Thursday, February 26, 2009

Isu Elizebath

Nasib Elizabeth Wong: Cuti disambung

[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor semalam mengambil keputusan untuk memanjangkan cuti Exconya, Elizabeth Wong sehingga siasatan polis berhubung penyebaran gambar separuh bogel Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Lanjan itu selesai.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, sebarang keputusan mengenai kedudukan Wong hanya akan dibuat setelah polis selesai menjalankan siasatan.

"Setelah membuat perbincangan dengan semua Exco berkaitan isu ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk meneruskan cuti YB Elizabeth Wong sementara menunggu siasatan polis selesai," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di pejabatnya di sini semalam.

Wong bercuti selama sebulan sejak pertengahan minggu lalu.

Khalid berkata, seperti mana yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam majlis menghadap baginda di Istana Mestika pagi tadi, kerajaan negeri akan membuat keputusan yang adil dan mengambil kira kepentingan rakyat khususnya dan di Selangor amnya.

Pagi semalam, Khalid telah menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat baginda berhubung isu peletakan jawatan Wong sebagai ADUN dan Exco negeri berikutan tersebarnya gambar separuh bogel Wong sejak dua minggu lalu.

Baginda bagaimanapun menyerahkan kepada Khalid untuk membuat keputusan mengenai isu itu memandangkan kes Wong masih dalam siasatan polis dan sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik.

Khalid berkata, beliau begitu menghargai kepercayaan penuh yang diberikan oleh Sultan Selangor kepadanya dan barisan Exco dalam membuat keputusan mengenai isu itu.

"Kerajaaan negeri amat berbesar hati dengan kebijaksanaan Tuanku Sultan dalam memberi pendapat tentang pencerobohan hak peribadi individu.

"Sebagaimana titah Tuanku Sultan, perbuatan menceroboh hak peribadi seseorang individu adalah menyedihkan, lebih-lebih lagi ia untuk kepentingan politik," katanya.

Pada 17 Januari lalu, Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai ADUN dan Exco negeri berikutan penyebaran gambar separuh bogel beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Prof Syed Husin Ali ketika dihubungi mStar Online petang tadi berkata, status Wong masih belum diputuskan sehingga petang semalam.

Bagaimanapun kata beliau, ia akan dibincangkan oleh Biro Politik PKR malam ini.

"Semua isu berkaitan dengan politik parti akan dibincangkan malam ini, bukan hanya Elizabeth Wong akan sahaja, malah banyak lagi perkara akan turut dibincangkan termasuklah persiapan parti dalam menghadapi pilihan raya kecil di DUN Bukit Selambau," katanya.

Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor dijangka hadir mesyuarat biro itu.

Tambah beliau, keputusan yang dibuat oleh Sultan Selangor pagi tadi sememangnya sudah dijangka lebih awal.

Jelas Syed Husin, mesyuarat yang dijadual berlangsung malam ini akan dipengerusikan oleh Ketua Umum atau Presiden parti.

"Jika Ketua Umum dan Presiden tidak ada barulah saya akan mempengerusikan mesyuarat tersebut," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon PKR bagi DUN Bukit Selambau,Syed Husin berkata ia belum diputuskan lagi.

"Kami masih menunggu senarai nama yang diserahkan oleh Badan Perhubungan PKR di Kedah.Masih terlalu awal untuk bercakap soal calon,"ujarnya.

Pilihan raya raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau akan berlangsung 7 April dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac.

Kerusi DUN Bukit Selambau kosong selepas,penyandangnya, V. Arumugam yang juga bekas ahli PKR mengisytiharkan keluar parti terbabit 8 Februari lalu.

No comments: