga meramalkan bahawa perubahan iklim akan menyebabkan bencana lebih dahsyat yang pernah dialami sebelum ini dengan lebih kerap lagi.
Jepun, yang menjadi tuan rumah bagi Protokol Kyoto yang bertujuan memerangi pemanasan global, mengalami musim salji yang luar biasa, di mana cuacanya agak panas dan salji berkurangan.
Agensi Meteorologi Jepun bagaimanapun berkata, suhu yang dicatatkan bulan lalu hanyalah yang keempat tertinggi setakat ini, dengan 1.44 darjah melebihi paras normal.
Rekod tertinggi dicatatkan pada Januari 1989 apabila suhu di Jepun dicatatkan 2.09 darjah lebih tinggi daripada paras normal.
No comments:
Post a Comment