Sunday, July 11, 2010

Boycoot Sin Chew

Boikot Sin Chew?

Salah satu isu yang menarik perhatian Awang minggu ini ialah gesaan Pengarah Strategi PKR, Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu agar kerajaan campuran pakatan pembangkang di Selangor memboikot akhbar Sin Chew.

Gesaan itu dibuat oleh Tian Chua yang tidak berpuas hati dengan beberapa laporan spekulasi akhbar tersebut mengenai peletakan jawatan Menteri Besar, Khalid Ibrahim ekoran tidak lagi menjadi pengerusi PKR negeri. Bagaimanapun usaha Tian Chua gagal. Para pemimpin DAP negeri terutama Teresa Kok langsung tidak bersetuju dengan Tian Chua. Maka Sin Chew terselamat daripada tindakan diboikot kerajaan Selangor. Ia menjadikan Ahli Parlimen Batu itu bersendirian dalam isu tersebut.

Banyak lagi persoalan berlegar. Ia menampakkan perbezaan pendapat dan pendekatan antara PKR dan DAP. Isu tersebut juga menyerlahkan hakikat bahawa tiada penyelarasan dan komunikasi antara kedua-dua parti berkenaan.

Awang tertanya-tanya mengapa Tian Chua bersungguh-sungguh mahu mempertahankan Khalid, apakah ia gimik politik? Jika benar beliau menyokong Khalid, mengapa ia tidak menerima sokongan daripada kalangan pemimpin lain dalam PKR sendiri? Yang jelas pengaruh Tian Chua yang dianggap jaguh demonstrasi liar makin mengecil dalam PKR mahupun pakatan. Pada firasat Awang, bibit-bibit perpecahan dalam PKR umpama bahtera bocor yang menanti karam.

Dalam isu memboikot media, apa yang Tian Chua mahu lakukan adalah amat tidak wajar. Awang tidak pernah percaya kepada pendekatan memboikot media. Tidak pernah dalam ruangan ini, Awang menulis tentang perlunya akhbar pembangkang dan bahasa ibunda yang menyokong pembangkang, diboikot. Itu pemikiran kuno. Sebab itu, Awang hormati kematangan pemimpin UMNO dan Pas yang tidak mengambil pendekatan yang sama. Anehnya PKR dan DAP yang berjanji untuk mendokong demokrasi, hak bersuara dan kebebasan media pada pilihan raya umum lalu, bertindak sebaliknya. PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim suka menggunakan boikot media sebagai senjata. Beliau dan pemimpin DAP berpakat memboikot akhbar terbitan Utusan sampai hari ini. DAP paling gembira. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng amat teruja kerana dapat melepaskan kemarahan kepada Utusan yang banyak mendedahkan kepincangan kerajaan negeri. Umat Islam dan Melayu paling sengsara di bawah kepimpinan beliau. Yang nyata, dengan bantuan pemimpin pembangkang Melayu seperti Anwar, DAP yang begitu rasis dapat memboikot akhbar Melayu. Atas pengaruh DAP, Khalid Ibrahim juga akur membenarkan boikot terhadap Utusan di Selangor. Tetapi para pemimpin kaum Cina terutama DAP tidak pernah bertindak demikian ke atas media kaum mereka biarpun berbeza pandangan. Siapa yang bijak dan siapa yang bodoh? Tetapi Awang tidak kisah jika Utusan terus diboikot termasuk oleh pengkhianat bangsanya sendiri. Lagi diboikot, lagi membara perjuangan.

No comments: