Mohd. Hilmi Ismail
Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail mengadakan sidang akhbar mengenai desakan MPM supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap "Red Bean Army" yang menyebar fitnah dan pembohongan untuk menggugat ketenteraman dan keselamatan negara. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendesak kerajaan supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan individu yang menggelarkan mereka sebagai 'Red Bean Army' kerana aktif menyebar fitnah di laman sosial.
  
Pengerusi Biro Politiknya Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail berkata kerajaan juga perlu menyiasat pihak yang menyalurkan dana bagi membiayai kumpulan itu yang dilihat menjadi 'cybertrooper' kepada sebuah parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
  
"Jika ada negara luar yang bagi dana, kerajaan perlu mengambil tindakan seperti menghentikan sesuatu perniagaan itu atau menyekat visa, sebab setiap wang yang masuk sudah tentu Bank Negara tahu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Turut hadir Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa MPM Tan Sri Mohd Yusof Hitam dan Anggota Jawatankuasa MPM yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan.
  
Mohd Hilmi berkata agensi penguatkuasaan yang berkaitan juga perlu mengambil tindakan segera bagi membendung gejala fitnah berikutan kumpulan itu cuba mempromosi budaya negatif di media sosial seperti facebook, twitter dan blog.

"Oleh kerana tiada tindakan segera daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta polis terhadap kumpulan ini, mereka semakin galak menabur fitnah seperti isu 40,000 rakyat Bangladesh didakwa dibawa masuk untuk mengundi pada PRU13," katanya.
  
Mohd Hilmi berkata kerajaan perlu mengambil tindakan dengan menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan supaya dilihat lebih tegas di mata rakyat dalam menangani penularan kegiatan negatif seperti menghasut, menyebar maklumat palsu dan memfitnah di laman sosial.
  
"Kewujudan kumpulan itu amat membimbangkan kerana mereka mampu mempengaruhi pemikiran rakyat khususnya golongan belia, yang dilihat cuba mewujudkan gelombang kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan," katanya. - Bernama