Pemuda BN serah memorandum bantah hina sultan
ALOR SETAR 1 Mac — Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah, hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri sebagai tanda bantahan terhadap dakwaan berlakunya penghinaan terhadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid, yang mengetuai 50 anggota Pemuda BN negeri termasuk MCA, MIC dan Gerakan, menyerahkan memorandum itu kepada wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Mohd Rizal Mohd Radzi, di Wisma Darul Aman di sini, kira-kira pada pukul 10.30 pagi.
Mohd Rawi berkata penyerahan memorandum itu adalah susulan daripada tindakan laporan polis yang dibuat di bahagian masing-masing sebelum ini, selepas Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat mendakwa menerima surat layang mengandungi dialog antara seorang Exco dan pegawai kanan kerajaan menghina Sultan yang telah dipos ke rumahnya 23 Feb lalu.
“Sementara menunggu pihak polis menyiasat kes ini, kami menyerahkan memorandum ini sebagai membuktikan ketegasan dalam mempertahankan institusi Raja-raja Melayu.
“Kandungan memorandum termasuklah usul supaya memecat Exco yang didakwa terlibat dan berharap pihak Istana menarik balik semua pingat kebesaran yang dianugerahkan kepadanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment