Friday, January 22, 2010

Moral cerita Lu Fikirlah Sendiri

Utusan Malaysia berjaya membawa pembaca dan melarikan isu negara yang sebenar. Kini pembaca dan rakyat dialihkan fokus. Hari ini jutaan simpati terfokus kepada isu Tumi yang dianggap ibu kepada Tanggang Moden. Kejadian berlaku di Malaysia.

Kita sebenarnya, bukannya marah dan persalahkan Tumi dan anaknya. Kita mahu bertanya adakah kes kejadian ini berlaku segala-gala kerana Tumi dan anaknya sahaja, tanpa ada faktor-faktor luaran. Atau unsur-unsur luaran.

Sebab dua tiga hari ini, fokus media yang bersifat kemasyarakatan menunjukkan indikator kita sebagai rakyat dan masyarakat sentiasa bermasalah dan ada masalah. Sehinggakan masalah itu tidak dapat diselesaikan. Ataupun rakyat dan masyarakat sahaja yang perlu menyelesaikan masalah mereka.

Apa pula peranan kerajaan atau orang yang berkuasa ? Jika semua masalah dan bila ada sahaja masalah, tangan selalu dan sokmo ditundingkan ke arah alasan adalah kerana faktor ibubapa, tiada pendidikan agama dan semua kena bermula di sekolah atau dalam sistem pendidikan. Maka sampai bila masalah rakyat dapat diselesaikan.

Maknan moralnya lu fikirlah sendiri



Tumi Wongsoruju ketika berada di Balai Polis Seri Kembangan, Serdang, Selangor, semalam.


SUBANG JAYA 21 Jan. - Sudah tiga tahun, Tumi Wongsoruju tidak bertemu anak perempuan tunggalnya yang membawa diri tanpa sebarang berita ke Semenanjung.

Jarak yang jauh ditambah pula dengan kesempitan hidup, membuatkan wanita berusia 52 tahun yang tinggal di Kuching, Sarawak itu tidak berupaya mencari anak kesayangannya.

Namun kerinduan yang tidak tertanggung lagi, akhirnya mendorong Tumi berhutang dengan saudara-mara bagi membeli tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk menjejaki anaknya.

Berbekalkan duit poket RM150 dan alamat sebuah kawasan perumahan di Serdang dekat sini, dia menyusuli anak perempuannya itu.

Membuang rasa malu dan takut, Tumi yang berasal dari Taman Duranda Emas di Jalan Kuching-Serian memberanikan diri menagih simpati orang ramai untuk membantu mencari rumah anaknya yang berusia 33 tahun.

Setelah puas bertanya, dia yang tiba di Semenanjung kelmarin berjaya menemui anak kesayangannya itu hasil bantuan orang ramai dan anggota dari Balai Polis Seri Kembangan, malam tadi.

Namun, perasaan teruja dan gembira bertemu anak yang cukup dirindui bertukar menjadi kenangan pahit yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya.

Tumi bukan sahaja dihalau bahkan tidak diakui sebagai ibu oleh anak perempuan dan menantunya.

Biarpun bersungguh-sungguh meyakinkan mereka dengan menunjukkan sijil kelahiran anaknya, wanita itu dan suaminya tetap berkeras enggan mengaku Tumi sebagai ibu.

Terkilan dengan sikap anaknya itu, Tumi yang tidak mempunyai saudara-mara di sini akhirnya berputus asa dan bersetuju mengikut anggota polis ke Balai Polis Seri Kembangan.

Simpati dengan nasib Tumi, wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! bersama jurugambar sepakat berkongsi mengeluarkan wang untuk membeli tiket penerbangan dan duit belanja bagi membolehkan dia pulang ke kampung halamannya hari ini.

Dengan kerjasama anggota dari Balai Polis Seri Kembangan, Tumi berjaya mendapat tiket penerbangan pulang ke Kuching menaiki pesawat AirAsia pukul 7.40 malam ini.

Sementara itu, Tumi ketika ditemui dengan berlinangan air mata memberitahu, selain mengubati kerinduan, tujuan dia datang ke Semenanjung adalah untuk memujuk anaknya itu supaya pulang bersamanya ke Kuching.

Katanya, ini bagi menyelesaikan urusan tuntutan hak penjagaan cucu lelakinya hasil perkahwinan anak perempuannya itu dengan suami pertama.

"Sebelum berkahwin dengan suami sekarang, anak saya pernah mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki berketurunan Bidayuh.

"Mereka mempunyai seorang anak yang kini berusia 13 tahun. Kanak-kanak itu dijaga oleh saya selama 11 tahun sebelum diambil oleh bekas menantu yang mendakwa sudah memeluk Islam selepas mereka bercerai," katanya.

Tumi berkata, dia nekad menuntut hak penjagaan cucu kesayangannya itu kerana bimbang akidah kanak-kanak itu terpesong memandangkan cucunya kini tinggal bersama keluarga bekas menantunya yang beragama Kristian di Kampung Tijirak, Kuching.

Katanya, anak perempuannya itu merupakan anak tunggalnya hasil perkahwinan dengan suami pertama. Perkahwinannya dengan arwah suami kedua yang merupakan bekas tentera berasal dari Lenggong, Perak, tidak dikurniakan cahaya mata.

Tumi yang tinggal seorang diri dan menghidap sakit buah pinggang memberitahu, mereka tidak pernah berselisih faham namun dia terkejut apabila anaknya menghilangkan diri bersama suami barunya ke Semenanjung tiga tahun lalu dan langsung tidak menghubunginya sehingga kini.

"Biarpun sedih mengenangkan anak kesayangan yang dikandung selama sembilan bulan enggan mengaku saya sebagai ibu tetapi saya tetap memaafkannya dan berharap dia kembali ke pangkuan saya satu hari nanti.

"Malah, saya ada membawa sepasang baju kurung baru dan sehelai selendang untuk dihadiahkan kepadanya," katanya yang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan dengan kejadian itu.

No comments: