Thursday, January 18, 2007

PERKASAKAN SEKOLAH KEBANGSAAN UNTUK NEGARA

Marilah kita melihat pandangan media sebenarnya, boleh juga dianggap sebagai pandangan rakyat, kerana peranan media adalah menjadi pengantara pembuat dasar dengan kehendak dan kemahuan rakyat teramai. Media yang terpimpin adalah media yang independent serta berpendirian tersendiri, media yang dipimpin lebih mirip dan cenderung memapar dan luahkan kehendak penguasa atau pemiliknya itu sendiri.
Pandangan di bawah ini boleh dikira sebagai pandangan rakyat teramai, marilah kita halusi dan hayati penjelasan dan kupasan media di bawah ini ..
TIADA siapa dapat menafikan bahawa kemajuan sesebuah negara atau tamadun di dunia dari dulu sampai sekarang amat bergantung kepada sejauh mana pengetahuan dan ilmu yang dimiliki rakyatnya.

Dalam era moden, Malaysia yang memiliki masyarakat berbilang kaum sudah tentu amat bergantung kepada kesediaan rakyatnya untuk menerima pakai satu sistem pendidikan tunggal yang menjadi kebanggaan bersama.

Kita yang sudah lama mendapat kemerdekaan daripada penjajah British sepatutnya dapat menerima satu pendidikan yang seragam bagi semua kaum.

Tidak ada lagi dua atau tiga sistem pendidikan yang berlainan di negara ini atas alasan untuk menjaga kepentingan setiap kaum. Dipendekkan kata, kita sepatutnya berasa malu jika tidak dapat menerima sistem pendidikan kebangsaan yang diakui menjadi benteng pertahanan perpaduan paling kukuh bagi negara ini dalam jangka masa panjang.

Tetapi apa yang diimpikan itu sebenarnya tidak tercapai sampai sekarang – atas pelbagai alasan yang sengaja diada-adakan sedangkan kita bakal menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara pada 31 Ogos tahun ini.

Justeru keputusan terbaru kerajaan melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 diharap dapat mengubah senario itu kepada yang jauh lebih baik, sebagaimana kita impikan selama ini.

Melalui pelan ini, kerajaan sebenarnya telah membuat keputusan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) daripada segenap segi seperti prasarana, guru dan kurikulum yang bertaraf dunia.

Pelan baru ini dibentuk dengan tujuan untuk melahirkan modan insan yang mampu berfikir ‘di luar kotak’ pemikiran yang agak merugikan seperti sekarang.Kerajaan sudah menyatakan kesanggupan mengeluarkan perbelanjaan yang begitu besar bagi menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi di semua sekolah luar bandar.

Ia dibuat dengan satu matlamat – setiap kemudahan yang disediakan itu baik prasarana, kualiti guru, kepimpinan dan kokurikulum yang ditawarkan di SK diakui bermutu tinggi dan bertaraf dunia oleh semua kaum.
Kita percaya, kerajaan sengaja meletakkan sasaran ini dengan harapan akhirnya semua kaum di negara ini tidak dapat tidak, akan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan demi masa depan mereka dan negara sekaligus.

Menjadi impian kita, SK bakal menjadi wahana terbaik untuk memupuk perpaduan kaum sejak dari peringkat awal persekolahan kanak-kanak lagi.SK perlu mencerminkan budaya Malaysia, menunjukkan pencapaian yang cemerlang dari segi akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah serta mempunyai persekitaran yang kondusif.

Pada akhirnya, budaya kerja yang positif itu mampu menawarkan program pendidikan yang berasaskan pelanggan bagi menarik minat semua ibu bapa dan pelajar dari pelbagai latar belakang, kaum dan agama.
abah... sokong ke arah pembinaan negara bangsa yang ada 'teras' !!!!

No comments: