Kemenangan Pakatan di PRU13 tidak kekal kerana masalah dalaman, berbeza pendapat
Bercakap dalam forum “PRU14: Adakah akan berlaku lagi tsunami politik?”, ahli panel, Liew Chin Tong, Wan Hamidi Hamid dan Hishamuddin Rais berkata sepanjang setahun selepas pilihan raya pada 5 Mei lalu, pakatan pembangkang hanya mendapat sedikit kemajuan untuk mendapat lebih kerusi dalam mengejar impiannya menawan Putrajaya walaupun mendapat lebihan kerusi dalam PRU13.
Liew berkata, isu hudud melemahkan peluang Pakatan untuk menghasilkan tsunami politik dalam pilihan raya akan datang dan meminta PAS mengkaji balik keutamaannya.
"Hudud adalah strategi PAS untuk memperkuatkan identitinya. Tetapi adakah ia satu strategi yang relevan, atau kita hanya memerangkap diri kita di belakang satu tema ini? Apa keutamaan kita? Hudud atau keadilan ekonomi," kata ahli Parlimen Kluang itu dalam forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, semalam.
PR memenangi 89 kerusi dalam PRU13, peningkatan tujuh kerusi berbanding Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan DAP, PAS dan PKR bersetuju untuk melawan Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu, menyebabkan parti pemerintah itu mengalami kekalahan bersejarah di lima negeri dan Parlimen persekutuan hilang kuasa dua pertiga majoriti.
Liew berkata, hudud hanya mula menjadi satu strategi untuk PAS dalam 1980-an, untuk membezakan dirinya daripada Umno selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mula menyerap simbol Islam dalam Umno.
Pemimpin muda DAP itu berkata, Pakatan harus menumpukan semula tenaganya kepada menyelesaikan isu rakyat seperti masalah lalu lintas, isu kesihatan dan masalah air, dan bukannya menjadi ia isu sampingan kerana hudud.
Beliau berkata, kerjasama antara PAS dan DAP adalah penting untuk Pakatan terus hidup dan mengaum: "Kita tahu apabila DAP tidak bekerjasama dengan PAS, kedua-dua pihak akan berakhir dengan mesyuarat dan menjadi rakan dalam kem Kamunting."
Ahli DAP dan penasihat Insiatif Impian Malaysia, Wan Hamidi berkata, untuk menawan Putrajaya memerlukan pakatan pembangkang memenangi lebih undi di luar bandar, tetapi mereka tidak melakukan apa-apa untuk memperbaiki kedudukan di kalangan pengundi berkenaan.
"Pada PRU13, kita menyaksikan tsunami bandar, dan ini adalah terbukti di Sabah di mana kawasan bandar dan separa bandar mengundi untuk perubahan.
"Tetapi kita gagal dengan pengundi luar bandar, dan BN akan terus mengambil kesempatan ini melalui persempadanan semula, dengan cara memecahkan kampung ke kawasan pilihan raya yang lebih kecil dan memastikan BN menang walaupun kita mendapatkan undi majoriti,” katanya.
Wan Hamidi berkata, kebanyakan strategi kempen Pakatan, seperti berjanji akan mengurangkan harga kereta, disasarkan kepada kelas menengah dan mengenepikan penduduk miskin luar bandar.
"Sayang sekali Pakatan tidak memberi tenaganya untuk perkara ini selepas PRU13 berakhir.
"Sebaliknya, kita mempertikaikan mengenai isu hudud, dan ini membuat orang yang mengundi kita selama ini lebih kecewa dengan kita," katanya.
Beliau berkata, isu itu ditambah dengan kekurangan media alternatif di kawasan luar bandar, dan subsidi yang sedia dibekalkan BN untuk golongan pengundi luar bandar dan miskin.
Hishamuddin, seorang aktivis sosial, berkata Pakatan tidak akan memenangi pilihan raya umum selagi sistem pilihan raya yang ada tidak berubah.
"Ia bukan Umno yang anda tentang, tetapi sistem mengundi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tidak mungkin tsunami politik akan berlaku kerana Umno dan SPR akan terus merangka sempadan semula untuk menjamin kemenangan mereka," katanya.
Hishamuddin berkata, penyelesaiannya adalah memaksa kerajaan untuk membentuk SPR baru yang tidak akan mengambil jalan keluar dengan amalan persempadanan semula dengan cara gerymandering untuk mengekalkan status quo politik.
"Berjuta-juta perlu turun ke jalan raya, mengelilingi Putrajaya dan meminta kerajaan menubuhkan SPR baru untuk menguruskan pilihan raya yang bersih dan adil. Pilihan raya sekarang adalah satu pembohongan, jadi mengapa tidak kita mengubahnya?
"Jangan berilusi perubahan dalam kerajaan adalah mungkin sekarang. Dengan sistem pilihan raya yang ada, perubahan adalah mustahil," katanya yang merupakan bekas ahli jawatankuasa reformasi pilihan raya Bersih 2.0.
Tribunal Rakyat Bersih 2.0 membuat kesimpulan pada Mac lalu, PRU13 tidak dijalankan dengan cara yang bebas dan adil, dan banyak penyelewengan pilihan raya adalah hasil daripada perbuatan sengaja untuk menipu.
Tribunal yang terdiri daripada pakar tempatan dan luar negara berkata, SPR perlu menjalani pembaharuan yang menyeluruh, dan undang-undang harus diubah bagi memastikan badan itu bebas daripada kerajaan.
Ia juga berkata, pilihan raya umum mempunyai bilangan pengundi pos dan awal berlebihan, yang membolehkan BN memenangi pilihan raya tahun lalu. – 6 Mei 2014.
No comments:
Post a Comment