Saturday, August 01, 2009

Nik Aziz terima saranan jaga hati orang UMNO

01/08/2009 7:23pm
KOTA BAHARU 1 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia menerima saranan Perdana Manteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menjaga perasaan dan sensitiviti ahli UMNO dalam mengeluarkan kenyataannya sehingga menyinggung pihak tertentu.

Katanya, beliau tidak berniat mengganggu perasaan hati mana-mana pihak, jika pihak terbabit tidak mengganggunya.

Beliau juga bersyukur kerana dapat menemui Najib di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini ketika Perdana Menteri dalam rangka lawatan kerja ke Kelantan walaupun pertemuan itu tidak dirancang.

“Walaupun perjumpaan ini secara mendadak, dan saya terpaksa membatalkan program lain tapi ia semacam jaminan memberi positif untuk bekerjasama antara kerajaan negeri dengan pusat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib hari ini yang meminta beliau menjaga perasaan orang UMNO dan tidak mengeluarkan perkataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak jika ingin mewujudkan kerjasama yang baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
- BERNAMA

No comments: