Wednesday, March 10, 2010

Pilihanraya PBT wajar atau tidak ?

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor nampaknya berusaha mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri masing-masing.

Untuk rekod, pilihan raya kerajaan tempatan pernah diadakan 43 tahun lalu tetapi dimansuhkan pada 1965.

Alasan pemimpin pakatan pembangkang hendak menghidupkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan, adalah kerana mahu rakyat diberi kebebasan memilih mana-mana calon yang dapat memenuhi selera mereka.

Mereka tidak peduli soal kos mengadakan pilihan raya tempatan akan memakan belanja yang besar. Walhal sistem perlantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah cukup baik untuk memenuhi keperluan rakyat.

Sebab itu Perdana Menteri tidak 'berkenan' dengan cadangan pakatan pembangkang itu. Untuk mengadakan pilihan raya kecil pun, SPR terpaksa mengeluarkan belanja yang besar, jadi ia tidak jauh bezanya dengan pilihan raya PBT.

Ada perkara yang boleh kita tiru daripada negara luar dan yang maju tetapi ada juga yang tidak perlu kita mengikut gaya pentadbiran mereka. Betulkah dengan mengadakan pilihan raya PBT, banyak masalah rakyat setempat akan selesai?

Silap langkah, rakyat mungkin terpedaya sekali lagi seperti mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri pakatan pembangkang.

Fikirkanlah kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pilihan raya PBT hanya akan lebih mementingkan proses politiking di kalangan ahli PBT menerusi kempen dan pemilihan, dan oleh itu tidak perlu diadakan.

Tidak semestinya melalui proses berkenaan (pilihan raya) akan menjadikan PBT lebih baik dari segi khidmat mereka kepada rakyat.

Kita pun tidak yakin calon-calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya PBT itu kelak benar-benar ikhlas untuk menjaga kepentingan rakyat tempatan atau menunggu masa untuk mengaut projek tender yang ada di bawah PBT.

Jika dilayan permintaan Pulau Pinang dan Selangor, selepas ini dalam jangka masa ditetapkan akan banyak fitnah dan tohmahan dilemparkan kepada pihak tertentu semata-mata berebutkan jawatan dalam PBT. Maka kempen dan sebagainya yang akan menjadi tumpuan, bukan khidmat kepada rakyat.

Proses pilihan raya umum sudah menunjukkan ada wakil rakyat yang dipilih gagal berperanan dan berkhidmat sebagaimana diharapkan. Masa berkempen bermacam janji untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat dilontarkan, tetapi apabila sudah dipilih, janji-janji tidak ditunaikan dan pelbagai alasan diberikan.

Kita bersetuju jika PBT perlu lebih menumpukan kepada proses penambahbaikan perkhidmatan kepada masyarakat. Malah setakat ini baik di Pulau Pinang atau Selangor, tidak ada pihak yang mengganggu urusan ahli majlis PBT yang dilantik oleh kerajaan negeri berkenaan.

Cadangan mengadakan semula pilihan raya PBT ini timbul adalah kerana ia adalah antara janji pembangkang kepada rakyat semasa pilihan raya umum lalu.

Tetapi bukan semua cadangan pembangkang yang berunsur mencari populariti itu sesuai dilaksanakan. Kerana ia dibuat berdasarkan ikut-ikutan tanpa memikirkan faktor kewangan dan kesannya kepada penduduk setempat.

No comments: