Monday, February 07, 2011

Politik melayu dan kemelayuan juga sudah berubah, ikut zaman

Menarik dan tertariknya politik Malaysia yang sering dilanda kontroversi.Sikit masa lalu rakyat hanya mengenali dan tahu dalam negara ini satu-satu parti poltik Melayu adalah parti Umno.

Dikala itu, parti politik lain sudah ada terutamanya PAS. Rakyat masih tidak kenal dan tidak mahu tahu tentang PAS, apa isi tujuan penubuhan dan matlamat apakah yang diperjuangkan, tetapi kini situasi berubah

Kini semua sudah jauh berubah, jika tiada PAS Umno seperti tiada madunya, walaupun sudah dapat sepah. Justeru politik Melayu dan Kemelayuaan terus menerus hidup dan dihidupkan.

Kemasukan golongan profesonal dalam PAS era 1980an berjaya mewarni warna-warna politik tanah air. Tuan Guru yang diangkat memimpin PAS semakin terserlah kematangan dalam berpolitik.

Rakyat kini sudah mengubah persepsi bahawa sebenarnya Islam itu sempurna. Maka manusialah yang kena menyempurnakan


Itukah dilema politik Melayu?

APABILA Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri menegur sikap Datuk Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am Pas terhadap Lee Kuan Yew, pemisah Singapura dari Malaysia, ternyata masing-masing mempunyai dua ufuk politik yang amat berbeza. Kenyataan itu ada benarnya yang menunjukkan Melayu mudah berubah tanpa berkira. Kadang-kadang ada sahaja yang dihalal atau diharamkan. Disebabkan kepentingan, ada sahaja 'fatwa' politik yang mengelirukan. Siapakah musuh politik Melayu sebenar?. Apakah orang lain atau diri umat Melayu-Islam itu sendiri yang sukakan perpecahan. Melayu beragama Islam tetapi menolak persaudaraan Islam. Itukah dilema politik Melayu?

Perjuangan nasionalis Islam nampaknya berpandangan lebih jauh. Sejak kemerdekaan negara 1957 dan pembentukan Malaysia 1963, kita telah menyaksikan turun naiknya gelombang politik dan kehidupan rakyat dalam semua bidang. Kini, kita sedang memasuki Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), 2011-2015 melalui Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan pucuk pimpinan nasionalis Islam.

Selama ini dasar-dasar negara dilaksanakan melalui hikmah kuasa politik. Seandainya kerajaan sekarang diberikan semula mandat besar dalam PRU Ke-13 akan datang seperti mana PRU 2004, maka pengajaran PRU 2008 hendaklah dijadikan iktibar, agar tidak sekali-kali menimbulkan kesombongan baru politik, rakyat tidak didahulukan, dasar diubah secara bukan-bukan, terlalu bertolak ansur dan menolak prinsip penerimaan yang akhirnya membawa bahana besar.

Politik Melayu terletak di bahu UMNO dan Pas. UMNO sudah melebarkan sayapnya ke Sabah. Kebijaksanaan kesepakatan kerajaan BN sudah terbukti. Persekongkolan Pas, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) belum berjaya menunjukkan kehebatan, kecuali pecah belah, dikepalai orang yang menentang Melayu dan menolak Islam, serta mengharu-birukan pentadbiran. Hala tuju kepimpinan politik Malaysia pula tergantung kepada Melayu dan bumiputera. Masyarakat Cina dan India telah memahami dan akur akan situasi ini. Jika Melayu hilang kuasa, sebabnya bukan kerana orang lain, tetapi kerana perbuatan sesama Melayu. Bangsa Melayu perlukan transformasi budaya politik tersendiri.

Pembangunan adalah janji politik atau janji kerajaan kepada rakyat. Jadi, orang politik patut tahu bezanya antara parti dengan kerajaan. Mungkin sahaja banyak parti berada di dalam satu-satu komponen seperti BN, tetapi mereka hendaklah menjuruskan perjuangan dalam erti kehidupan bernegara dan berbangsa. Perbalahan sesama Melayu janganlah sampai merosakkan idealisme perjuangan, menjadikan 'yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran', apalagi sampai merobekkan tonggak-tonggak kenegaraan.

Kita bimbang politik Melayu mudah berubah prinsip kerana meraih sokongan. Kita juga bimbang kalau ada mana-mana parti dan perjuangan politik Melayu menjadi semakin lemah. Jika Melayu benar-benar mahu mempertahankan Islam sebagai agama negara, kemajuan bangsa dan Malaysia menjadi tanah air terbaik buat rakyatnya, maka kekuatan kuasa politik Melayu adalah suatu kemestian.

Kuasa politik Melayu di Malaysia ternyata merupakan pertarungan antara UMNO dengan Pas. PKR bukan sebuah parti Melayu tulen dan baru diasaskan. Melayu patut mengkaji bagaimana pola politik bukan Melayu khususnya orang Cina dan India. Kenapa mereka bersatu apabila berhadapan dengan isu-isu kepentingan kaum mereka. Pola MCA, DAP, Gerakan dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka sentiasa sepakat mempertahankan isu bahasa, budaya dan pendidikan sendiri.

Melayu pula suka bertelingkah hatta terhadap dasar-dasar nasional. Sepatutnya di mana ada kelemahan, di situ dibuat pembaikan bersama. Masalah umum rakyat dan kenegaraan jangan dipinggirkan.

Era 1980-an, era parti induk Melayu hampir terkubur. UMNO pengsan sebentar, kerana perebutan kuasa dalaman, tetapi mujur dapat dipulihkan. UMNO pernah kehilangan tokoh-tokoh besar dalam peristiwa parti pada tahun 1987 dan 1999. Pada dekad itu, bukan sahaja UMNO yang berpecah, bahkan sampai sekarang, hubungan UMNO dengan Pas terlalu 'masam'. Untuk menemukan pimpinan Melayu dari kedua-dua parti itu sehingga bermuzakarah pun terlalu sukar.

Kalau tidak kena jalannya, Melayu memang boleh hilang kuasa politik. Sesuatu yang hilang bukan mudah untuk diganti. Senario politik kian kompleks. Kalau kita hilang ketegasan, maka akan banyak hak-hak Melayu dan kenegaraan akan terkorban. Sokongan ahli parti, semangat kekeluargaan berparti, amanah mesti dipupuk kembali agar tidak mati, bukannya amalan rasuah. Sejarah menunjukkan kejatuhan Melayu terjadi disebabkan adanya orang-orang seperti Pateh Karma Wijaya, Raja Mandaliar dan Si Kitol. Melayu jatuh kerana ruang akal budinya dipenuhi dendam, hasad dengki, cemburu, dan perbalahan yang merugikan.

Apakah politik Melayu boleh bertahan lebih lama kerana semakin banyak tanda-tanda menunjukkan Melayu dihinggapi penyakit. Dahulu politik Melayu sangat kuat kerana didukung oleh para guru, orang-orang desa dan mereka yang berjuang tanpa mengharapkan ganjaran mata benda. Kini dikaitkan pula dengan politik wang. Mungkin kerana generasi pimpinan sudah berubah, lebih ramai orang korporat terlibat secara langsung.

Perjuangan komersialisme telah mengatasi idealisme asal. Skandal politik wang diakui oleh para pemimpin kita sendiri. Kalau nilai-nilai buruk sedemikian tidak dilupuskan, krisis politik akan terjadi, keikhlasan akan hilang, timbul penyakit-penyakit lain yang lebih kronik yang akan menjalar kepada kerja-kerja pembangunan, kemajuan ekonomi, kelunturan daya juang dan kesan besar terhadap pembinaan negara bangsa.

Ketahanan dan pertahanan politik Melayu terletak di bahu Melayu. Melayu dan kaum bumiputera kena bersatu terlebih dahulu. Perpaduan Melayu dan bumiputera itu menjadi keutamaan. Kelemahan Melayu akan hanya membuka lorong desakan orang. Melayu dan bumiputera tidak ada pilihan dalam situasi politik semasa. Jangan terpedaya dengan omong kosong. Kemakmuran dan kejayaan yang ada sejak kemerdekaan itu hendaklah dipertahankan.

Kini, kita melihat perjuangan perkauman semakin menjadi-jadi. Bangsa Malaysia tidak akan cemerlang jika tidak menegakkan persamaan. Kepentingan kaum harus dibezakan dengan kepentingan mengisi matlamat negara. Ada tanggungjawab kepimpinan Melayu untuk menjelaskannya.

Sewaktu kaum lain terus mengukuhkan kuasa ekonomi mereka dan tegar mempertahankan kuasa politik, amat tidak 'comel', Melayu dan bumiputera asyik bercakaran, sorak sorai macam 'Pak Kaduk'. Ketahanan orang lain sudah lama ditegakkan melalui ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan bahasa sendiri, dan menguasai kehidupan kota. Gerakan terbaru pembangkang ialah untuk menguasai setiap bandar di Malaysia.

Melayu yang tidak tetap pendirian dan 'tidak lekat dasar' tergamak bersekongkol dengan mereka itu semata-mata kerana dendam dan kerakusan kuasa. Cuba hayati kata-kata Aristotle: 'Jika sesuatu bangsa mahu menguasai atau menakluki sesebuah negara, maka mereka perlu mempunyai kuasa politik dan ekonomi'. Kini, di mana kuasa politik dan ekonomi Melayu dan ke mana kuasa politik dan ekonomi bukan Melayu? Apakah Melayu sedang berhadapan dengan dilema politik Melayu?

Datuk A Aziz Deraman ialah Bekas Ketua Pengarah DBP/Bekas Ketua Pengarah Kebudayaan dan AJK GAPENA serta Penasihat PUSPA Kelantan.

No comments: