Politik agresif pembangkang
PADA Sabtu lalu, di dua tempat berasingan, dua pemimpin utama negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat dua peringatan berbeza tetapi dengan satu tujuan.
Najib di Perlis mengingatkan rakyat supaya tidak terpesong atau merasa gusar dengan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh apabila membangkitkan pelbagai isu seolah-olah terdapat banyak perkara yang tidak kena dalam pentadbiran negara.
Di Melaka pula, Muhyiddin mengingatkan pakatan pembangkang supaya tidak menggadaikan maruah negara dan keamanan yang dikecapi selama ini semata-mata kerana ingin mencapai matlamat politik mereka.
Dua peringatan ini diberikan kerana permainan politik yang ditunjukkan oleh pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas boleh dianggap sudah melampaui norma-norma kematangan dalam berpolitik.
Impian untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan seterusnya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti telah memungkinkan pakatan pembangkang mengamalkan politik agresif bagi meraih sokongan rakyat.
Mereka bukan sahaja memperlekeh dan memutar belitkan fakta terhadap segala usaha kerajaan BN malahan sanggup melakukan tindakan yang bertujuan untuk mencemarkan imej negara di mata dunia.
Tidak terkecuali dalam tindakan mereka ialah menyerang institusi-institusi tertentu seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi kehakiman.
Dalam erti kata lain, pakatan pembangkang kini begitu rakus untuk memperolehi kuasa politik sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya hatta keamanan negara sekali pun.
Najib dan Muhyiddin yang amat memahami corak politik bahaya oleh pembangkang itu memberi peringatan kepada rakyat jangan terperangkap dalam agenda tidak bermoral kelompok berkenaan.
Adalah sesuatu yang malang apabila Malaysia terpaksa memiliki satu pakatan pembangkang yang semakin tidak telus dalam perjuangan politik mereka.
Dengan kekuatan yang agak hebat di Dewan Rakyat dan berkuasa di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, sepatutnya pakatan pembangkang menunjukkan corak kepimpinan yang boleh dijadikan alternatif oleh rakyat jika mereka begitu bercita-cita mahu memimpin negara.
Tetapi ternyata pembangkang tidak layak untuk mencapai kedudukan itu, sebaliknya mereka hanya sekelompok ahli politik yang terlalu rakus untuk merebut kuasa. Mereka menuduh BN gagal dalam segala segi tetapi mereka sendiri tidak berupaya apabila diberi peluang berkuasa di negeri-negeri berkenaan.
Pendekatan politik agresif pembangkang dengan tujuan menyeret sokongan rakyat bagi menyebelahi politik ‘gilakan kuasa’ tersebut telah memungkinkan arena politik negara tidak pernah aman.
Dari semasa ke semasa ada sahaja ‘serangan’ yang dilakukan oleh pembangkang ke atas pentadbiran negara yang bukannya bertujuan untuk memberikan pandangan atau idea bagi mensejahterakan negara sebaliknya semata-mata untuk kepentingan politik mereka sahaja.
Pendekatan politik pembangkang ialah menyatakan semua yang dilaksanakan oleh kerajaan BN tidak betul, apa yang terjadi ke atas pemimpin mereka adalah konspirasi dan fitnah serta apa yang dilakukan oleh mereka sahaja yang betul.
Pembangkang ingin menggambarkan seolah-olah merekalah pakatan politik terbaik yang dianugerahkan oleh tuhan bagi memerintah Malaysia sedangkan hakikatnya perjalanan serta kerjasama politik mereka amat janggal dan kadang kalanya dilihat cukup ‘aneh’.
Apa yang paling tidak boleh diterima ialah sikap pembangkang yang cuba mendabik dada seolah-olah merekalah pejuang sebenar kepada rakyat tetapi tindak-tanduk mereka lebih banyak menggugat kehidupan rakyat termasuklah ‘mempopularkan’ demonstrasi jalanan.
Semua itu membuktikan, Malaysia kini memiliki satu pakatan pembangkang yang tidak lagi bertindak sebagai ‘check and balance’ sebaliknya hadir dalam persada politik tanah air semata-mata untuk merebut kuasa pemerintahan.
Sebab itulah mereka berani melakukan fitnah, pembohongan, pendustaan dan memutarkan belit fakta dalam apa juga isu semata-mata mahu rakyat merasa ragu kepada kerajaan BN.
Contoh terbaru ialah berhubung situasi sebenar perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu, pembangkang sanggup melakukan pelbagai pembohongan dan fitnah demi memburukkan kerajaan BN terutamanya kepada PDRM.
Walaupun dalam banyak kes sudah menampakkan betapa buruknya perangai pemimpin dan sikap pakatan pembangkang namun semua itu berjaya mereka tangani dengan memutar belitkan fakta melalui ‘serangan’ secara konsisten kepada kebenaran.
Ia termasuklah menyerang habis-habisan institusi tertentu, memalsukan rakaman video dan mempolitikkan kematian.
Kesudahannya pembangkang berjaya menegakkan kepalsuan, mencetuskan keraguan dan membangkitkan kekeliruan sehingga menenggelamkan kebenaran.
Semua keadaan ini tidak akan menguntungkan rakyat dan negara, sebaliknya ia hanya menguntungkan politik pembangkang semata-mata.
Justeru adalah wajar dalam menghadapi ‘kegilaan’ politik merebut kuasa oleh pembangkang ini, semua komponen BN terutamanya perlu bersedia melakukan serangan balas bagi menerangkan fakta sebenar sesuatu isu kepada rakyat.
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berjuang semata-mata demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara, ‘kegilaan’ politik pembangkang itu perlu dihentikan.
Ia kerana corak pendekatan politik yang diamalkan oleh pembangkang boleh menjejaskan kestabilan negara dalam semua segi.
Oleh itu lebih banyak program penerangan perlu digerakkan di peringkat akar umbi dan melalui media baru supaya rakyat tidak akan terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
Salah satu cara yang paling berkesan ialah menjawab sesuatu isu itu secara serentak melalui akhbar arus perdana, media elektronik dan blog-blog pro kerajaan.
Langkah seumpama itu perlu dilakukan kerana pembangkang kini sudah mempunyai portal berita pro mereka yang sanggup memutar belitkan fakta demi kepentingan politik pembangkang.
Ia belum lagi mengambil kira bagaimana ada blog-blog pro pembangkang yang turut bersedia menabur fitnah kepada kerajaan dan cuba mengelirukan rakyat dalam sesuatu isu.
Begitu juga dengan lidah rasmi mereka, biar pun tidak ada permit tetapi ia tetap bertaburan di pasaran dengan fitnah-fitnah yang boleh meracuni fikiran rakyat.
Kesimpulannya, bagi berhadapan dengan politik agresif pembangkang, maka kerajaan BN juga perlu lebih agresif memberi penerangan kepada rakyat kerana akhirnya kebenaran pasti mengalahkan kerakusan!
No comments:
Post a Comment