Monday, September 08, 2008

DAP tidak terima lompat kerana wang

KUALA TERENGGANU 7 Sept. - DAP menentang kemasukan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam Pakatan Rakyat untuk menjayakan hasrat pembangkang membentuk kerajaan baru pada 16 September ini jika mereka melompat parti demi wang dan kuasa.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau tidak tahu apa yang ditawarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Ahli Parlimen BN, namun jika mereka lompat parti kerana mahu mendapatkan keuntungan kebendaan, tindakan itu tidak beretika dan tidak boleh diterima.

"Sama ada pembentukan kerajaan baru akan berlaku atau tidak pada 16 September ini ia bergantung kepada banyak perkara, kita perlu tunggu dan lihat.

"Tapi, jika Ahli Parlimen BN mahu keluar parti itu (menyertai pembangkang) untuk mendapat keuntungan kebendaan, ia tidak mulia dan kita menentangnya," kata beliau selepas merasmikan penubuhan DAP cawangan Sungai Tong, Setiu dan Kampung Cina, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat BN khususnya dari Sabah dan Sarawak akan menyertai pembangkang 16 September ini bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan baru.

Menurut Kit Siang, DAP hanya akan menerima kemasukan wakil-wakil rakyat BN ke dalam pakatan pembangkang jika mereka berbuat demikian atas prinsip perubahan kerajaan yang ada sekarang baik untuk rakyat.

Beliau seterusnya menggesa supaya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang Ahli Parlimen meletak jawatan daripada bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun dimansuhkan.

Mengenai peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya semua pihak tidak mensensasikan isu perkauman, kata Kit Siang, perkara itu perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak iaitu parti pembangkang serta pemerintah sendiri.

Dengan memberi contoh isu kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail bahawa kaum lain menumpang di negara ini, beliau berkata, isu itu sepatutnya ditangani lebih awal.

No comments: