Wednesday, April 01, 2009

Rasuah: Antara definisi sebenar dgn UMNO

Nilai dan penilaian rasuah daripada sudut kaca mata UMNO BN. Pada UMNO rasuah sebenar atau tulen jadi rasuah bila mana-mana orang bukan UMNO memberikan duit kepada orang lain. Amalan ini didefinisikan sebagai rasuah. Amalan rasuah tidak jadi rasuah atau gugur rasuahnya bilamana UMNO yang memberikan wang dan segala-gala, lalu rasuah ditukar menjadi 'politik wang'. Ini namanya bukan rasuah. Segala-galanya akan menjadi rasuah, jika UMNO kata rasuah. Selagi UMNO kata bukan rasuah, ia tidak jadi rasuah.

Sedarlah, sebenar-benarnya UMNOlah yang mempermainkan dan mempermudah-mudahkan rasuah dan nilaian rasuah. Sedangkan dalam Islam jelas ALlah SWT menyatakan, 'orang yang memberi dan menerima rasuah' maka api nerakalah jawabnya.' Lihatlah betapa Islam dipermainkan, islam dipermudah-mudahkan dan Islam diremeh temehkan. UMNO menyenda-nyendakan Islam. Meremehkan ajaran agama. Memperagung-agong dan memperhebatkan mereka. Sedangkan Islam mahukan umat islam pegang Islam secara bersungguh-sungguh. Islam sampai kepada kita. Bayangkan bagaimana Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh menyampaikan Islam. Dengan mengadai nyawa. Begitu juga dengan isterinya Khadijah yang kaya raya waktu itu, semasa akhir hayat licin hartanya, semua kerana Islam.


Tuduhan rasuah, Ngeh pertahan Nizar

IPOH - Pakatan Rakyat (PR) semalam menafikan kenyataan bahawa calon Pas untuk Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberi rasuah sebanyak RM30,000 kepada pegawai khas Ahli Parlimen Bruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Pada satu sidang media khas di Wisma DAP di sini, Koo Ham yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, isu RM30,000 ditimbulkan dua hari lalu dalam satu ceramah Barisan Nasional (BN) di Taman Kaya.

“Penceramah itu, Hamzah Taha berkata, dia mempunyai bukti (surat) yang menyatakan Nizar telah mengeluarkan surat bahawa telah memberikan wang RM30,000 kepada pembantu khas saya Jason.

“Ingin saya jelaskan bahawa wang RM30,000 itu diberikan kepada Jawatankuasa Tanah Orang Asli untuk membolehkan Orang Asli membuat persiapan mengadakan satu konvensyen yang dijadualkan pada 1 Mac 2009.

“Bagaimanapun kerana jawatankuasa ini masih baru dan tidak mempunyai akaun, wang itu akan disalurkan melalui Jason yang merupakan orang yang sentiasa menghadiri mesyuarat-mesyuarat yang dikendalikan oleh Orang Asli dan paling rapat dengan mereka.

“Jason juga merupakan orang yang membantu jawatankuasa ini untuk mengadakan konvensyen yang telah dijadualkan untuk diadakan di Stadium Indera Mulia.

“Bagaimanapun wang itu belum diberikan kepada Jason. Segala persiapan permulaan untuk konvensyen yang mengumpulkan Orang Asli dari seluruh negeri telah dilakukan dan Jason telah mengeluarkan wangnya sendiri sebanyak RM10,000,” katanya.

Koo Ham berkata, surat yang dikeluarkan kepada Jason ialah mengikut undang-undang dan Penasihat Undang-undang Negeri juga maklum mengenai tindakan berkenaan.

Menurutnya, jika wang itu diberikan kepada Jason seharusnya satu perjanjian telah dibuat iaitu jika wang RM30,000 itu disalah gunakan, pihak kerajaan negeri boleh mengambil wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Jason sebagai ganti rugi.

“Tetapi situasi itu tidak wujud. Apa yang kami buat adalah untuk kepentingan Orang Asli agar konvensyen yang kami lakukan boleh memberi ruang dan membuka peluang perhubungan sesama Orang Asli di negeri ini.

“Seharusnya kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Dr Zambry yang memberikan jawapan kenapa pihaknya tidak membenarkan konvensyen itu berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Tanah Orang Asli, Tijah Yok Chopil yang turut hadir memberikan amaran kepada mana-mana parti politik di negeri ini agar tidak menggunakan sentimen Orang Asli untuk memancing undi.

“Selama 52 tahun merdeka, kebajikan kami telah diabaikan dan ini merupakan julung kalinya kami diberikan penghargaan dan peluang untuk menganjurkan konvensyen kami sendiri, tetapi itu pun telah dibatalkan.

“Kami bukan menyokong mana-mana parti politik di negara ini, tetapi saya harap jangan ada pihak yang menggunakan nama Orang Asli sebagai satu cara untuk menang dalam pilihan raya,” katanya.

Tijah juga mengakui maklum dengan peruntukan RM30,000 yang diberikan oleh kerajaan PR kepada Orang Asli untuk tujuan konvensyen berkenaan.

“Wang itu diberikan sebagai perbelanjaan makan minum serta pengangkutan untuk membawa perwakilan Orang Asli dari 33 buah kampung. Kami juga maklum bahawa wang itu disalurkan melalui Jason,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media berkenaan ialah seorang lagi ahli jawatankuasa Tanah Orang Asli, Bahtony Hunt yang juga mengakui maklum dengan proses pemberian wang berkenaan.

No comments: