Thursday, June 07, 2018

Norma baharu hubungan Raja, rakyat berpisah tiada Oleh Datuk Dr Hasan Mad

Norma baharu hubungan Raja, rakyat berpisah tiadaOleh Datuk Dr Hasan Mad

SAYA memulakan penulisan rencana ini dengan menyentuh cetusan gelombang norma baharu yang dilihat menjadi trend sejak kebelakangan ini, terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Norma baru pertama yang ingin saya cuit ialah mengenai keberanian rakyat sebagai pengundi melepaskan diri mereka daripada ikatan politik kepartian.
Secara terbuka mereka berani mengambil risiko memilih parti yang suatu ketika dilabelkan sebagai parti cauvinis untuk mentadbir negara, kerana mereka tahu mereka juga berkuasa menolak parti itu seandainya ia gagal mentadbir negara ini mengikut aspirasi mereka.
Proses itu telah berlalu dengan aman, maknanya rakyat negara ini bukan sahaja berani, malah mereka juga matang dan bijaksana dalam berpolitik. Ini hakikatnya.
Pun begitu, keberanian dan kematangan mereka diuji sekali lagi dalam proses selanjutnya, iaitu dalam proses pelantikan pemimpin yang sudah mereka pilih. Ujian kali ini ialah di antara mereka sebagai rakyat, dengan institusi beraja/istana, sebagai Ketua Negara.
Buat seketika negara berada dalam keadaan cemas. Semuanya berpunca daripada kealpaan sebahagian besar media arus perdana yang gagal menjelaskan kepada rakyat sebab sebenar kelewatan penyerahan watikah pelantikan kepemimpinan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Suara sumbang mula kedengaran mengheret rakyat untuk berada di pihak yang menongkah arus dengan institusi beraja/istana ini. Tragedi 10 Mei hampir tercetus. Mujur keadaan dapat dikawal, akan tetapi, jauh di lubuk sanubari rakyat telah berputik satu sentimen bahawasanya rakyat dan Raja berpisah mungkin.
Sentimen ini dihangatkan lagi selepas insiden itu apabila ada beberapa individu berpengaruh dengan terang-terang mula mempersoalkan kewibawaan institusi beraja/istana ini. Tindakan itu amat tidak wajar bagi keadaan di negara ini.
Kecuaian amat besar
Kita akui bahawa selama ini kerajaan acap kali alpa dalam memupuk dan menyuburkan budaya 'rakyat dan Raja berpisah tiada' dalam kalangan rakyat. Ia sekali gus mencetuskan persepsi dalam kalangan sebilangan besar rakyat sebagai institusi itu hanya menjaga kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam, di samping acara yang berbentuk adat istiadat. Ini kecuaian amat besar yang wajib diperbetulkan segera.
Dalam struktur pemerintahan negara, fungsi Yang di-Pertuan Agong ini amat signifikan. Seandainya rakyat, kerajaan dan institusi beraja/istana berada di pihak yang bertentangan, pentadbiran negara akan terganggu.
Negara akan kucar-kacir dan rakyat berbelah-bahagi. Saya ingin mengambil satu contoh yang paling terkini bagaimana gangguan kepada kelancaran pentadbiran negara boleh tergugat bila rakyat, kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu berada dalam pihak yang tidak sehaluan. Ia mengenai pelantikan Peguam Negara.
Media wajib menyebarkan kefahaman kepada rakyat bagi menggambarkan proses pemilihan Peguam Negara dengan cara yang paling telus. Proses itu dilakukan secara kolektif di antara kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong.
Rakyat tahu bahawa kerajaan cuba memilih seorang Peguam Negara yang mampu mengembalikan maruah dan kewibawaan (integriti) badan ini yang tercalar berpunca daripada kesilapan sebelum ini. Jika proses itu telus dan dipersetujui bersama, pastinya siapa juga yang dipilih oleh kerajaan dan dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak akan menjentik hati rakyat untuk bersangka buruk terhadap institusi beraja/istana.
Inilah masanya kebijaksanaan media ditagih untuk melembutkan hati dan memujuk semua rakyat untuk tidak bertembung dengan institusi beraja/istana. Sebaliknya, secara strategik, berhemah dan penuh sopan, rakyat memberikan isyarat bahawasanya mereka sekelian berada di pihak yang sama dengan institusi beraja/istana dalam menyelesaikan kemelut ini.
Saya yakin institusi ini akan berlembut dengan pendekatan sebegini dan akur dengan syor kerajaan yang rakyat pilih. Inisiatif ini sesuatu yang mempunyai alasan kuat kerana untuk melakukan sebaliknya, iaitu mendesak institusi beraja/istana untuk bersama dengan rakyat, amat janggal.
Harmonikan hubungan
Menerusi rencana ini saya menagih sokongan semua media, termasuk media sosial, untuk sama-sama mencetuskan satu norma baharu, iaitu berusaha ke arah mengharmonikan hubungan institusi beraja dengan rakyat, melalui jalinan persefahaman dalam budaya kerja yang saling menghormati di antara Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan.
Jika ini dapat dilakukan, bukan sahaja kewibawaan institusi beraja/istana dapat dipertahankan, malah rakyat sendiri yang akan memperkuatkan lagi kedudukan institusi ini. Di pihak kerajaan pula, mereka telah diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara, mereka wajib berperanan segera, termasuk melakukan proses perundangan yang sewajarnya.
Pantau pentadbiran
Rakyat juga tidak rugi bila berada di pihak yang sama dengan institusi ini kerana kedua-duanya akan lebih berkesan memantau keberkesanan pentadbiran kerajaan yang mereka pilih. Secara tidak langsung apabila institusi beraja/istana menyedari bahawa rakyat setia bersamanya, pastinya apa jua tindak-tanduk yang institusi ini ambil akan memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat.
Kepada Peguam Negara yang baru, beliau juga wajib menerima hakikat bahawa rakyat baru berjinak-jinak untuk menerima satu lagi norma baharu, iaitu mempunyai seorang Peguam Negara bukan Islam.
Jika diperhalusi aspirasi Yang di-Pertuan Agong, ia turut menggambarkan baginda juga menerima pelantikan Peguam Negara ini sebagai satu norma baharu, sambil mengingatkan tanggungjawabnya untuk sentiasa memelihara hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Itulah juga aspirasi dan harapan kami sekelian terhadap Peguam Negara yang baharu ini, Tommy Thomas.
Saya penuh yakin bahawa rakyat negara ini terdiri daripada golongan yang amat menurut kata, tidak agresif, tidak mudah melatah, bijaksana dalam bertindak secara berani dan berhemah. Namun, mereka wajib disajikan dengan maklumat yang betul.
Dalam konteks pemilihan Peguam Negara misalnya, semua media wajib sepakat dan konsisten dalam menyampaikan mesej ini kepada rakyat bahawa, Perdana Menteri yang mewakili kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili institusi beraja/istana, bukan bertindak atas cita rasa peribadi masing-masing.
Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong akur kepada proses dan kriteria pemilihan yang telus, yang turut difahami dan diterima oleh semua rakyat. Rakyat dan Raja berpisah tiada, tatkala rakyat sekelian juga berada bersama kerajaan. Inilah yang dinamakan satu norma yang baharu.
Dirgahayu Tuanku.
Penulis adalah Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Melayu

No comments: