SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak gentar dengan pertembungan tiga penjuru kerana mereka telah menjangkakan situasi berkenaan akan berlaku pada pilihan raya (PRK) Parlimen Sungai Besar menjelang 18 Jun nanti.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, tiga penjuru adalah satu situasi pasti harus dihadapi di Sungai Besar berikutan tiada kerjasama daripada Pas.
“Amanah dari kelahirannya telah tahu soal tiga penjuru ini satu kemungkinan dan masalah timbul apabila Pas mempunyai satu sikap keras kerana tak mahu bekerjasama.
“Kalau Amanah tak ada, tiga penjuru tetap akan berlaku sama ada dengan BN, Pas, DAP atau PKR,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menolak pendapat sesetengah pihak yang mengatakan pertembungan tiga penjuru hanya membawa keuntungan kepada BN.
“Sebab itu, kita letakkan calon supaya beri satu alternatif yang lebih baik dan meyakinkan kepada pengundi kerana kami melihat undi Melayu belum tentu kekal pada BN.

“Kita juga yakin undi Melayu takkan pergi kepada Pas kerana mereka juga seperti BN, sebaliknya undi berkenaan pergi kepada Amanah atau Pakatan Harapan,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, Amanah akan meletakkan calon yang benar-benar layak dan memberi keuntungan kepada Pakatan menjelang PRK di Sungai Besar nanti.

“Bagi Amanah, kita akan usahakan kemenangan tetapi sama ada yang terbaik dalam kemampuan atau sebaliknya hanya secara praktiknya PRK sahaja yang dapat menentukannya.

“Setakat ini, tak ada siapa yang mampu meramalkan apa keputusannya nanti kerana tiga penjuru yang akan berlaku nanti adalah perkara baharu,” katanya.

Sabtu lalu, BN mengumumkan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon, manakala Pas pula menamakan Adun Meru, Dr Rani Osman sebagai individu yang bakal mewakili parti itu untuk merebut kerusi Parlimen Sungai Besar.

Amanah pula dijangka mengumumkan calon pilihan pada Rabu ini bagi melengkapkan senarai pertembungan tiga penjuru.