Saturday, July 17, 2010

Teguran dicop sebagai ancaman

Putar dan memutar serta bias dalam menafsir adalah sesuatu yang lumrah dalam mana-mana penulisan. Inilah pertembungan idea, kepentingan dan pandangan dalam meletakkan sesuatu perkara.

Bagi pimpinan kerajaan semua yang mereka lakukan adalah demi rakyat iaitu dari rakyat dan untuk rakyat. Namun bagi pembangkang 'teguran' yang disinggungi juga adalah untuk rakyat.

Kenapa kerajaan takut dan perlu takut dengannya kerana institusi kerajaan adalah juga milik rakyat. Dan menjadi tanggungjawab semua orang agar tanggungjawab itu diambil bersama-sama kecaknaanya. Dan pembangkang melihat ini juga adalah sebagai tanggungjawabnya.

Namun, apa yang musykilnya adalah kerana teguran itu adalah bersifat membina. Dan kerajaan melihat ia hanyalah satu serangan politik pembangkang bagi menjatuhkan imejnya.

Bukanlah menjadi satu yang pelik, tiada kawalan ketirisan, penyelewengan, salah urus dan salah tadbir adalah antara sifat-sifat manusia.


Institusi berjasa kepada rakyat sasaran pembangkang


Muhyiddin Yassin (tengah) bersama (dari kiri) Idris Jusoh, Mohd. Jidin Shafie, Tengku Putera Tengku Awang dan Wan Farid Wan Salleh memotong kek ulang tahun ke-25 UMNO Bahagian Setiu selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO di Setiu, semalam. - Bernama


KUALA TERENGGANU 16 Julai - Strategi pembangkang menyerang pelbagai institusi kerajaan yang banyak berjasa kepada rakyat merupakan 'ancaman' baru yang perlu ditangani oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gerakan itu ternyata semakin diperhebatkan sebagai jalan mudah bagi menghakis keyakinan orang Melayu untuk mengubah senario politik negara.

Katanya, institusi itu akan dipertikai dan dipersoalkan dari segi manfaatnya dan dicemari dengan fitnah-fitnah yang terus dilemparkan.

''Setiap institusi yang dibangunkan oleh kerajaan pimpinan UMNO dan ternyata memberikan kebaikan, dipertikaikan pembangkang.

''Ia bagi melunturkan kepercayaan orang Melayu dan rakyat umumnya terhadap kepimpinan BN," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Menurut beliau, gerakan parti lawan itu membabitkan pelbagai sasaran termasuklah polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta lain-lain agensi penguat kuasa di samping mahkamah.

Katanya, mereka juga cuba menimbulkan kesangsian dalam usaha memperjuangkan sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menguasai sekurang-kurangnya 30 peratus kekayaan negara.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, bagaimanapun ia sudah terjawab dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bahawa selagi mana matlamat penguasaan 30 peratus ekonomi oleh bumiputera tidak tercapai, ia tetap diteruskan.

Muhyiddin menegaskan, UMNO juga tidak akan berganjak dari landasan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

"Lihat sahaja bidang pertanian di mana masih ramai mereka yang berada di dalam kelompok berpendapatan rendah ekoran ketiadaan peralatan moden sehingga membataskan produktiviti mereka.

"Ini akan memberi ruang pihak tertentu mula mempersoal dan mempertikaikan perjuangan yang dilakukan oleh UMNO dalam usaha meningkatkan nasib orang Melayu.

"Justeru, kita perlu lebih terbuka dalam DEB agar ia sesuai dengan perubahan ekonomi dunia dengan mengambil pendekatan berasaskan meritokrasi iaitu pergantungan kepada kebolehan sendiri dan bukan kerana hubung kait dengan orang-orang tertentu untuk berjaya," katanya.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin turut meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membina empat buah balai raya di Parlimen itu selain bersetuju meneruskan cadangan pembinaan sebuah sekolah sukan di Kompleks Sukan Gong Badok yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

No comments: