Wednesday, April 01, 2009

Anwar dan ceramahnya !!!

Kempen sulung Anwar tidak sentuh kes Altantuya

PATUH... Anwar tidak menyentuh isu berkaitan wanita Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu dan institusi Raja-Raja.

SUNGAI PETANI: Ceramah pertama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Selambau di sini, malam tadi berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini serta tanpa menyentuh isu-isu yang dilarang polis iaitu mengenai wanita Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu dan institusi Raja-Raja.

Ceramah beliau yang diadakan di dua tempat berasingan bagi kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Anwar dalam ucapannya memfokuskan kepada isu-isu yang sering dilaung-laungkan sebelum ini iaitu yang menyentuh tentang kaum India termasuk insiden kematian tahanan lokap, A Kugan,lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri serta kesengsaraan penduduk akibat sikap rakus pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Semalam, polis dalam satu kenyataan mengeluarkan amaran supaya isu Altantuya dan keputusan Sultan Azlan Shah dalam isu politik Perak tidak disentuh semasa berkempen oleh mana-mana parti politik di tiga pilihan raya kecil iaitu di DUN Bukit Selambau, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Batang Ai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira dari parti politik yang didapati mengapi-apikan atau mengeluarkan kata-kata yang dianggap sebagai menghasut.

Walaupun isu Altantuya yang sering disebut-sebut Anwar di dua pilian raya kecil sebelum ini iaitu di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu tidak disentuh semalam, namun ia tetap disentuh oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lain yang menyampaikan ceramah sebelum beliau malam tadi iaitu N Gobalakhisnan, Wan Abdul Wahid Endut dan Saifuddin Nasution.

Ceramah yang bermula jam 10 dan berakhir kira-kira pukul 12 tengah malam berlangsung dengan aman dan dalam kawalan pihak berkuasa.

Hal ini berbeza dengan ceramah beliau pada 24 Mac lalu yang terpaksa dibatalkan apabila pihak polis terpaksa menyuraikan penonton-penonton yang hadir dengan gas pemedih mata dan meriam air kerana diadakan tanpa permit polis.

Anwar dalam ucapannya menjelaskan, walaupun pemilihan calon PKR, S Manikumar mendapat tentangan segelintir pihak termasuk dari dalam PKR sendiri, namun Manikumar dikatakan sebagai calon yang paling layak untuk diangkat sebagai wakil rakyat di Bukit Selambau.

"Dia ni ada kebolehan, cerdik dan boleh diangkat sebagai pemimpin India yang akan menjadi Exco kerajaan negeri.

"Ya, memang dia tidak ada pengalaman, baru 35 tahun tetapi kita tahu dia bersih sebab kita sudah interview dia selama dua jam bagi memastikan dia bersih daripada rekod jenayah," katanya.

No comments: