Tahniah lah Najib dan kerajaan kerana dah membawa para pelajar kembali ke tanahair. Kita terkejut juga dengan 'tingkahlaku' kerajaan yang mahu mengenakan caj tambang bebudak ini dengan meminta waris atau penjaga mereka yang membayar. Maka eloklah hari ini Petronas yang kaya itu baik hati menghulurkan RM2 juta, yang lain-lain akan menyusul ya..samada paksarela atau sebagai terpulanglah.
Nampaknya kerajaan memang tidak berduitlah betullah kata menteri di JPM Idris Jala kerajaan akan bangkrap sikit masa lagi mungkin 2013 atau 2023 atau sebagainya. Nantikan count down kerajaan akan bangkrap.
Ops Piramid bukan misi politik
SEPANG 7 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, operasi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir menerusi Ops Piramid merupakan misi untuk kepentingan negara dan tiada unsur politik.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk membawa pulang rakyat Malaysia berikutan pergolakan di negara berkenaan.
"Kerajaan mengambil keputusan dalam apa jua keadaan, kita akan melancarkan misi menyelamatkan pelajar-pelajar dan warga Malaysia.
"Dan ini misi untuk kepentingan negara. Tidak ada pertimbangan politik sama sekali, tidak kira pertimbangan ideologi, asalkan mereka ini warga Malaysia, mereka mesti diselamatkan dengan kadar segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan kumpulan pertama 778 pelajar dan rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid melalui Jeddah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia itu mendarat kira-kira pukul 10 pagi dan turut disambut isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri Kabinet lain.
Turut menyambut kepulangan mereka ke tanah air ialah anggota keluarga masing-masing.
Najib berkata, oleh kerana misi tersebut bukan sesuatu yang mudah, kerajaan telah membuat perancangan teliti termasuk membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir untuk ditempatkan sementara di Jeddah sebelum dibawa pulang ke tanah air.
Menurut Perdana Menteri, pelbagai pihak terlibat dalam misi tersebut kerana matlamatnya hanya untuk memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat.
Tegas beliau, kerajaan bimbang tentang keselamatan warga Malaysia di Mesir kerana di negara berkenaan kini tiada lagi pentadbiran awam dan yang berasaskan undang-undang.
"Runtuhnya sama sekali undang-undang dan ketenteraman di Mesir yang menyebabkan sebarang kemungkinan boleh berlaku. Kami amat khuatir dan bimbang kalau berlaku perkara yang boleh mengancam nyawa dan berlaku kecacatan atau kecederaan kepada anak-anak kita yang tidak berdosa," katanya.
Perdana Menteri berkata, kepulangan kumpulan pertama rakyat Malaysia itu merupakan satu kelegaan kepada mereka di tanah air dan sebab itu, beliau yang sepatutnya mempengerusikan sebuah mesyuarat penting pagi ini menangguhkannya untuk bersama dengan mereka di sini.
Najib juga tidak 'bercuti' sepanjang dua tiga hari lepas sedangkan pada masa itu cuti umum untuk menumpukan urusan membawa pulang rakyat Malaysia.
"Ada pukul 3 pagi pun kita terima telefon (berkenaan dengan urusan membawa balik rakyat Malaysia ini). Alhamdulillah, semua urusan ini berjalan dengan baik. Saya doakan supaya penerbangan lain (selepas ini dari Mesir) akan selamat kembali ke tanah air," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk MAS, AirAsia, Lembaga Tabung Haji, Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Najib juga mengucapkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Turki Abdullah al-Saud kerana sudi membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur.
Juga, kata Perdana Menteri, ucapan terima kasih buat Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud kerana membenarkan penggunaan ruang udara dan pendaratan seberapa banyak pesawat Malaysia di Jeddah.
Kata beliau, perkara itu merupakan satu 'pertimbangan yang luar biasa' dari negara berkenaan kepada Malaysia.
Najib berkata, jika perlu kerajaan juga akan berurusan dengan pihak universiti di Mesir supaya pelajar-pelajar yang menuntut di negara tersebut menduduki peperiksaan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment