Wednesday, November 04, 2009

Cubaan rujuk PM ke jawatankuasa pilihan gagal

KUALA LUMPUR: Cubaan Ahli Parlimen pembangkang, Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor), untuk merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen kerana didakwa membuat kenyataan menyeleweng Dewan Rakyat gagal setelah Speaker membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya.

Dr Dzulkefly yang sebelum itu tidak berpuas hati dengan jawapan Najib berhubung isu pembayaran royalti minyak kepada Kelantan mendakwa Perdana Menteri memberi fakta salah berhubung syarat pemberian royalti kepada negeri-negeri berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

"Di dalam Akta Kemajuan Petroleum tidak ada syarat yang menyatakan untuk membolehkan negeri-negeri mendapat lima peratus royalti minyak, petroleum itu mesti diperolehi dalam lingkungan tiga meter nautika dari pesisir pantai.

"Malah berdasarkan Laporan Kewangan Petronas, duit yang diberikan kepada Sabah, Sarawak dan Terengganu dipanggil royalti dan bukannya wang ehsan," kata Dr Dzulkefly yang membangkitkan perkara itu sebaik sesi soal jawab lisan berakhir.

Bagaimanapun, cubaannya dipatahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang menjelaskan bahawa terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang Ahli Parlimen boleh dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan.

"Dalam sesi soal jawab apa pun, jawapan yang diberi oleh sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri boleh dikatakan menyeleweng kalau memenuhi tiga syarat iaitu fakta memang tak betul, yang menjawab tahu fakta itu tidak betul dan meneruskan hujah dan ketiga ada niat hendak menyelewengkan.

"Jawapan tadi daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi saya tidak melanggar mana-mana peraturan mesyuarat," katanya yang terus disanggah Ahli Parlimen pembangkang termasuk Dr Dzulkefly, Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) dan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

Justeru, Pandikar Amin berkata sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan beliau, mereka seharusnya mengikut peraturan Dewan dengan mengemukakan usul terlebih dahulu sebelum membangkitkan perkara itu dalam persidangan.

Pandikar Amin kemudian menegaskan bahawa keputusannya adalah muktamad sebelum memberi laluan kepada Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) untuk memulakan perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2010. - Bernama

No comments: