Jangan politikkan isu air - MWA
KUALA LUMPUR - Jangan mempolitikkan isu air! Itu kata sepakat yang dipersetujui dalam forum Persatuan Air Malaysia (MWA) bertajuk Water Has No Value di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini. Ahli-ahli forum berpendapat isu air perlu ditangani secara jujur dan mengelakkan kepentingan politik kerana bimbang kesannya melibatkan pengguna yang terpaksa memperoleh kualiti bekalan air yang rendah dan tercemar.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Zaini Ujang (gambar) berkata, jika pertimbangan politik menjadi tumpuan utama dalam isu air, maka pengurusan air yang tidak seimbang dan lestari akan berlaku.
"Hal-hal berkaitan air perlu dipisahkan daripada kepentingan politik di peringkat kepartian kerana ia melibatkan masyarakat dan pembangunan negara.
"Jika isu ini dipolitikkan, akhirnya yang menjadi mangsa adalah pengguna yang terpaksa mendapat kualiti air yang rendah," katanya selepas forum itu di sini kelmarin.
Perbincangan selama dua jam itu melibatkan Felo Kanan Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Ir. Shahrizaila Abdullah, bekas Presiden MWA, Datuk Ir. Wan Ngah Wan Ali, wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Azmi Abdul Hamid, Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Ir. Jaseni Maidinsa dan Presiden Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang, Prof. Chan Ngai Weng.
Selain pertimbangan politik, Zaini yang bertindak sebagai moderator pada forum itu berkata, kadar tarif air di negara ini juga perlu dilihat semula dan kaedah baharu harus dicari.
"Kita harus mencari kaedah baharu supaya tarif yang lebih sesuai dikenakan. Kenaikan tarif ini tidak bermakna kita akan membebankan pengguna tetapi bagi menentukan bekalan air dan kelestarian industri perkhidmatan air serta seluruh sumber air dapat dimajukan secara lebih terancang.
"Perkara berkaitan tarif juga harus diberikan penjelasan yang jelas dan jangan mengambil kesempatan apabila nak dinaikkan tarif bermakna sesebuah kerajaan seolah-olah mahu mendera rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment