Ini menunjukkan UMNO yang terkenal dengan banyak kumpulan sokongan yang membantu mereka pusat kajian sini dan sana , terpaksa meniru idea Pakatan Rakyat.
Guna KBSM tarik rakyat
TEMERLOH 22 Mei - Ahli-ahli dan pemimpin UMNO perlu mengamalkan konsep Kenduri, Bersalin, Sakit dan Mati (KBSM) bagi menarik semula sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, konsep itu ialah dengan menggalakkan ahli dan pemimpin UMNO menghadiri majlis kenduri, menziarahi wanita bersalin, orang sakit dan meninggal dunia di kawasan masing-masing.
Melalui konsep KBSM itu, kata beliau, ahli dan pemimpin UMNO dapat mendampingi masyarakat terutama pengundi atas pagar yang sebelum ini beralih dengan menyokong pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.
''Kalau ahli dan pemimpin UMNO dapat merealisasikan KBSM, orang-orang Melayu terutama ahli-ahli UMNO sendiri yang sebelum ini beralih angin akan kembali menyokong parti kita.
"Ia sekali gus menebus semula kerusi yang tewas pada pilihan raya umum lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO Bahagian Temerloh di Bangunan UMNO, Mentakab dekat sini malam tadi.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin dan timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah.
Selain KBSM, Ahmad memberitahu, ahli dan pemimpin UMNO menggunakan prinsip 4P dan 4S bagi menarik sokongan empat juta rakyat yang akan berdaftar sebagai pengundi baru dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, 4P ialah pemimpin, perpaduan, penerangan dan pelaksanaan, manakala 4S bermaksud semangat, sama-sama berjuang, bersungguh-sungguh dan sistematik.
''Jika pemimpin melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan di samping ahli-ahli UMNO dapat meningkatkan perpaduan, usaha menarik semula sokongan orang Melayu menjadi lebih mudah.
''Kalau semua prinsip KBSM, 4P dan 4S dilaksanakan usaha kita untuk mendapat semula kemenangan dua pertiga majoriti dan membentuk kerajaan yang kuat akan berhasil," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad menjelaskan, UMNO dan BN tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini kerana tidak mahu terperangkap dengan taktik pembangkang.
Katanya, BN mengambil keputusan memboikot pilihan raya kecil itu bukan kerana takut atau dayus, tetapi ia tidak perlu apabila pembangkang sengaja mengaturkan pilihan raya kecil itu.
Menurutnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil, sebaliknya boleh melantik wakil rakyat lain bagi menggantikan Mohamad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment