Saturday, April 24, 2010

Malaysia negara kaya !!!!! dengan SLOGAN ?


Mohd. Osman Jailu (kiri) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (kanan) dibebaskan daripada pertuduhan rasuah berkaitan projek pembangunan Pusat Bandar Baru Seri Iskandar di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.


IPOH 23 April - Lima tertuduh termasuk dua bekas Exco kerajaan negeri Perak masing-masing dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan rasuah tanpa dipanggil membela diri.

Dua Exco terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 59, dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, 54.

Mereka kini merupakan ADUN Bebas setelah keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Februari tahun lalu.

Tiga lagi ialah bekas ADUN Bota, Kapten (B) Usaili Alias, 58; bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 48, dan kontraktor, Fairul Azrim Ismail, 32.

Mereka berlima menghadapi 16 pertuduhan rasuah membabitkan projek pembangunan Pusat Bandar Baru Seri Iskandar.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Exco kerajaan negeri Perak, Restoran Kluang Stesen Cafe di sini dan Aquarias Restaurant & Bar, Summit Hotel, Bukit Mertajam di Pulau Pinang di antara 12 Ogos hingga 19 Ogos 2008.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh memutuskan mereka dilepaskan dan dibebaskan setelah pihak pendakwa gagal membuktikan wujudnya kes 'prima facie' untuk memanggil tertuduh membela diri.

''Mahkamah telah meneliti keterangan semua saksi dan mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan tuduhan tersebut," katanya.

Sebaik mendengar keputusan itu, semua tertuduh kelihatan gembira dan di kalangan mereka ada yang mengalirkan air mata.

Ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam juga kelihatan lega sambil berpelukan sesama mereka.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 11(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana satu lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seramai 31 saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan sejak 12 Oktober tahun lalu.

Tertuduh pula diwakili oleh barisan peguam bela, Surjan Singh, Abdul Roni Abdul Rahman, M. Saravanan dan Mohd. Asri Othman.

Sementara itu, Mohd. Shahrullah Khan berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh terdekat.

No comments: