Penganjur Miss Malaysia World 2013 Datuk Anna Lim menggugurkan empat gadis Muslim daripada senarai finalis pertandingan ratu cantik itu selepas ditegur Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Penganjur memutuskan menghilangkan kelayakan empat gadis itu, iaitu Kathrina Rizuan, Miera Sheikh, Wafa Johanna De Korte dan Sara Amelia Bernard bagi mematuhi arahan mufti berkenaan.

"Pertandingan ratu cantik itu akan berlangsung seperti biasa dan beliau (Anna) sangat bersemangat untuk menghidangkan persembahan terbaik kepada gadis bukan Islam," kata penganjur dalam kenyataan di laman rasminya.

Wan Zahidi semalam mengulangi gesaan agar wanita Islam tidak menyertai pertandingan ratu cantik kerana perbuatan itu haram dan berdosa , seperti diwartakan pada 8 Februari 1996 bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993.

Beliau juga meminta pihak penguatkuasa melaksanakan undang-undang sepertimana yang diwartakan itu.

Pemilihan finalis pertandingan apda 2 Ogos depan itu sebelum ini dilapor dibuat dalam sesi temuduga tertutup pada 12 Julai lepas dan majlis memperkenalkan mereka diadakan baru-baru ini.