Saturday, February 20, 2010

UMNO selama-lamanya yakin kedudukan di Pahang

Dari segi sejarah UMNO tidak tergugat langsung dengan gerakan Pakatan pembangkang di Pahang. Hakikatnya tsunami politik Pahang cuma nampak 'mencacak' naik graf suhu pada 1999, selepas zaman reformasi oleh Anwar.

Maka selama-lama UMNO amat selesa dan tidak teruja dengan gerakan asakan pembangkang, walaupun Fauzi Rahman bekas Timb Menteri Kewangan masuk PKR. Maka kesimpulannya Pahang adalah parti yang kuat di Pahang ?

UMNO Pahang jangan terlebih yakin

BERDASARKAN senario politik semasa, ada yang berani mengatakan Barisan Nasional (BN) mampu mencapai semula kemenangan besar meskipun bukan majoriti dua pertiga jika pilihan raya umum diadakan pada masa ini.

Beberapa faktor mendorong kepada andaian itu. Kemelut dalaman parti pembangkang yang menyaksikan beberapa pemimpin utama mereka meletakkan jawatan sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.

Paling terbaru, tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim melepaskan semua jawatannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa 12 Februari lalu.

Sebelum itu pada 7 Januari lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim meletakkan jawatannya berkuat kuasa tarikh sama, kononnya atas alasan peribadi.

Bagaimanapun sumber rapat mengatakan peletakan jawatan Salehudin itu ada kaitan dengan kritikannya terhadap tindakan Kerajaan Selangor mengambil alih hutang Talam Corporation sebanyak RM391 juta pada Oktober lalu.

Sebelum itu juga di Pahang, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PKR termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri pada 25 Januari lalu.

Tindakannya itu berikutan rasa tidak puas hatinya terhadap pentadbiran parti itu yang disifatkan seolah-olah seperti sebuah syarikat perniagaan.

Itu belum lagi kerenah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang sentiasa membuat hal sehingga merimaskan para pemimpin pembangkang.

Faktor lain yang mungkin boleh mempengaruhi pengundi terutama Melayu untuk memilih semula BN jika pilihan raya diadakan adalah dasar-dasar parti pembangkang yang mengecewakan mereka.

Di Pulau Pinang misalnya, beberapa tindakan seperti merobohkan gerai-gerai milik Bumiputera dan sikap berdolak dalik terhadap keputusan pembatalan perarakan Maulidur Rasul boleh dianggap sebagai 'bola tanggung' kepada BN dan UMNO.

Dilihat dari sudut parti memerintah pula, kekuatan yang dimiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gigih memulihkan reputasi UMNO dan BN mampu mengubah keputusan senario Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang lalu.

Beberapa program yang mendekatkan rakyat dengan UMNO terutama 'Juara Rakyat' mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada masyarakat akar umbi.

Namun, itu semua hanya andaian kerana kekuatan UMNO dan BN masih belum dapat diuji sepenuhnya walaupun wujudnya kelemahan pembangkang di sana sini.

Ketika ini, sebahagian pemimpin di peringkat tertinggi UMNO sedang gigih menyingsing lengan untuk memastikan parti itu terus relevan sementara menantikan semboyan PRU Ke-13 ditiupkan.

Persoalannya, bagaimana pula dengan ahli-ahli UMNO di akar umbi?

Adakah mereka telah bersiap sedia untuk menyahut cabaran menjelang pilihan raya umum akan datang.

Realitinya, masih wujud dalam kalangan ahli-ahli UMNO yang 'tidur' dan hanya bertepuk tangan melihat gelagat yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

Jika tidak, masakan terdapat ribuan lagi ahli UMNO berumur 21 tahun ke atas dikesan belum mendaftarkan diri sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Merujuk kes di Pahang, kira-kira 36,000 ahli UMNO dikesan belum mendaftarkan diri sebagai pemilih. Masalah sama dipercayai turut berlaku di negeri-negeri lain.

Justeru, Konvensyen UMNO peringkat negeri Pahang yang dirasmikan Najib selaku Presiden parti di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jengka semalam perlu dijadikan platform buat ahli-ahli parti itu untuk membuat persiapan lebih rapi dalam menghadapi PRU Ke-13.

Meskipun mencapai kemenangan selesa pada PRU Ke-12 apabila hanya lima daripada lebih 50 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) jatuh ke tangan pembangkang, pemimpin dan ahli UMNO Pahang perlu bermuhasabah terhadap kekuatan yang dimiliki jika masih ada 36,000 ahlinya belum berdaftar sebagai pemilih.

Menurut Pengerusi Biro Daftar Pemilih UMNO Negeri Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, dalam Parlimen Kuala Krau sahaja, seramai 2,637 ahli UMNO dikesan masih tidak berdaftar sebagai pemilih manakala lebih 1,000 ahli parti itu tidak berbuat demikian di Parlimen Rompin.

''Di Maran, kita mengesan kira-kira 3,000 ahli UMNO yang tidak berdaftar sebagai pengundi," katanya.

Menurutnya, antara faktor ahli UMNO tidak mendaftar adalah kerana berasa selesa dan yakin BN Pahang mampu mengulangi kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengarah SPR negeri, Ismail Mohd. Yusof pula mengklasifikasikan bahawa Pas merupakan parti paling aktif mendaftar ahlinya sebagai pemilih berdaftar apabila seramai 1,437 orang didaftarkan berbanding komponen BN iaitu MCA, Gerakan dan MIC yang tidak serius menjalankan gerak kerja itu.

'Bayangkan sepanjang tahun lalu, MIC hanya mendaftarkan lima orang ahlinya sebagai pengundi,'' katanya.

Menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara ujar Ismail, seramai 815,707 penduduk Pahang layak mengundi sebagai pemilih dalam pilihan raya akan datang tetapi seramai 200,489 orang masih belum berbuat demikian.

''Hasil gerakan bersepadu dengan parti-parti politik kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), seramai 615,218 orang berjaya didaftarkan sebagai pemilih sepanjang tahun lalu," katanya.

Justeru, angka tersebut perlu diberi perhatian serius dalam konvensyen tiga hari yang ditutup tirainya oleh Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad ini.

Kehadiran dua pemimpin tertinggi UMNO iaitu Najib dan Muhyiddin di tanah rancangan itu sebenarnya membawa mesej yang cukup besar bahawa Pahang perlu terus dijadikan 'simpanan tetap' UMNO dalam pilihan raya akan datang.

Ia bertepatan dengan resolusi PKR yang berhajat untuk menawan sebuah lagi negeri kelahiran Perdana Menteri selepas Kedah dan Pulau Pinang.

Menariknya, resolusi itu dicapai dalam Konvensyen PKR Pahang yang dirasmikan Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuantan pada 13 Januari lalu.

Bertunjangkan resolusi itu, PKR akan menggerakkan segala kekuatannya untuk menyelinap masuk ke tanah-tanah rancangan bagi mempengaruhi pemikiran golongan peneroka terutama yang tidak berpuas hati dengan pengurusan Felda.

Pastinya, Felda Wilayah Jengka menjadi sasaran pembangkang berikutan ia merupakan tanah rancangan terbesar di Pahang, hatta di negara ini.

Keyakinan Anwar bertambah meluap apabila keputusan PRU Ke-12 lalu menyaksikan calon BN, Wan Salman Wan Ismail hanya menang dengan majoriti 596 undi ketika menewaskan calon Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pakatan pembangkang melihat laluan untuk menawan peneroka di Jengka semakin mudah selepas dua pemimpin Pas di kawasan itu, Tuan Ibrahim dan Nasruddin Hassan masing-masing dipilih sebagai Naib Presiden dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat pada pemilihan parti itu tahun lalu.

Di bandar-bandar utama terutama Kuantan dan Indera Mahkota, pakatan pembangkang berasa amat yakin untuk mengekalkan status quo mereka di kedua-dua Parlimen tersebut kerana beranggapan pengundi bukan Melayu akan terus menyokong mereka.

Di sini letaknya cabaran UMNO negeri untuk menawan semula kedua-dua Parlimen tersebut dengan mengembalikan keyakinan bukan Melayu kepada BN.

Sehubungan itu, UMNO Pahang yang diterajui Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Adnan Yaakob perlu lebih mempersiapkan diri dengan mengikis sikap terlebih yakin (over confident) menjelang PRU Ke-13 nanti.

UMNO Pahang perlu pantas menangani segala isu berkaitan peneroka sebelum ia dimanipulasi pembangkang.

Kerja-kerja ini bukan mudah apatah lagi wujudnya sebuah persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang dikatakan didalangi pembangkang sentiasa menjadi 'duri dalam daging' dalam kalangan peneroka.

Menyedari hakikat itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia berdepan dengan segala ancaman yang bakal diberikan oleh pembangkang.

Beliau tidak menafikan Felda Wilayah Jengka yang terletak dalam Parlimen Kuala Krau sentiasa diberi tekanan oleh pembangkang berikutan wujudnya pemimpin Pas bertaraf 'jeneral' di kawasan terbabit.

''Secara umumnya, kita sentiasa mendekati peneroka dengan mencari jalan supaya segala masalah mereka dapat diatasi secepat mungkin," jelasnya.

Antara isu yang sering dijadikan modal pembangkang di kawasan berkenaan, katanya, adalah isu perumahan bagi generasi kedua.

Walaupun pelbagai pendekatan diambil termasuk menyediakan banyak rumah bagi generasi terbabit, beliau kesal masih ada peneroka yang termakan dengan dakyah pembangkang.

Apa pun, Konvensyen UMNO peringkat negeri Pahang itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli-ahli parti supaya tiada ruang bagi pembangkang untuk menawan satu lagi negeri yang melahirkan dua Perdana Menteri di negara ini.

Sudah semestinya kita tidak mahu melihat Pahang senasib dengan Kedah dan Pulau Pinang selepas PRU Ke-13 nanti.

No comments: