Sunday, July 11, 2010

Umno kerjanya : Melayu ditakutkan dengan hilangnya kuasa

Ketakutan Umno kini adalah dengan kuasanya yang semakin menipis dan bakal jatuh. Hanya masa sahaja yang bakal menentukannya. Jawaban nya adalah masa sahaja. Ini kerana semua bebanan dalam negara kini yang sering dipersalahkan adalah Umno sahaja.Umnolah yang dipersalahkan terhadapa apa yang terjadi dalam negara kita. SEbabnya Umno berkuasa dan mencorakkan segala-galanya. Oleh itu Umno cuba sedaya upaya memulihkan imej, kini gerakan pemulihan imej digandakan. Namun ia belum cukup dengan segala bentuk kesalahannya yang menjadi libalitinya. Justeru bagi mengusahakan kembali sokongan rakyat yang semakin menipis ini. Satu strategi baru yang dikira berkesan adalah meniup propaganda Melayu iaitu kuasa Melayu bakal hilang kerana Melayu berpecah.


Orang Melayu ditakut-takutkan bahawa kuasa mereka bakal terancam dan hanyut. Tetapi sebelum ini Umno gagah dengan pelbagai slogannya seperti Hidup Melayu, Melayu Tidak Hilang Di Dunia. Dan Umno membangkitkan cerita Sejarah Melayu tentang kuasa Melayu yang tercabar dan tergugat serta dijatuhkan oleh orang melayu sendiri. Ia bakal berulang.


Maka generasi muda Melayu yang tidak pun mengetahui akan kisah Sejarah Melayu tidak faham akan pengkisahan itu sebenar. Ini kerana salah Umno sendiri yang memansuhkan subjek Kesusteraan Melayu dalam silibus pendidikan di sekolah kita. Jadi kisah dan cerita ini tidak difahami. Haslinya generasi mudalah yang menjatuhkan 5 buah kerajaan Umno dihadiahkan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU 12 tempoh hari.

Sementelahan pula kini akhbar Utusan tidak dibeli dan dibaca oleh generasi muda, mereka lebih kepada akhbar alternatif melalui online. Mereka kuat dengan sms , email, face book , twiter, myspace dan sebagainya. Hasilnya lihat dalam akhbar arus perdana onlien terdapat puluhan ribu fan yang invite bersama-sama akhbar berkenaan.




Melayu – Antara mungkin dan pasti
Oleh Mior Kamarul Shahid

Senario politik dengan matlamat halalkan cara kian diterima

KETIKA berbual dengan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik di Kuala Terengganu, Rabu lalu, beliau menarik perhatian kepada satu tajuk berita yang dibacanya di akhbar pagi itu yang menurutnya sebagai salah. Tajuk berita itu berbunyi 'kuasa politik Melayu mungkin hilang jika mereka berpecah belah'.

“Tajuk berita ini tidak betul,” katanya dengan tegas.

Beliau menjelaskan, tajuk berita yang betul ialah ‘kuasa politik Melayu pasti hilang jika mereka berpecah belah’. Perkataan ‘mungkin’ sepatutnya diganti ‘pasti’. Daripada raut wajahnya, beliau bukan bergurau atau sinikal terhadap akhbar, tetapi cuba menyampaikan satu mesej yang amat serius mengenai kedudukan orang Melayu hari ini. Katanya, tidak timbul lagi soal orang Melayu mungkin kehilangan kuasa apabila mereka sudah berpecah belah.

“Jika orang Melayu berpecah belah, saya kata, mereka pasti kehilangan kuasa,” jelasnya.

Beliau menguatkan hujahnya dengan analogi jika seseorang tidak makan, tidak timbul soal dia mungkin lapar. Dia pasti lapar jika tidak makan. Begitu juga, jika tidak tidur, dia pasti mengantuk. Tidak timbul soal dia mungkin mengantuk akibat tidak tidur.

Sabbaruddin amat bimbang melihat perpecahan orang Melayu kerana sedar mereka akan lesap segala-galanya. Apa juga keistimewaan yang diperjuangkan selama ini akan terkubur.
Dalam sejarah tamadun dunia, apa-apa pun boleh berlaku. Tidak ada soal mustahil dalam membicarakan tamadun manusia. Kuasa besar yang amat kuat, malah empayar atau dinasti sekali pun, runtuh akibat perbalahan sesama sendiri.

Jika ia membabitkan kaum yang sama seperti di China atau Jepun. Malah di negara kuasa Barat, kejatuhan pemerintah kepada kaum sama. Tetapi, jika ia berlaku di negara yang mempunyai komposisi kaum yang berbeza dan setiap kaum mempunyai kecenderungan untuk menguasai politik, kuasa politik boleh berpindah tangan.

Kerajaan Melayu Melaka jatuh juga adalah berpunca daripada perbalahan dan perebutan kuasa. Jika kerajaan Melayu ketika Kesultanan Melaka boleh tumbang seterusnya ditawan, inikan pula sebuah kerajaan dalam sistem demokrasi yang ditentukan kuasa undi.

Sudah banyak pun kerajaan bertukar tangan. Dalam sistem demokrasi di negara majmuk, perpecahan kaum lebih mudah berlaku. Kuasa kaum majoriti menjadi lebih kecil apabila berlaku perpecahan undi. Dalam konteks politik Malaysia, ia adalah satu senario yang boleh menyebabkan ‘apa-apa pun boleh berlaku’.

Tahap paling tinggi perpecahan orang Melayu berpunca daripada perbezaan ideologi politik kepartian. Bila agama turut dimasukkan pula ke dalam politik, perpecahan kian ketara. Orang Melayu yang mewakili 60 peratus penduduk negara ini berpecah sekurang-kurangnya kepada tiga aliran pemikiran yang dikemudi oleh parti politik.

Sekali pun berdasarkan kepada kadar purata 40 peratus UMNO:15 peratus PAS dan lima peratus Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia tetap perpecahan ketara undi orang Melayu. Dalam konteks negara majmuk, ia adalah perpecahan yang menakutkan.

Dalam senario politik yang mana matlamat menghalalkan cara diterima sebagai norma politik, keadaan sebegini lebih dilihat sebagai tindakan untuk melakukan apa cara sekali pun demi untuk merampas kuasa. Selain daripada itu hanyalah alasan.

Dalam politik Malaysia, sub-perpecahan orang Melayu berlaku sehingga ke peringkat kampung dan daerah akibat tidak sefahaman yang diada-adakan dan soal titik bengik. Semua ini memberi kesan kepada undi dan menyebabkan perpecahan pasti berlaku yang akhirnya mengakibatkan orang Melayu kehilangan kuasa.

Antara akhbar dan filem

Ketika berbincang dengan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) diketuai Ketua Pengarahnya, Mohd Mahyidin Mustakim, yang melawat Balai Berita, Selasa lalu, perbincangan menyentuh soal industri akhbar dan filem.

Industri akhbar dan filem mempunyai banyak persamaan. Persamaan ini bukannya disebabkan dua-duanya adalah tergolong dalam komunikasi media, tetapi dari segi perniagaan dan kumpulan sasaran.

Akhbar memerlukan pembaca, manakala filem memerlukan penonton. Bagaimana pun, dari segi operasinya adalah berbeza kerana akhbar perlu cepat mencari bahan setiap hari, manakala filem memerlukan masa untuk membuat kajian.

Kemahiran dalam dua bidang ini juga jauh berbeza. Dalam dunia yang penuh saingan ini, persoalan sejauh manakah industri ini boleh bertahan, tidak dapat dielakkan. Akhbar akan terus wujud selagi pembaca memerlukan maklumat baru menerusi saluran yang pelbagai.

Begitu juga dengan filem, selagi penonton tidak jemu menonton filem di pawagam. Hari ini kedua-dua industri itu menghadapi saingan paling sengit. Akhbar bukan saja menghadapi saingan saluran maklumat daripada televisyen dan akhbar lain, tetapi daripada apa juga bahan bacaan khasnya media baru.

Filem juga menghadapi saingan daripada ratusan stesen televisyen yang menyiarkan filem yang juga bertujuan untuk menarik pelanggan, DVD, internet dan sebagainya.

Atas keyakinan akhbar akan menjaga kredibiliti, menyiarkan berita yang tepat, benar dan memberi maklumat berguna kepada pembaca, manakala FINAS pula menerbitkan atau membantu syarikat filem tempatan menerbitkan filem bermutu, kedua-dua industri ini akan terus kekal dan mendapat pasaran.

No comments: