Tuesday, June 08, 2010

Kata akhbar berBM di Malaysia ?

Usul Malaysia mampu celikkan PBB, Amerika


2010/06/08

DENGAN lulusnya usul khas di Dewan Rakyat semalam, Malaysia menjadi antara negara dunia yang secara rasmi bersuara dari atas pentas rumah demokrasi, mengutuk kekejaman Israel. Kini, usul yang mengandungi 15 ketetapan berhubung keganasan rejim Zionis Israel yang menyerang kapal Mavi Marmara dan mengorbankan sembilan aktivis damai misi Freedom Flotilla, 31 Mei lalu, sudah menjadi satu dokumen sejarah dalam Parlimen Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berselindung ketika membentangkan usul itu, yang buruk tetap buruk, tindakan zalim, tetap zalim. Sudah sewajarnya beliau menyelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana membuat kenyataan yang sangat lemah yang boleh dianggap sebagai bersikap berat sebelah terhadap Israel. Ketetapan Dewan Rakyat ini memberi mesej kepada dunia bahawa Palestin tidak bersendirian dalam menentang keganasan Zionis. Lebih 26 juta rakyat Malaysia akan memberi sokongan moral yang tinggi selain segala bentuk bantuan yang terdaya. Setelah 62 tahun rakyat Palestin menderita, dunia seharusnya bersatu suara menggegarkan Israel supaya mereka insaf terhadap kezaliman mereka. Dunia sedar, sikap Israel yang biadab bukanlah mudah untuk dilembutkan dengan kata-kata. Selepas pelbagai label diberikan kepada Israel seperti pengganas atau samseng antarabangsa, ia tidak sedikit pun diambil pusing oleh Israel yang tebal muka itu. Mereka mungkin berani mengambil sikap bertentangan dengan hasrat dunia kerana tahu PBB di belakang mereka.



Kita memuji pimpinan dan rakyat Malaysia yang bukan saja mencadangkan siasatan bebas dijalankan terhadap serangan Israel terhadap sukarelawan berkenaan, malah mengheret negara itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Negara dunia sepatutnya sepakat membawa usul sama kepada Majlis Keselamatan PBB dengan merujuk serangan tentera Israel ke atas kapal Turki Mavi Marmara ke ICC. Dunia juga perlu menyokong cadangan Malaysia supaya membawa usul kepada PBB bagi mendapatkan pandangan serta nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kejadian itu. Melihat kepada keganasan demi keganasan Israel adalah wajar negara Yahudi itu diheret ke mahkamah antarabangsa. Tindakan kejam rejim zionis Israel sejak sekian lama hinggalah peristiwa 31 Mei lalu adalah jenayah terhadap keamanan dan kemanusiaan. Perkara ini jelas terkandung pada Perkara 6 Charter Provisions of Nuremburg Trials mengenai tafsiran jenayah terhadap keamanan yang bermaksud merancang, menyediakan, memulakan atau melaksanakan suatu peperangan atau penindasan, atau peperangan yang melanggar perjanjian atau triti antarabangsa ataupun menyertai dalam rancangan bersama atau konspirasi untuk mencapai apa yang dimaksudkan. Jenayah terhadap kemanusiaan pula adalah pembunuhan deportasi dan sebarang perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam sebelum atau semasa peperangan. Malaysia yang kini digambarkan pentadbiran Presiden Barack Obama sebagai juara negara Islam, harus menyampaikan mesej dan inisiatif Dewan Rakyat semalam kepada Washington secepat mungkin. Perkara sama juga harus disalurkan kepada seluruh pertubuhan dunia.

No comments: