Pemimpin menjadi beban kepada rakyat, sampai bila?
Semalam lagi seorang pemimpin UMNO, kali ini Ketua Wanita UMNO Kuantan dilapurkan menghalau sesiapa yang tidak bersetuju dengan kerajaan BN pergi tinggal di negara lain. Nama Ketua Wanita itu kalau tidak silap ingatan saya ialah Datuk Zaiton Mat. Tidak berapa lama dahulu kita terdengar Zahid Hamidi menghalau yang tidak bersetuju dengan BN tinggalkan negara ini. Beberapa orang lagi telah dilapurkan mengeluarkan kata-kata yang sama.
Menghalau orang dan menyiahkan pandangan ramai sudah menjadi budaya baru dan akan melarat tidak lama lagi. Dalam bulan Ramadan yang lalu seorang lagi Menteri, yang namanya Hasan Malek memberitahu rakyat jika harga ayam mahal, jangan makan ayam. Beberapa minggu lalu seorang lagi Menteri, Wahid Omar, berkata kalau tol mahal gunakan jalan alternatif, jangan guna lebuhraya.
Inilah dia contoh-contoh setara mana nilai dan kualiti Menteri-Menteri sekarang ini. ‘Political language’ mereka tidak langsung melambangkan mereka adalah ‘material’ sebagai seorang pemimpin, yang layak nya duduk di tepi jalan atau dalam hutan sahaja dan bercakap seorang diri jika terlalu gian untuk bercakap.
Sekarang ini apa pula akan dikatakan oleh Hasan Malek dengan rungutan orang ramai yang harga barangan yang menjadi isu Kementeriannya sekarang ini terlalu mahal. Dua hari lepas saya ada terdengar beliau meminta orang ramai jangan merungut dan terima sahaja hakikat yang barang akan naik mengikut masanya.
Saya percaya jika orang ramai masih merungut kerana persediaan anak sekolah terlalu tinggi, mungkin beliau akan meminta mereka itu jangan hantar anak ke sekolah pula. Yang penting bagi pemimpin sekarang jangan bersungut, kerana mereka sangat rimas mendengar rakyat bersungut sebab mereka tidak tahu cara menjawab persoalan rakyat itu.
Sesungguhnya rakyat yang menghalau mereka lari keluar negara kerana mereka tidak tahu memimpin negara. Sebenarnya mereka yang tidak berguna kepada negara, kerana mereka hanya menjadi beban kepada kita semua. Memangnya satu hakikat pimpinan yang lemah itu adalah beban kepada negara. itulah bebanan rakyat sebenarnya.
Ada pula pemimpin itu sudahlah menjadi beban kepada negara, ahli keluarga mereka pun dibawanya bersama untuk membebankan kita rakyat ini. Setengah pemimpin, isterinya menjadi beban kepada negara, ada pemimpin wanita suaminya menjadi beban kepada negara dan yang lain-lain pula anak-anak dan ipar duainya menjadi beban kepada rakyat serta negara.
Sepatutnya pemimpin yang memikul beban untuk menjaga negara dan rakyat, tetapi apa yang berlaku sekarang mereka pula yang membebankan rakyat dan negara. Bukti terpampang di depan mata yang menunjukkan pemimpin-pemimpin membebankan rakyat masih lagi ramai yang tidak faham dan merasakannya.
Malapetaka yang dihadapi oleh rakyat seperti banjir dan bah di Kuantan dan tempat-tempat lain itu adalah hasil dari bebanan yang dihempapkan kepada kita oleh pemimpin yang kita berikan mandat dalam setiap pilihanraya-pilihanraya yang lalu. Bah dan banjir di Kuantan baru-baru ini adalah disebabkan oleh limpahan air yang sudah tidak tertakung lagi oleh baki dan saki baki hutan dan pokok-pokok balak yang ditebang tanpa had.
Pemimpin-pemimpin kita telah menebang dan membersihkan balak-balak dan hutan yang telah menakung limpahan air. Tuhan telah menjadikan hutan dan rimba serta pokok-pokok dan pohon-pohon dan bukit bukau itu untuk menjadi pasak kepada bumi ini. Apabila ditebang dan dibotakkan hutan belantara itu maka air yang turun melalui hujan atau yang tersedia ada tertakung itu akan mengalir ke tanah rendah, maka banjirlah Kuantan dan tempat-tempat yang lain.
Apabila sampai ketahap ini masih tidak belajar lagi kah yang kesemua bencana ini berlaku adalah disebabkan oleh manusia yang nmempunyai pemimpin. Jika pemimpin dan sesiapa yang berkuasa tidak prihatin dan menebang semua penakung-penakung dan tadahan air ini, maka banjir akan menjadi ‘acara’ tahunan di tempat-tempat yang terlibat.
Maka masalah-masalah yang berkaitan dengan banjir ini adalah disebabkan oleh kerakusan pihak yang berkuasa dan berpengaruh mendapatkan wang ringgit secara mudah dengan banyak melalui penebangan hutan belantara ini. Mereka menggunakan wang mudah melalui hutan dan belantara ini dengan tidak memikirkan apa yang akan mereka wariskan kepada generasi mereka yang akan datang. Wang yang didapati dengan mudah inilah yang dibelanjakan di kasino-kasino besar didunia ini serta berbelanja untuk membeli belah barangan yang mahal-mahal untuk hidup dalam ‘glamour’ itu.
Sesungguhnya rakyat menghadapi masalah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Kini rakyat terpaksa meminta projek tambatan banjir dengan kos yang begitu tinggi merata-rata di negara ini. Selalunya mereka yang akan dapat kontrak-kontrak besar ini adalah dikalangan mereka yang menebang hutan belantara tadi juga. Mereka adalah ‘rent seekers’ yang hampir dengan kuasa. Pendeknya yang memberi masalah itu adalah pemimpin dan yang menggunakan kesempatan untuk mendapatkan kontrak besar ini juga adalah di kalangan mereka juga.
Pemimpin dan kroni mereka membelasah rakyat dari kiri dan kanan dan dalam proses ini mereka juga yang akan mendapat laba besar darinya.
Itu sebabnya saya selalu berkata rakyat yang lurus dan bersih jiwanya dan di sertai dengan sifat ‘naive’ mereka telah menjadi modal kumpulan pemimpin dan yang berkuasa untuk memperniagakan rakyat yang ramai-ramai ini.
Itulah sebabnya mereka tidak akan melepaskan jawatan-jawatan yang memberikan mereka kemudahan dan keistimewaan untuk memperniagakan rakyat buat selama-lamanya. Rakyat itu adalah modal perniagaan mereka sahaja.
Apabila rakyat sedar dan mahu memberontak kerana kejahilan kepimpinan ini, maka rakyat pula dipersalahkan dan dianggap sebagai petualang kepada negara pula. Hanya rakyat lurus itu sahaja yang bersalah, ‘penyamun’ tidak pernah bersalah di negara ini.
Ada pihak yang berusaha untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan kini, melalui parti yang ditubuhkannya, tetapi kumpulan ini juga adalah dari kumpulan yang sama suatu ketika dahulu. Masakan mereka ini boleh menjadi penyelamat kepada negara dan rakyat ini.
Sesungguhnya semua pemimpin di kedua-dua belah pihak ini memberikan masalah besar dan terus-terusan menjadi beban kepada kehidupan rakyat, empunya negara ini yang hakiki.
No comments:
Post a Comment