Tuesday, June 15, 2010

Muktamar PAS : Ulasan Utusan Malaysia !

Lunak dan menyenangkan, itulah ulasan rencana pengarang Utusan Online dalam memperkatakan Muktamar PAS ke 56 baru lalu. Ikutilah kupasan Utusan terhadap nya...bawah tajuk Menggalas Beban ke Putrajaya

Menggalas beban ke Putrajaya

SEMUA sudut jalan menghala ke bandar Kota Bharu ini sesak sejak beberapa hari lalu kerana ramai yang pulang sempena musim cuti sekolah dan ramai juga yang bertandang ketika Muktamar Pas ke-56 berlangsung.

Muktamar itu berakhir kelmarin, kelihatan lancar dan boleh dikatakan tenang, ketika Pas membincangkan rangka tindakan sebagaipersiapan untuk menghadapi masa depan yang dikatakan amat menjanjikan.

Ia lebih terarah kepada usaha mengukuhkan sokongan generasi muda, menerobos pengaruh lawan di tanah-tanah rancangan dan pedalaman, di samping menyuburkan sentimen rakyat melalui pelbagai isu yang dilaungkan.

Namun soal penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) banyak menarik tumpuan dalam muktamar kali ini dan banyak pula berlegar dalam pemikiran perwakilan.

Ada pro dan kontranya, namun ia dijengah dengan nada berhati-hati oleh perwakilan ketika menyuarakan kebimbangan tetapi ramai juga yang sarat menaruh harapan.

Ketika penubuhan sayap baru bagi muslimat muda yang cuba diketengah sejak beberapa tahun lalu tidak menjadi kenyataan, DHPP muncul dan mereka juga, selain peluang untuk bersuara, turut berpeluang untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti.

Apakah reaksi rakan-rakan? Mungkin bohonglah jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP langsung tidak berasa rimas dengan penubuhan DHPP yang menjadi sayap baru Pas.

Mengapa perlunya bukan Islam bernaung di bawah Pas, sedangkan parti rakan-rakannya dapat memayungi mereka sejajar dengan dasar parti masing-masing.

Ada yang melihat ini merupakan satu percaturan Pas untuk menzahirkan kekuatan pengaruhnya dan tentunya sebagai peneraju pakatan pembangkang dan tidak sekadar melukut di tepi gantang.

Justeru, tidak begitu terdengar reaksi yang manis daripada rakan-rakan pakatan yang entah mengapa berat untuk membuat ulasan ketika ramai yang hadir di hari perasmian.

Malah tidak kurang juga yang melihat kesediaan Pas untuk melakukan apa sahaja untuk memenuhi impian berada di Putrajaya yang semakin lantang kedengaran.

DHPP sememangnya percaturan besar Pas dalam menghadapi pilihan raya yang mungkin kesempatan terbaik pada tanggapan mereka, namun suara-suara kebimbangan tidak begitu lantang kedengaran.

Mungkin kerana bukan musim pemilihan dalam parti, tiada siapa yang berminat untuk cuba meletakkan langkah terbaru Pas itu sebagai ‘kesilapan’ oleh sesiapa jika benar ia bakal mengundang padah.

Justeru wajah Pas kini dengan pendekatan terbarunya semakin tidak jauh bezanya dengan parti rakan pakatan dan apabila ia menjadi Pas Untuk Semua.

Pas sememangnya tidak lagi memainkan slogan berkaitan pemerintahan Islam dan negara Islam yang cuba membezakannya dengan UMNO dari segi siapa yang lebih Islam dan siapa yang lebih berjuang untuk Islam. Ia tidak lagi perlu.

DHPP merupakan pengiktirafan Pas terhadap penyokong bukan Islam yang selama ini setia bersama dalam wadah perjuangan politik parti itu.

Ia bermula dengan Kelab Penyokong Pas yang diwujudkan pada penghujung tahun 2004 dan draf penubuhannya yang dibincang beberapa kali akhirnya diluluskan oleh parti pada 10 Januari dan menjadi kenyataan pada 23 Mei lalu.

Sebagai sayap baru, anggota bukan Islam ini mempunyai hak untuk bersuara dan berpeluang bergelar ‘Yang Berhormat’ setelah badan tertinggi Pas, Majlis Syura Ulama memberikan restu.

Muktamar kali ini yang bertemakan, ‘Islam Adil Untuk Semua’ menjadi manifestasi pengiktirafan terhadap sayap terbaru parti itu apabila wakil mereka mula berucap dan mengemukakan dua usul ringan.

Pengerusi DHPP, Hu Pang Chaw berkata, menaikkan taraf sebagai sayap terbaru Pas harus dilihat sebagai ‘satu harapan’ bagi parti Islam itu, bukannya satu ancaman.

Menurut Pang Chaw, kebimbangan yang diperlihatkan semalam mengenai kehadiran bukan Islam dalam Pas sebenarnya tidak menggambarkan sentimen keseluruhan Pas.

“Saya faham perasaan mereka. Tetapi ia hanya minoriti. Jika majoriti parti merasakan demikian (tidak senang), Dewan Himpunan (sudah pasti) tidak muncul kelmarin,” kata beliau.

Beliau juga berkata, Pas memahami keperluan ‘pemikiran politik’ baru dan dengan itu, penyertaan bukan Islam menunjukkan satu penambahbaikan yang dibawa kepimpinan tertinggi parti Islam itu.

“Jika mereka hanya memberi tumpuan ke atas pengundi Melayu, mereka tidak akan ke mana,” kata beliau sambil menambah, sebenarnya tiada pertembungan antara arah aliran penyokong Islam dan bukan Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan yang lunak mengenai DHPP dengan memberi jaminan bahawa langkah terbaru itu bukannya strategi politik, jauh sekali untuk menonjolkan diri.

Tegasnya, Pas mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada sekadar strategi politik meraih sokongan pengundi bukan Islam tetapi sebaliknya terpanggil untuk memartabatkan keindahan dan keadilan Islam.

Secara mudahnya, apabila Pas berhasrat berdakwah dan menyampaikan keindahan serta keadilan Islam kepada penganut agama lain, tidak perlulah bersusah-payah menubuhkan satu sayap baru.

Apa salahnya jika Pas menyampaikan hasrat murni itu secara ‘talian terus’ kepada DAP yang sudah pasti lebih mudah kerana DAP merupakan rakan akrab dan di dalamnya ada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Namun DHPP, jika tidak ditangani dengan baik, ia akan menjadi satu beban berat yang perlu dipikul dan dipastikan agar tidak tercicir di jalan ketika ia kini berada di persimpangan baru yang belum pernah ditempuh.

Ada yang membayangkan Pas mula membawa masuk sesuatu yang boleh menjadi dan menambahkan duri di dalam daging, sedangkan, parti itu turut terdedah kepada tikaman dari luar dalam menegakkan perjuangan sebenar - ke arah sebuah pemerintahan dan negara Islam.

Ia pastinya akan lebih mengambil pendekatan bertolak ansur untuk terus memenangi hati sayap baru dan pada yang sama perlu menyedapkan hati rakan-rakan dalam pakatan.

Pendekatan sebegini mendedahkan parti itu terpaksa menyisihkan dan mengorbankan hasrat penyokong tradisinya, Melayu yang bakal terus dipengaruhi, apabila ia mungkin terpaksa mula mengambil jalan tengah tanpa arah yang jelas.

Ia dibimbangi menghakis keyakinan mereka, malah melebarkan pergeseran dalaman parti ekoran pendekatan hala tuju dan Pas akan kembali sukar untuk melangkah.

Semasa menggulung perbahasan, Abdul Hadi berkata: ‘‘Cita-cita Pas bersama Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya sebagai satu mimpi soleh.” Tentu ramai mendoakan agar ia bukan sekadar mainan tidurnya.

No comments: