Saturday, August 13, 2011

Apa yang dinantikan oleh pekerja PRA ini ?

Kita nak lihat apa tindakan dan respon menteri berkenaan berhubung nasib 12,000 kakitangan PRA seluruh negara selepas menteri rakan sejawatnya minta rakyat (kakitangan awam) berjimat gunakan api milik rakyat kepada takat 24 darjah C sahaja bagi suhu bilik seluruh pejabat kerajaan seluruh negara.

Sebelumnya 380 pekerja Dawama dalam keluh kesah kerana diberi notis bercuti buat selama-lamanya. Kerana syarikat menghadapi masalah kewangan dan DBP memungkir janji terhadap operasi syarikat mereka dengan menggantikan dengan syarikat lain.

Kini keluhan pekerja kontrak di Pejabat Pelajaran seluruh negara yang ditamatkan kontrak kerja mereka mulai 1Januari lalu.

Apa tindakan menteri dan kementerian berkenaan ? Nantikan...



Tetapkan suhu bilik 24 Celcius


SUHU di semua bangunan kerajaan ditetapkan 24 darjah Celsius bagi mengurangkan kos. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Semua bangunan kerajaan diarahkan menetapkan suhu dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius sebagai langkah penjimatan tenaga, kata Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, langkah kecekapan penggunaan tenaga itu akan berkuat kuasa selepas surat pekeliling mengenai perkara itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

"Perdana Menteri mengarahkan sebagai satu langkah yang bijak kecekapan penggunaan tenaga, semua bangunan kerajaan diminta menetapkan suhu bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius.

"Kecuali bagi tempat-tempat khas seperti hospital yang memang memerlukan paras suhu yang rendah," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas di sini semalam.

Terdahulu, kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat Majlis Teknologi Hijau Negara dan Perubahan Cuaca, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.

Mengulas lanjut, Fah Kui berkata, suhu yang ditetapkan itu adalah sesuai untuk persekitaran tempat kerja dan ia juga boleh menjimatkan keseluruhan bil elektrik sesebuah bangunan kerajaan itu.


PRA rayu sambung kontrak

SEKUMPULAN kakitangan kontrak awam dari Kedah dan Perlis yang merayu agar kontrak mereka disambung semula di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Kira-kira 13,000 kakitangan kontrak pekerja rendah awam (PRA) jabatan pelajaran di seluruh negara dikatakan semakin tertekan akibat dibelenggu hutang selepas perkhidmatan mereka tidak disambung pada tahun ini.

PRA kontrak yang diberhentikan sejak 1 Januari lalu itu mendakwa hilang sumber pendapatan sehingga menyebabkan sebahagian besar daripada mereka menanggung hutang bank dan bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Pengerusi PRA kontrak, Aziz Isa, 54, berkata, beberapa rayuan telah dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran tetapi tiada maklum balas positif diterima.

Katanya, dalam surat bertarikh 25 Julai lalu, pihak kementerian memaklumkan bahawa perkhidmatan PRA kontrak ditamatkan kerana kerja-kerja pembersihan sekolah telah diswastakan secara berperingkat sejak 1993 yang kini telah mencapai 90 peratus.

“Walaupun harapan kami nampak pudar tetapi kami tetap mahu merayu kepada pihak kerajaan kerana kami terdesak untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini semalam.

Aziz sebelum itu menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal menjelaskan hutang bank yang tertunggak sejak Januari lalu.

Kata Aziz, dia amat tertekan kerana tidak mempunyai wang untuk menjelaskan hutang bank dan perkara sama juga bakal berlaku kepada kira-kira 13,000 PRA lain yang turut membuat pelbagai pinjaman bank.

“Ramai yang mengadu malah ada yang menangis ketika bercakap dengan saya kerana bakal dikenakan tindakan undang-undang ekoran gagal membayar hutang bank sejak hilang mata pencarian lapan bulan lalu,” ujarnya yang telah bekerja sebagai PRA di Jitra dekat sini sejak 17 tahun lalu



No comments: