Thursday, April 17, 2014

Karpal Maut Dalam Kemalangan Kereta

Pemergian secara tragis ke atas tokoh pembangkang ternama di pagi hari kelmarin disambut dengan penuh kepiluan. Waran warni perjalanan politik negara telahpun dicorakkan oleh insan ini. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui dengan apa sahaja perancangannya.



Karpal Singh Maut Dalam Kemalangan

Diterbitkan: Khamis, 17 April 2014 7:09 AM
Karpal Singh
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Pengerusi DAP, Karpal Singh, 74, maut dalam kemalangan ngeri di kilometer 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gua Tempurung kira-kira pukul 12.40 pagi Khamis.
Turut terkorban ialah pembantu peribadi Karpal iaitu Michael Cornelius, 40-an.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata,  pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak.
Katanya, seorang anak pemimpin pembangkang itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV, C.Selvam, 27, tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.
"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya.
Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.
Ahli Parlimen Gelugor itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah.
Anaknya yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo ketika dihubungi menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata Karpal maut ditempat kejadian.
Keadaan MPV yang dinaiki Karpal selepas terbabit dalam kemalangan awal pagi Khamis.
Ng berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.
Operasi menyelamat kesemua mangsa dalam kemalangan itu dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Twitternya dari Angkara, Turki mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Karpal atas kematian Pengerusi DAP itu.
Beberapa ahli politik termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Twitternya turut menyatakan takziah atas kematian Karpal.

"Kita kehilangan seorang rakan, pejuang yang tidak tahu erti penat serta seorang lagenda keadilan... takziah kepada keluarga," tulis Anwar di Twitternya.

Sunday, April 13, 2014

Kenapa Gajet Di larang ke atas Kanak-Kanak

Gajet rosakkan minda kanak-kanak


PETALING JAYA - Penggunaan gajet seperti tablet dan telefon pintar dalam tempoh jangka masa panjang dalam kalangan kanak-kanak boleh merosakkan pemikiran mereka dan mengundang kepada masalah antisosial serta ketagihan.
Presiden Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kebanyakan ibu bapa pada zaman moden yang sibuk bekerja sering menggunakan peralatan digital itu untuk menghiburkan dan menarik perhatian anak-anak mereka.
Menurutnya, fenomena tersebut amat membimbangkan terutama apabila menyaksikan kanak-kanak berusia bawah lima tahun sudah pandai bermain gajet.
"Peralatan digital ini seolah-olah pengganti kepada ibu bapa sehingga menyebabkan hubungan kekeluargaan antara mereka dan anak-anak menjadi renggang," katanya.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

10 Sebab Kanak-kanak Bawah 12 Tahun Patut Dilarang Sama Sekali Dari Menggunakan Gajet

Akedemi Pediatrik Amerika dan Persatuan Pediatrik Kanada menyatakan kanak-kanak dari umur 0-2 tahun tidak sepatutnya didedahkan pada teknologi, 3-5 tahun dibenarkan hanya sejam sehari, dan 6-18 tahun hanya dua jam sehari.
Bagaimanapun, kanak-kanak dan remaja dibenarkan menggunakan gajet oleh ibu bapa mereka pada jangkamasa 4-5 kali ganda dari yang disyorkan, dengan kesan yang serius dan mengancam nyawa.
Seorang pakar terapi pediatrik, Cris Zone menyarankan agar kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang sama sekali bagi menggunakan gajet. Beliau memberikan 10 sebab:-
1. Perkembangan otak

Di antara 0 – 2 tahun, saiz otak kanak-kanak membesar tiga kali ganda dan terus berkembang hingga berusia 21 tahun (Christakis 2011). Perkembangan awal otak ditentukan oleh rangsangan alam sekitar, atau kurang rangsangan alam sekitar. Rangsangan kepada otak yang berkembang yang disebabkan pendedahan keterlaluan kepada teknologi (telefon bimbit, Internet, iPad, televisyen) telah dibuktikan berkait rapat dengan kekurangan fungsi dan perhatian dalam melakukan sesuatu, kognitif lembap, pembelajaran terjejas, peningkatan kepada perlakuan mengikut emosi dan kurang kebolehan untuk mengawal selia diri, contohnya mengamuk (Small 2008, Pagini 2010).
2. Perkembangan fizikal terbantut

Menggunakan gajet mengurangkan pergerakan, yang boleh menyebabkan perkembangan terbantut. Seorang dari tiga kanak-kanak kini memasuki sekolah dalam keadaan perkembangan terbantut, memberikan impak negatif pada pencapaian akademik dan literasi (HELP EDI Maps 2013). Pergerakan fizikal meningkatkan perhatian dan kebolehan belajar (Ratey 2008). Penggunaan teknologi untuk kanak-kanak bawah 12 tahun cenderung untuk menyebabkan kerosakan perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak (Rowan 2010).
3. Obesiti Epidemik

Permainan video dan televisyen berkait dengan peningkatan kadar obesiti (Tremblay 2005). Kanak-kanak yang dibenarkan menggunakan gajet dalam bilik tidur mempunyai 30 % lebih bukti yang mereka obes (Feng 2011). Seorang dari empat kanak-kanak Kanada dan seorang dari tiga kanak-kanak AS obes (Tremblay 2011). 30% dari kanak-kanak obes akan mendapat kencing manis, dan individu obes mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat serangan strok dan jantung di awal usia, memendekkan jangka hayat (Center for Disease Control and Prevention 2010). Disebabkan obesiti, kanak-kanak abad 21 mungkin menjadi generasi pertama yang akan mati dahulu sebelum ibu bapa mereka (Professor Andrew Prentice, BBC News 2002).
4. Kurang tidur

60% ibu bapa tidak mengawal selia penggunaan teknologi oleh anak-anak mereka, dan 75% anak dibenarkan penggunaan teknologi dalam bilik tidur (Kaiser Foundation 2010). 75% kanak-kanak dari usia 9-10 tahun tidak cukup tidur sehinggakan memberi impak negatif kepada pencapaian akademik (Boston College 2012).
5. Penyakit mental

Penggunaan teknologi secara keterlaluan diimpikasikan sebagai penyebab kepada peningkatan kes kemurungan di kalangan kanak-kanak, kebimbangan, gangguan ikatan kekeluargaan, autisme, gangguan bipolar, psikosis dan kelakuan kanak-kanak bermasalah (Bristol University 2010, Mentzoni 2011, Shin 2011, Liberatore 2011, Robinson 2008). Satu dari enam kanak-kanak di Kanada telah didiagnosis mengalami masalah mental, dan kebanyakannya mengambil ubat psikotropik (Waddell 2007).
6. Keagresifan

Kandungan media yang ganas boleh mengakibatkan keagresifan pada kanak-kanak (Anderson, 2007). Lebih ramai kanak-kanak didedahkan dengan insiden keganasan fizikal dan seksual dalam media masa kini.“Grand Theft Auto V” mendedahkan kanak-kanak kepada perlakuan seks, pembunuhan, rogol, penyeksaan dan pencacatan secara jelas, begitu juga kebanyakan filem dan rancangan televisyen. AS telah mengkategorikan keganasan dalam media sebagai risiko kesihatan orang ramai kerana impak kasual kepada keagresifan kanak-kanak (Huesmann 2007). Terdapat peningkatan laporan media tentang kanak-kanak yang dikurung atau diasingkan dalam bilik khas kerana keagresifan yang sukar dikawal.
7. Demensia Digital

Kandungan media yang terlalu pesat boleh menyumbang kepada defisit perhatian, serta kurang kepekaan dan memori kerana otak memangkas trek neuron kepada korteks hadapan (Christakis 2004, Small 2008). Kanak-kanak yang tidak dapat menumpukan perhatian tidak dapat belajar.
8. Ketagihan

Apabila ibu bapa lebih mendekatkan diri mereka kepada teknologi, mereka menjauhkan diri dari anak-anak. Apabila tidak wujud ikatan dengan ibu bapa, anak anak mengikat diri mereka kepada gajet, yang boleh mengakibatkan ketagihan (Rowan 2010). Satu dari 11 kanak-kanak berumur 8-18 tahun ketagih teknologi (Gentile 2009).
9. Pengeluaran radiasi

Pada Mei 2011, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan telefon bimbit (dan kebanyakan gajet tanpa wayar) sebagai risiko kategori 2B (agen kanser berkemungkinan) disebabkan oleh pengeluaran radiasi (WHO 2011). James McNamee dari Healh Canada pada Oktober 2011 mengeluarkan amaran menyatakan “kanak-kanak adalah lebih sensitif kepada pelbagai agen berbanding orang dewasa disebabkan otak dan sistem imuniti mereka sedang berkembang, jadi risikonya tidak sepatutnya sama antara orang dewasa dan kanak-kanak (Globe and Mail 2011). Pada Disember 2013, Dr. Anthony Miller dari Sekolah Kesihatan Orang Ramai Toronto mengesyorkan yang berdasarkan kajian terbaru, pendedahan frekuensi radio patut di klasifikasikan semula sebagai 2A (agen kanser yang berkemungkinan besar), bukan 2B (agen kanser yang berkemungkinan). Akademi Pediatrik Amerika memohon untuk penilaian semula tentang pengeluaran radiasi EMF dari alatan teknologi, sambil merujuk kepada tiga sebab yang berkaitan impak kepada kanak-kanak (AAP 2013).
10. Tidak dapat dikekalkan

Cara kanak-kanak dibesarkan dan diberi pembelajaran menggunakan teknologi adalah tidak boleh lagi dikekalkan (Rowan 2010). Kanak-kanak ialah masa depan kita, tetapi tidak ada masa depan untuk kanak-kanak yang menggunakan teknologi secara berlebihan. Satu pendekatan berpasukan perlu dan penting untuk mengurangkan penggunaan teknologi di kalangan kanak-kanak.
Laporan asal: Huffington Post

Saturday, April 12, 2014

Najib Oh Najib ......Hidup Lakonannya ?

Di atas sifat sebagai insan dan sesama manusia Najib bertemu Haron Din tak ada masalah. Itu adalah tanggungjawabnya sebagai ketua negara.

Namun , rakyat dan kita tidak boleh menerima tindakannya mengurutadbir negara dengan teruk. Rakyat terperit dan terjepit ditengah-tengah arus kemodenan kini.

Hidup lakonan Najib, lawatan ini dapat 'kendurkan' kemarahan rakyat agaknya ?


Najib Ziarah Haron Din Di IJN

Diterbitkan: Sabtu, 12 April 2014 4:15 PM
MESRA... Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbual mesra bersama Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din (kiri) yang kelihatan ceria dan semakin sihat semasa kunjungan Perdana Menteri ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Sabtu. -fotoBERNAMA
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu menziarahi Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Najib yang tiba pada jam 1.30 tengah hari meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama Haron yang menerima rawatan di IJN sejak seminggu lalu.

Haron, 73, kelihatan ceria sambil ditemani anaknya Dr Huda Haron dan menantu, Dr Azlin Azzuddin.

Turut serta pakar perunding kardiologi IJN, Datuk Dr Amin Ariff Nuruddin.

Bekas hakim terlibat kes rampasan kuasa Perak dapat projek RM2.2 Billion - Nurul Zzzah


 

Bekas hakim terlibat kes rampasan kuasa Perak dapat projek RM2.2 Billion

PAROI 12 APRIL: Adalah perkara biasa di Malaysia apabila bekas ketua hakim dianugerahkan projek besar meskipun wujud konflik kepentingan, kata pemangku Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengaitkan bekas ketua hakim negara, Tun Zaki Azmi yang dianugerahkan projek Lebuh Ekspres Kinrara- Damansara (KIDEX Skyway) bernilai RM2.2 bilion beberapa tahun lalu.

Menurut Izzah, Zaki yang merupakan kroni Umno BN menjadi pemegang saham terbesar dalam projek berkenaan, selepas bersara sebagai ketua hakim negara.

“Sejarah Tun Zaki Azmi sendiri, iaitu bekas ketua hakim di mana beliau terlibat dengan isteri beliau dalam projek Kidex bernilai 2.2 billion.

“Ini makanan mereka (Umno) terus mengkayakan kroni, mengaburi mata rakyat kononnya membuat sesuatu projek untuk kemudahan rakyat, tapi dalam masa yang sama poket sendiri juga perlu (dipenuhkan),
“Habis rakyat ini macam mana? Terus susah dan dihimpit bebanan?,” Soalnya ketika ditemui pemberita dalam Program Jelajah Reformasi 2.0 fasa 2 di Paroi, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Projek yang menelan belanja RM2.2 billion itu sebelum ini dikritik Pakatan Rakyat (PR) kerana dinugerahkan kepada dua konsesi iaitu Tun Zaki dan Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.

Kedua-dua tokoh berkenaan terlibat dengan rampasan kuasa oleh Umno di Perak pada 2009.
Izzah berkata, rakyat perlu sedar dan bangkit menentang kezaliman Umno BN yang hanya mencari jalan untuk terus mengkayakan kroni tanpa memikirkan kesusahan rakyat.

“Sampai bila kita nak terus diam dengan apa yang mereka lakukan? Bukan baru sekali dua, sebelum ini dengan skandal PKFZ, kali ini projek bernilai RM2.2 melibatkan orang-orang mereka juga, yang kaya itu mereka, kita dapat apa?,” katanya.

Tuesday, April 08, 2014

Satu lagi Dasar Negara akan jadi macam DEB ? - Nurul Izzah

Ramai pendidik merungut dengan kemudahan YES. Dalam memperkasa wifi di sekolah-sekolah seluruh negara kerajaan telah membelanjakan berbillion ringgit bagi memudahkan para pendidik mengakses wifi. Tujuan adalah pempelajaran maya dapat diperkasa sebagai yang diwawaskan dalam 3 Fasa Gelombang bawah PIPP oleh menteri pendidikan tempoh hari.
Ini adalah dasar-dasar negara yang menrangkumi dasar sosial dan pentadbiran serta dasar ekonomi negara. Rakyat tidak terhafal dan ingat dengan banyak sangat dasar-dasar negara. Justeru, manakah dasar-dasar negara yang dapat dan boleh dibanggakan.

Terbaru, Ku Li sendiri mempersoalkan kejayaan dan keberkesanan DEB negara yang diagungkan salah satu dasar ekonomi terbaik di dunia. Katanya dasar ini dicemburi oleh banyak negara-negara membangun di dunia. Kerana atas teramat berjaya serta terkesannya dasar ini.

Kini, dasar mengayakan kroni diteruskan lagi , seperti apa yang diperkatakan oleh YB Nurul Izzah. Dasar 1MDB. Dasar berkenaan juga bermatlamat amat murni dan bagus, tetapi perlaksanaan lebih kepada mengutamakan dan mengayakan kroni. Bukan mahu memberi jaminan kesejahteraan dan kebaikan kepada rakyat teramai. Sebagaimana niat asal dasar-dasar berkenaan dicipta dan dibina.





Jelaskan kenapa 1MDB diberi tender solar secara terus – Izzah


KUALA LUMPUR 7 APRIL: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan kerajaan menganugerahkan tender secara langsung kepada 1Malaysia Development Fund (1MDB) bagi projek loji tenaga solar.
nurul izzah_2Katanya, projek loji solar 50MW melibatkan 500 ekar tanah di Kedah itu, dianugerah melalui tender langsung meskipun rekod dan kepakaran 1MDB diragui.
“Kerajaan perlu jelaskan mengapa buat tender secara terus kepada 1MDB walhalSustainable Energy Development Authority (SEDA) juga telah buat bidaan untuk kuota tenaga tetap antara 1MW dan 5MW pada tahun 2012,”
“Projek solar 1MDB akan ceroboh kawasan TNB, selain itu kemasukan 1MDB akan meminggirkan syarikat kuasa solar yang lebih kecil,” kata Nurul Izzah.
1MDB dilihat memonopoli projek kuasa solar bermula dengan pembelian aset lebih RM10 bilion termasuk aset kuasa Tanjong, Jimah dan Genting, 2000MW projek arang batu dan 50MW untuk projek panel solar.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan rekod dan kepakaran 1MDB untuk menguruskan projek solar dan satu kajian perlu dilakukan untuk mengenalpasti kesan kepada penduduk setempat.
Tambah Izzah, kos projek untuk loji solar 50MW dianggarkan sehingga RM900 juta walaupun harga sel solar dilihat menurun dan ini merupakan satu strategi kerajaan sebagai sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi.
“Kerajaan perlu segera jelaskan jenis bantuan yang diberikan kepada projek itu untuk menampung selera kuasa 1MDB,” ujarnya.

Thursday, April 03, 2014

Kaji Sistem Radar, Bukan Tukar Terus - Bekas Panglima Logistik Udara

Kaji penyelenggaraan sistem radar, bukan terus tukar – bekas Jeneral

(Oleh: Lyn Nasir)
KUALA LUMPUR 30 MAC : Bekas Panglima Logistik Markas Logistik Udara, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab menggesa Menteri Petahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengkaji semula penyelenggaraan sistem radar pertahanan negara.
Abdul-HadiIa berikutan kenyataan Hishamuddin semalam yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha untuk menukar sistem radar dan meningkatkan kekuatan aset ketenteraan selepas insiden kehilangan pesawat MH370.
“Ini bukan soal nak pertingkatkan sistem radar, yang kita nak persoal sekarang ini ialah bab penyelenggaraan. Apakah sistem radar yang kita gunakan sekarang ini tak cukup hebat dengan bayaran mahal yang kita dah buat untuk sistem tersebut?
“Jadi menteri pertahanan dan TUDM perlu kaji semula keupayaan penyelenggaraan yang dibuat kontraktor sebelum ini.
“Sistem radar yang kita gunakan dah cukup hebat. Pastinya penyelenggaraan yang mempunyai kelemahan, sebab itu sistem radar kita tak mampu dilaksanakan di peringkat yang maksima,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya lagi, tindakan Hishamuddin yang seringkali memberi kenyataan tidak konsisten  turut dipersoal dan Menteri Pertahanan tersebut tiada  fokus yang ingin disampaikan kepada rakyat.
“Dia (Hishamuddin) tidak tahu apa sebenarnya dia cakap, apa fokus sistem pertahanan yang perlu dibuat oleh Kementerian Pertahanan, dia tidak ada hala tuju, sebab itu kenyataannya selalu tidak konsisten.
“Ini akan menyebabkan kekeliruan kepada rakyat di atas kecelaruan dan percanggahan kenyataan yang dibuat oleh diri dia sendiri, jadi rakyat akan marah,” ujarnya.

Wednesday, April 02, 2014

BELASUNGKAWA - Ust Ismail Nuh - Catatan MSO


Ismail Nuh: Pejuang yang taat dan ikhlas

BELASUNGKAWA                                                                               

Bermanja dengan Allahyarham di Makkah 2007.
Ustaz Ismail Nuh yang kembali ke sisi Khalidnya malam tadi (1 April 2014) bolehlah dikelompokkan dalam golongan ustaz atau ulamak di saf utama dalam Pas Kelantan. Dari segi senioriti beliau boleh dianggap sebagai berada di barisan kedua selepas Tokguru Nik Abdul Aziz, Ustaz Yahya Othman, Muhammad Daud Iraqi dan Mustapa Mohamad. Ustaz Yahya lebih awal dipanggil Khalidnya. Al Fatihah.

Ismail berhak atau layak diletak sekelompok dengan mereka itu. Ketinggian ilmu agamanya membolehkan beliau dikelompokkan di dalam barisan itu. Demikian juga dengan senioriti dan pengalamannya dalam parti. Tanpa banyak orang tahu Ismail juga turut sama memberi sumbangan menggerak Pas bernafas kembali selepas kalah berat tahun 1978.


Beberapa jawatan di dalam parti dan kerajaan yang disandangnya melayakkan Allahyarham berada di kelompok kepimpinan Pas di Kelantan khususnya di era Nik Abdul Aziz. Allahyarham pernah dilantik memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelanyan (2003 - 2005), Allahyarham juga menjadi ahli Dewan Ulamak Pas Malaysia dan pernah memegang Naib Ketua Ulamak Pas Kelantan. Jawatan-jawatan disandang itu cukup untuk mengikhtirafkan bahawa beliau adalah seorang tokoh Pas Kelantan.

Komitmen kepada Pas sebagai sebuah parti Islam begitu kuat sekali. Semasa Pas membentuk kerjasama dengan Semangat 46, beliau tidak bersetuju dan menentang tahaluf siyasi yang membawa kemenangan besar kepada Pas itu tahun 1990. Bagaimana pun beliau cepat sedar dan memahami akan tujuan, akhir menyokong tindakan berkenaan.

Alalhyarham juga mempunyai jasa dalam bidang pengembangan pendidikan dan dakwah. Allahyarham pernah menjadi Penolong Pengarah YIK (bahagian pendidikan), juga pernah dilantik menjadi Ketua Pengelola Dakwah Halaqat, satu institusi yang dakwah yang digerakkan oleh parti. Manakala jasa dan bakti dalam pendidikan ditinggalkan ialah sekolah agama Slow Macahang.

Pencapaian dalam politik Allahyarham boleh dibanggakan. Allahyarham pernah menjadi ahli parlimen Pasir Mas selama dua penggal, dari tahun 1999 hingga 2008. Penglibatan dalam politiknya menarik dan mencipta sejarah tersendiri serta sukar untuk diulangi sesiapa pun. Tahun 1999 beliau bertanding merebut kerusi parlimen Pasir Mas, berdepan dengan calon atau ahli politik paling 'babil' di Malaysia, Inchek Ibrahim Ali yang mewakili BN.
Allahyarham (tengah) dimalam pengumuman keputusan.
Allahyarham menang dengan majoriti 8,575 undi. Beliau mendapat 23,967 manakala Ibrahim mendapat 15,395 undi. Tahun 2004 sekali lagi belaiu mengulangi kejayaan sama, mengekalkan kerusi parlimen Pasir Mas dengan majoriti menurun sebanyak 1,251 dalam perlawanan dua penjuru, Abdul Rahim Abdul Rahman (Umno) dan Ibrahim Ali. Beliau (bebas), beliau mendapat 17,526 manakala Abdul Rahim mendapat 16,275 sementara Ibrahim hanya 6,195 undi.

Dalam pilihan taua 2008 beliau tidak mempertahankan kerusi Pasir Mas kerana memberi laluan kepada 'musuhnya' Ibrahim Ali yang diberikan ihsan bertanding atas tikit Pas. Penyerahan kerusi Pasir Mas inilah dilihat satu pengorbanan besar Allahyarham kepada parti dan menjelaskan wala'nya sangat tinggi kepada parti dan pucuk pimpinan. Beliau sebagai penyandang dan juga selaku YDP Pas Kawasan, tidak membantah dan rela memberi laluan kepada Ibrahim.

Sesuatu yang boleh dipuji dan diikuti beliau tidak membantah mengenai kejadian ini. Beliau tidak pernah tahu mengatakan 'heh' berhubung perkara ini. Kerana parti mengarahkan demikian, beliau ikut dengan penuh hormat dan melihatnya sebagai penuh hikmah. Apa dilakukan beliau sesuatu yang besar. Sebagai seorang pejuang Islam tulen, yang hidup bersama prinsip dan dasar Pas, tetapi tiba-tiba bila diminta menyerahkan kuasa dan membantu orang yang pernah melawannya dua kali dalam pilihan raya, Allahyarham ikut tanpa sebarang bantahan. Malangnya pengorbanan beliau tidak pernah dikenang oleh 'menantang' Ibrahim.

"Pas lebih percayakan Ibrahim daripada ana," itulah sepatah kata yang boleh disifatkan sebagai rasa tidak puas hati Allahyarham di atas yang berlaku. Bagaimana pun 'keterkilan' beliau berhubung pemberian kerusi Pasir Mas kepada Ibrahim itu akhirnya seakan memberi kemenangan kepadanya apabila tidak sampai tiga bulan menang kerusi Pasir Mas atas tikit Pas, si Salentia itu menyerang Pas balik. Apa dilakukan Ibrahim itu semacam kifaraat Allah kepada pendosa dalam Pas.

Kepatuhan Allahyarham bukan saja tidak membantah malahan beliau sendiri mengumumkan nama Ibrahim sebagai calon. Selepas itu mengetuai perarakan calon ke pusat penamaan calon di pejabat Jajahan Pasir Mas, kemudian malamnya berceramah untuk memastikan Ibrahim menang.

Walaupun saya dan beliau dibezakan jarak usia tetapi masih bernasib baik kerana dapat bersahabat dan mengenali beliau dari dekat. Makan dan tidur bersama. Peluang ini saya perolehi ketika menunaikan Haji tahun 2007, kebetulan kami satu kapal dan berada dalam satu Muasasah. Tempoh mengerja Haji selama hampir dua bulan memberi ruang untuk saya mengenai serta menggali secara rengkas ilmu-ilmu agama dan politik daripada Allahyarham.

Allahyarham juga merupakan seorang yang cukup menghormati Tokguru Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin. Sepanjang malam perbualan, membincang hal ehwal politik Kelantan beliau tidak pernah lekang menyebut dan memuji kefatanah Nik Aziz dalam memimpin Kelantan. Baginya tidak ada dua atau tiga orang seperti Nik Aziz di Kelantan. "Tokguru Nik Aziz bagi ana ada maunah," begitulah akuinya.

Allahyarham mengakui baja perjuangan Islam bersama Pas dipupuk daripada pekerti dan akhlak Tokguru Nik Aziz. Kerana meletakkan Tokguru ditangga seorang hamba yang mendapat maunah menyebabkan beliau bimbang akan nasib Pas selepas ketiadaan Tokguru Nik Aziz.

"Abe Ti ambo tidak tahu apa akan jadi kepada Pas apabila Tokguru sudah tidak ada nanti," itulah antara kata-kata mejelaskan kebimbangan beliau kepada Pas Kelantan. Allahyarham juga percaya kepimpinan Nik Aziz yang boleh bertahan selama lebih 20 tahun bukan kerana ia didokong oleh rakyat yang cintakan Islam, tetapi oleh para malaikat seperti mana pernah disifatkan oleh Tokguru Nik Aziz.

Allahyarham, walaupun usianya lebih tua daripada saya, tetapi beliau memanggil saya dengan Abe Ti. Saya tidak tahu apakah muslihatnya, walaupun berkali-kali saya jelaskan yang saya lebih muda daripadanya, tetapi dia tetap panggil saya Abe Ti.

Kira-kira jam 2:40 malam tadi, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dalam usia 65 tahun. Sebagai seorang yang berjasa, pemergiannya hanya hilang dari padangan mata, tetapi perjuangannya tetap hidup. Ribuan anak-anak muridnya yang ditinggalkan itulah yang akan menjadi penerus dan pemikul amanatnya. Al Fatihah. [6:15 pm 01/04/14]

Sedih mengenang Tuan Guru semakin uzur - Pak Shukur Harun



Sedih tidak terkira rasanya ketika mendengar berita Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin bertambah uzur, walaupun ada juga ketikanya beliau menyampaikan juga ucapan dan tazkirah di beberapa tempat.

Keadaan tokoh pemimpin yang satu ini mengundang doa dari umat Islam di sana sini semoga beliau dipulihkan dari keuzuran untuk meneruskan perjuangan.

Beliau kini berumur 82 tahun dan baru-baru ini beliau menggagahkan diri menyampaikan Kuliah Subuh di masjidnya di Pulau Melaka dengan suara yang tertahan-tahan, mengundang rasa pilu para jamaah.

Kasih sayang rakyat kepadanya sepanjang masa justeru sepanjang hayatnya beliau telah mendambakan perjuangannya kepada Islam melalui wadah PAS. Menyampaikan ribuan kuliah dan ceramah, melayani rakyat pelbagai kaum dan agama di mana-mana.

Beliau adalah legasi yang akan terukir dalam sejarah dan akan dikenang lama, bahawa seorang pemimpin yang menjalani kehidupan serba sederhana, bersuara lembut, tetapi tegas telah mengambil peranan penting mewarnakan perjuangan politik Islam di tanah airnya.

Kini Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan 'Institut Pemikiran Tok Guru' sebagai mengenang jasanya bukan saja sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun, bahkan sebagai tokoh ulung pimpinan dan pemikir gerakan Islam PAS sejak puluhan tahun.

Penubuhan institut diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini.

Menteri besar itu berharap, idea, pemikiran, ilmu dan dedikasi yang selama ini dikongsikan oleh Tok Guru sejak sekian lama termasuk di peringkat kerajaan selama 23 tahun dapat dikongsi bersama oleh orang ramai.

Kekuatan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz terletak kepada istiqamah perjuangannya, menebarkan dakwah sepanjang hayat, ketegasannya mempertahankan PAS dari serangan musuh, menyuntik semangat perjuangan kepada generasi lama dan baru, wawasannya yang sangat jauh ke depan – melampaui zaman – serta kemampuannya menterjemahkan kesyumulan Islam di tengah politik baru Malaysia. Maka kepimpinannya diterima oleh semua kaum.

Untuk selama puluhan tahun, sepanjang perjuangannya, Tuan Guru menentang habis-habisan assobiyah (perkauman) kerana baginya perkauman itu adalah sebuah kejahatan, menentang kemanusiaan dan menjadi musuh Islam.

Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi penghalang utama yang berada di tengah jamaah PAS dari sebarang usaha untuk menggabungkan PAS dengan Umno, atas nama apapun. Demikian perjuangannya yang panjang, penuh makna.

Sepanjang perjuangannya,Tuan Guru mengatur strategi, mendekati pelbagai golongan masyarakat, termasuk golongan bukan Islam, mendedahkan tasawuur Islam kepada mereka hingga mereka faham. Tuan Guru lebih gemar menggunakan hujjah, khususnya ketika menghadapi politik musuh, dengan menggunakan hujah Al-Quran, Hadis dan Sunnah serta mantiq (lojik akal).

Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. Anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan.
Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Beliau mematikan semua lampu di bilik MBnya ketika solat di siang hari kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya. 

Beliau mendiami sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan untuk menjaganya.

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada tahun 2009, beliau diletakkan di antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul ‘The 500 Most Influential Muslims’.

Tuan Guru sangat bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana walaupun uzur, beliau datang juga ke mahkamah di Putrajaya dan memberi sokongan moral kepada DS Anwar Ibrahim di mana pernah pada suatu ketika dulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan DS Anwar sebagai seorang ‘Budak bijak yang dicemburui Umno.

Itulah Tuan Guru Nik Abd Aziz, perjuangangannya akan diteruskan dari generasi ke generasi. Beliau adalah kepimpinan teladan, simbol kepimpinan Malaysia yang merentasi batas kaum dan agama, iaitu hasil pengamatan dan pengalaman serta kebijaksanaannya menterjemahkan tasawuur Islam ke tengah masyarakat majmuk di negara ini.

Generasi pendukung PAS kini dan akan datang sewajarnyalah mencontohi kepimpinan beliau. Tidak bersikap jumud, tetapi terbuka dan bijaksana.
Kita berdoa kepada Allah s.w.t, supaya memulihkan kesihatan Tuan Guru in