Thursday, July 03, 2008

Tunggu lakonan SEMULA SPR

Sanglang: SPR tunggu keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan petisyen pilihan raya melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang sebelum memutuskan tindakan susulan termasuk kemungkinan mengadakan pilihan raya kecil.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya telah meneliti perakuan Hakim Mahkamah Pilihan Raya yang mengarahkan supaya kerusi Sanglang, yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) dikosongkan.

"Pengerusi SPR telah menerima perakuan keputusan hakim dan ia telah dibincangkan tetapi keputusan hanya akan dibuat apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung rayuan yang dibuat (oleh wakil Pas)," kata beliau ketika dihubungi petang ini.

Di bawah undang-undang pilihan raya, rayuan terhadap keputusan berhubung sesuatu petisyen perlu dibuat dalam tempoh 14 hari manakala mahkamah yang mendengar rayuan mempunyai masa sehingga enam bulan untuk mendengarnya.

Mahkamah Persekutuan akan menimbangkan rayuan dikemukakan oleh Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya berhubung petisyen yang difailkannya.

Rayuan itu meminta Mahkamah Persekutuan supaya mengisytiharkannya sebagai pemenang kerusi DUN Sanglang.

Mahkamah Pilihan Raya menolak permohonan Hashim untuk mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang yang layak bagi kerusi DUN Sanglang, walaupun petisyennya untuk membatalkan keputusan ketika pilihan raya umum ke-12 bagi kerusi itu diterima.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pernah menyebut pihaknya akan membuat pengumuman bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Sanglang, paling awal hari ini iaitu selepas tempoh rayuan 14 hari berakhir.

Kata Abdul Rashid, jika tiada rayuan dikemukakan, SPR akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil sama ada esok atau lusa.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, calon BN, Abdullah Hassan diisytiharkan menewaskan Hashim dengan majoriti 149 undi.

Abdullah memperoleh 3,384 undi manakala Hashim pula mendapat 3,235 undi.

Bagaimanapun, Hashim memfailkan petisyen membantah keputusan itu pada 23 April lalu dengan mendakwa SPR telah melakukan kesilapan kerana mengisytiharkan Abdullah memenangi kerusi DUN tersebut.

Keputusan itu dakwa Hashim sebagai bercanggah dengan fakta pada Borang 14 penyata kiraan undi SPR yang menunjukkan beliau menang dengan majoriti 47 undi selepas mendapat 3,333 undi berbanding 3,286 yang diterima oleh Abdullah.

Mahkamah Pilihan Raya Perlis yang mendengar kes itu sebelum ini memutuskan kerusi DUN berkenaan dikosongkan dan menolak untuk melantik pempetisyen sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sanglang kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memilih pempetisyen sebagai pemenang.

Ketika mengulas lanjut, Wan Ahmad memberitahu, walaupun Mahkamah Persekutuan mempunyai masa enam bulan untuk mendengar rayuan yang dikemukakan tetapi tidak semestinya ia mengambil tempoh itu.

"Mahkamah Persekutuan belum menetapkan tarikh. Tetapi berpandukan kes petisyen melibatkan kerusi DUN Manir (yang didengar oleh Mahkamah Persekutuan dalam tempoh kira-kira sebulan), SPR yakin mahkamah tidak akan melengah-lengahkan untuk mendengar kes rayuan petisyen pilihan raya," katanya.

"Bagaimanapun terserah kepada Mahkamah Persekutuan untuk menetapkan tarikh dan SPR hanya menunggu keputusan mahkamah (untuk tindakan susulan)," katanya lagi.

No comments: