Saturday, February 12, 2011

Pada 26hb Februari ini DUN Merlimau akan menyaksikan PRK ke 14. Kerusi itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Umno Bn. Allahyarham telah mengalahkan calon PAS. Ini bermakna dari segi tradisi PAS bertanding 1 lawan 1 dengan Umno.

PAS dilaporkan sudah kecundang 4 kali ditangan umno dalam PRK. Dan digambarkan prestasi PAS tidak 'mengembirakan' para penyokong, sehingga ada ura-ura agar memberi kerusi ini kepada sekutu mudanya iaitu PKR. Namun semuanya adalah rumors belaka.

PR telah memutuskan PAS bakal meletakkan calon menentang calon Umno di N27 Dun Merlimau, Melaka. Dari segi sejarahnya Melaka mempunyai 28 Dun, Umno menyapu bersih kecuali 5 Dun dimenangi DAP. Oleh itu, kata-kata memaparkan Umno kuat bukanlah alasan mutlak.

Kebiasaannya logik Umno memang berhantu dan cukup berwibawa meraih kemenangan. kerana faktor utama jika perlawanan itu, tidak bermain dikawasan tanah yang rata. Inilah hujah konvensional regim Umno Bn





Pas terperangkap atau diperangkap?

PADA mulanya, ada ura-ura Pas akan memberi laluan kepada rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac ini. Perkiraan itu dibuat kerana selepas kalah dua kali berturut-turut dalam PRK sebelum ini iaitu di Galas dan Tenang, Pas tidak mahu imej mereka terus tercemar kalau tewas pula di Merlimau.

Oleh itu, mereka mesti mencari alasan terbaik supaya tidak perlu mewakili pakatan pembangkang bertanding di DUN tersebut. Bagaimanapun, keputusan mesyuarat pakatan pembangkang tetap menyerahkan kerusi berkenaan kepada Pas atas alasan mahu mengekalkan status quo. Namun keputusan berkenaan dikatakan tidak memuaskan hati sesetengah pemimpin dan ahli Pas yang melihat parti itu masih belum selesai 'merawat luka' akibat tewas di Galas dan Tenang.

''Soal... itu kerusi tradisi Pas atau tidak, ia bukanlah persoalan kerana buat masa ini, Pas harus menumpukan perhatian bagi mengembalikan kekuatannya.

''Kegagalan mempertahankan kerusi DUN Galas dan melakukan kejutan di Tenang banyak menjejaskan moral jentera pilihan raya Pas. Oleh itu, kita perlu berfikir semasak-masaknya sama ada hendak bertanding di Merlimau atau tidak,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Untuk rekod daripada 14 PRK yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Pas bertanding tujuh kali dan menang empat kali. Empat kemenangan yang dicapai Pas adalah dua kerusi Parlimen iaitu Bukit Gantang dan Kuala Terengganu serta dua kerusi DUN iaitu Manek Urai dan Permatang Pasir.

Walaupun di Bukit Gantang, Kuala Terengganu dan Permatang Pasir, Pas nampak agak selesa mencapai kemenangan tetapi di DUN Manek Urai, petanda awal kemerosotan sokongan terhadap parti itu semakin ketara. Pas hanya mampu mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan majoriti tidak sampai 100 undi. Sejak itu, sokongan Pas dalam PRK semakin merosot termasuklah kehilangan kerusi DUN Galas dan gagal merobek kubu BN di Tenang.

Semua ini meresahkan penyokong Pas yang mahu kepimpinan parti menilai kewajaran bertanding di DUN Merlimau. Mereka amat memahami DUN tersebut sejak dulu lagi tidak pernah mampu dicerobohi pembangkang.

Tambahan pula, pada PRU 2008, calon BN, Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan berjaya mengekalkan kerusinya apabila menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon Pas, Jasme Tompang.

Dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan BN bukan sahaja di DUN Merlimau tetapi juga Melaka secara keseluruhannya di bawah kepimpinan, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, ia akan menyukarkan lagi Pas untuk melakukan kejutan dalam PRK pada 6 Mac ini. Oleh itu, penyokong Pas tidak mahu kecewa buat kali ketiga berturut-turut, sebab itulah ada pendapat supaya Pas tidak bertanding.

Mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya bukanlah tradisi Pas. Kali terakhir mereka berbuat demikian adalah dalam PRK DUN Batu Talam pada 2007. Tetapi selepas itu, Pas bukan sahaja bertanding dalam PRK, malah bertungkus-lumus membantu rakan-rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PKR dan DAP.

Bagaimanapun, situasi politik sekarang boleh dikatakan bukan sahaja tidak menyebelahi Pas malahan pakatan pembangkang. Justeru, ada pandangan dalam kalangan anggota jentera pilihan raya Pas agar parti itu menumpukan sahaja perhatian kepada PRU yang mereka ramal bakal diadakan pada tahun ini.

Tambahan pula, dengan kekalahan dalam dua PRK berturut-turut di Galas dan Tenang, Pas sepatutnya berusaha memperbaiki kelemahan dalam parti itu terlebih dahulu.

''Pas sekarang ibarat masih berdarah akibat kalah dalam pertempuran. Adalah lebih baik ubati dulu luka berkenaan, sebelum berhasrat menyertai pertempuran seterusnya,"demikian kiasan yang diberikan oleh seorang ahli veteran parti itu kepada penulis ketika kami berbual di sebuah restoran di Shah Alam, kelmarin.

Walaupun ahli veteran ini adalah penyokong tegar Pas, namun dia beranggapan pemimpin dan ahli Pas perlu bersikap objektif serta berfikiran terbuka untuk mengkaji sejauh mana kekuatan yang masih ada bagi menghadapi BN dalam pilihan raya.

''Jangan kerana ada sahaja PRK, Pas harus bertanding. Kita kena akui banyak kesilapan yang berlaku dalam dua PRK sebelum ini belum diperbaiki.

''Bak kata orang... demam pun belum kebah akibat kalah di Tenang, tak kan hendak tambah lagi dengan tewas pula di Merlimau,'' kata ahli veteran itu dengan nada agak tegas.

Sememangnya hujah ahli veteran ini ada benarnya. Mungkin Pas bimbang pelbagai tafsiran jika tidak bertanding tetapi soalnya sudahkah Pas memperbaiki kelemahan yang memungkinkan mereka gagal dalam PRK sebelum ini. Janganlah beri alasan kalah kerana demokrasi berat sebelah, sedangkan kelemahan yang dimiliki tidak mahu diperbaiki. Turut menjadi teka-teki dalam kalangan penyokong Pas ialah sejauh mana keikhlasan PKR memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di Merlimau. Apakah ia satu 'perangkap' atau Pas sudah terperangkap dengan status quo?

Ia disebabkan sebelum ini, ada ura-ura bahawa PKR berhasrat bertanding di DUN itu. Namun hasrat berkenaan akhirnya dibatalkan atas dasar 'status quo'. PKR mungkin menyedari laluan sukar yang bakal ditempuhinya memandangkan momentum sokongan politik sekarang banyak menyebelahi BN. Justeru, parti itu tidak berhasrat mencalarkan imejnya dengan membiarkan mereka tewas di Merlimau.

PKR sudah tewas dua kali dalam PRK sebelum ini iaitu di Parlimen Hulu Selangor pada April 2010 dan Parlimen Batu Sapi pada November tahun yang sama. Oleh itu, PKR tidak mahu mencatatkan 'hatrik' tewas dalam PRK dengan bertanding di Merlimau pula, apatah lagi dengan pelbagai kemelut yang sedang melanda parti itu.

Kepimpinan PKR cuba menjaga imej mereka sebaik mungkin dan bagi mereka biarlah Pas tewas kerana kononnya kesan lebih kecil berbanding jika PKR tewas kerana ia melibatkan maruah Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi keputusan muktamad sudah dibuat, Pas akan bertanding di Merlimau dan mereka juga perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah mencatatkan 'hatrik' kalah dalam tiga PRK berturut-turut.

Jika itu berlaku, maka jangan salahkan sesiapa, sebaliknya Pas perlu menyalahkan diri sendiri kerana terus ingin memasuki medan pertempuran dalam keadaan 'penuh kecederaan'

No comments: