Monday, February 27, 2012

Isu Kedah: Boleh selesai sikit saja kes tu


Kemelut Kedah: PAS Pusat Terpaksa Campur Tangan
KUALA LUMPUR: PAS Pusat mengakui pimpinan tertinggi parti itu perlu mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah berikut kemelut dua exconya enggan dilantik semula kerana tidak berpuas hati dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Malah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut mengakui bahawa konflik berkenaan membabitkan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Datuk Ismail Salleh yang telah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu yang dijadual diumumkan pada Selasa.
Justeru PAS Pusat akan menghantar Naib Presidennya, Salahuddin Ayub sebagai perantara bagi membantu menyelesaikan kemelut tersebut.
"Kepimpinan PAS sedang memberi perhatian penuh terhadap isu berhubung pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah.
"Kami fikirkan bahawa PAS Pusat perlu main peranan dalam isu ini, jadi YB (Yang Berhormat) Salahuddin Ayub akan turun ke Kedah esok (Selasa) bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan exco-excoberkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Isnin.
Selain itu Mustafa berkata, PAS Pusat berharap kesemua sepuluh exco daripada parti itu akan dapat dikekalkan bagi penggal akan datang.
Malah Mustafa memberitahu, Azizan turut menjelaskan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan yang diadakan pada 17 Februari lalu bahawa beliau mahu mengekalkan bariasan exconya sebelum ini.
"Menteri Besar maklumkan kepada Presiden bahawa semua exco akan dikekalkan. Tapi oleh kerana ada beberapa perkembangan, esok hanya lapan exco yang akan angkat sumpah.
"Namun dua lagi menyatakan hasrat bahawa mereka ada masalah meneruskan tanggungjawab sebagai exco, jadi kita tunggu mudah-mudahan akan dapat diselesaikan.
"Dua lagi exco bergantung kepada suasana, tapi kami mengharapkan bahawa barisan exco akan kekal seperti dulu juga...harapan kita dua lagi pun kekal," katanya.
Pada Ahad Azizan mengumumkan bahawa hanya lapan anggota exco kerajaan negeri Kedah bagi 2012 akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit pada Selasa ini, berbanding 10 sebelum ini.
Menurut Azizan lagi, dua lagi jawatan exco akan diisi kemudian dan mungkin melibatkan pelantikan baru.
Azizan mempunyai masa sehingga 7 Mac depan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.
Selain itu Mustafa turut menafikan bahawa kemelut yang melanda pentadbiran PAS Kedah merupakan usaha terancang untuk menggulingkan Azizan sebagai Menteri Besar.
"Tak ada isu nak guling Menteri Besar Kedah. Kalau nak dikatakan masalah dalam...itu terpulang kepada tafsiran anda.
"Tapi memang ada isu yang PAS Pusat kena main peranan berkaitan dengan pentadbiran Kedah," katanya.

No comments: