Monday, March 15, 2010

Bebas : kuasai Parlimen ?






Busuk lagi membusukkan. Media dengan penuh nafsu memberi sokongan moral dengan melayan 'kumpulan' Ahli Parlimen serpihan dan hampas ini sebagai hero Dewan rakyat yang baru.

Merujuk kembali gelagat dan tindakan mereka, pertama adalah sebagai satu cerminan ahli parlimen yang lemah jiwa, halatuju perjuangan yang goyah, tiada berprinsip, mudah tergoda, paling bermasalah dengan masalah peribadi terutama soal kewangan.

Justeru itu, UMNO mudah memanipulasi 'kelemahan' sedia ada dengan budaya beli dan ugut. Kerana inilah senjata ampuh UMNO sejak dulu, kini dan selamanya dalam mempertahankan legasi kekuasaan mereka di bumi Malaysia.

Selagi kantung dan khazanah negara masih banyak, manipulasi , gula-gulakan rakyat dengan projek, UMNO akan dan masih selamat kekal berkuasa di Malaysia. Syarat rakyat dijadikan sebagai sekumpulan arnab yang diletakkan dalam satu kandang yang terhidang dengan makanan dan minuman sambil bermain-main tanpa pengetahuan taktik dan stategik tuan pemberi makanan dan minuman itu membiayai dan menaja makanan dan minuman ada niat tertentu. Arnab-arnab yang dipelihara itu sehingga gemuk. Arnab gemuk itu didapati tiba-tiba hilang entah ke mana. Cuma yang sedar di kalangan arnab -arnab tadi adalah seekor arnab yang sering memerhati, peka dengan apa yang berlaku disekelilingnya.

Begitulah senario, situasi apa yang berlaku dalam negara kita.

Ahli Parlimen Bebas antara paling banyak kemuka usul di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 14 Mac - Tekad ahli-ahli Parlimen yang baru menjadi wakil rakyat Bebas untuk aktif memperjuangkan kepentingan rakyat terbukti apabila nama mereka tersenarai antara yang paling banyak mengemukakan usul untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Berdasarkan kertas aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat pada Selasa ini, Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) mengemukakan 21 usul iaitu yang terbanyak di kalangan ahli Parlimen, antaranya cadangan dihentikan penjualan arak di dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) pula mengemukakan tiga usul termasuk cadangan supaya pakar ekonomi dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) turut mengemukakan tiga usul, antaranya syor agar had laju di lebuh raya dinaikkan kepada 130 kilometer sejam.

Seorang lagi ahli Parlimen Bebas yang baru ialah Tan Tee Beng (Nibong Tebal), manakala tiga yang sedia ada ialah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Datuk Chua Soon Bui (Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Sepanggar).

Semua tujuh ahli Parlimen Bebas berkenaan ditempatkan di bahagian belakang Dewan di Blok F.

Berdasarkan kertas aturan urusan mesyuarat berkenaan, sesi soal jawab selama satu setengah jam dari pukul 10 pagi akan dimulakan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab soalan pertama yang dikemukakan.

Soalan daripada Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) ialah mengenai sejauh mana gagasan 1Malaysia telah berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama pada masa sekarang.

Selepas sesi soal jawab, ia akan diteruskan dengan perbahasan menjunjung kasih ahli-ahli Parlimen terhadap titah ucapan Seri Paduka.

Dua rang undang-undang juga akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga iaitu Rang Undang-Undang Agensi Pelaporan Kredit 2009 dan Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi 2009.

Ura-ura bahawa akan berlaku perubahan jawatan Ketua Pembangkang berikutan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini hanya mempunyai 27 kerusi Parlimen berbanding DAP dengan 28 kerusi dijangka tidak menjadi kenyataan.

Ini berikutan penyandang sedia ada yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan untuk mengemukakan soalan kedua pada sesi soal jawab, Selasa ini.

Soalan kedua yang dikhaskan untuk Ketua Pembangkang ditujukan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kenapa nilai pelaburan asing ke negara ini terus merosot walaupun selepas kerajaan melaksanakan liberalisasi sektor perkhidmatan pada tahun lalu.

No comments: