Friday, January 15, 2010

Isu Pendidikan : PAS Pahang mahukan ?

Pendidikan: PAS tuntut kerajaan henti bebani rakyat
Written by Administrator Thursday, 14 January 2010 10:51 PDF Print E-mail
PAS menuntut kerajaan bertanggung jawab penuh menyediakan prasarana dan kemudahan pendidikan tanpa meletakkan sebarang bentuk liabiliti kepada pentadbir dan guru sekolah sehingga boleh mendatangkan kemudaratan terhadap mutu pendidikan Negara ke arah melahirkan modal insan pada masa depan.


Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menerima banyak rungutan daripada pelbagai pihak termasuk dari pentadbir dan guru sekolah yang merasa bimbang dan tertekan dengan polisi baru kementerian akibat daripada pengurangan peruntukkan kerajaan dan beberapa polisi lain termasuk peningkatan yuran makan bagi pelajar asrama dan kesan sebalik pelaksanaannya.

"Kami difahamkan bayaran yuran asrama meningkat dari RM 1 kepada RM 3 sehari bagi ibu bapa yang berpendapatan RM 5 ribu ke atas sementara bilangan penyediaan makanan hanya dihadkan kepada 200 pada awalnya kemudian dinaikkan kepada 240 hari daripada hari bersekolah".

"Akibat pemotongan peruntukan tersebut pelajar-pelajar asrama di minta balik ke rumah setiap hujung minggu( Sabtu dan Ahad) kerana ketiadaan peruntukan makanan atau makan dengan wang sendiri. Keadaan ini jika dibiarkan sudah tentu boleh menjejaskan mutu pelajaran bagi pelajar asrama kerana hilang fokus terhadap pelajaran akibat daripada kepenatan atau faktor-faktor lain".

"Bagi ibu bapa dan penjaga, senario sebegini sudah tentu menyusahkan kerana terpaksa menjemput pulang pelajar dan menghantar kembali ke asrama pada setiap hujung minggu. Kesan daripada keadaan yang berlaku itu sudah tentu dirasai sangat oleh golongan berpendapatan rendah," ujarnya dalam satu kenyataan akhbar yang diedarkan kepada media.

Menurut Tuan Ibrahim, lebih membimbangkan bagi PAS ialah terdapatnya rungutan daripada pelbagai pihak bahawa kementerian cuba melepaskan tanggung jawab penyediaan utiliti sekolah kepada pentadbir.

Tambahnya, PAS sangat bimbang jika keadaan itu berlaku menyebabkan pihak pentadbir dan guru sekolah hilang fokus kepada usaha asas iaitu meningkatkan mutu pendidikan kerana dibebani tanggung jawab yang tak sepatutnya dipikul.

"PAS juga mendesak kerajaan menunaikan janji untuk menambah kakitangan dalam sektor perkeranian dalam sistem pendidikan bagi meringankan beban guru supaya mereka lebih fokus dalam dunia pengajaran dan pendidikan".

"Ke arah mengatasi masalah kemerosotan akhlak di kalangan pelajar PAS menuntut kerajaan agar segera mewujudkan suatu pendekatan berimbang dalam memastikan kejayaan dalam bidang akademik dan pembentukan sahsiah bagi melahirkan modal insan yang berjaya".

Tuan Ibrahim berkata, PAS beranggapan jika keadaan yang berlaku itu benar dan tidak diatasi maka sistem pendidikan negara berada dalam keadaan yang amat kronik yang boleh mengancam pembentukan budaya bangsa yang sejahtera pada masa depan.
Last Updated ( Thursday, 14 January 2010 20:10 )

No comments: