Monday, July 21, 2008

Laporan palsu: Anwar ke BPR lagi
Jul 21, 08 11:36am
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambung keterangan di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini berhubung pemalsuan bukti kesnya 10 tahun lalu yang didakwa dilakukan oleh ketua polis negara dan peguam negara.

Berbanding keterangan minggu lalu, sejurus sebelum beliau ditahan polis bagi siasatan kes dakwaan meliwat, sesi kali ini dijangka lebih panjang, kemungkinannya sehingga selepas tengah hari.

Keterangan ini sebagai sebahagian siasatan laporan polis Anwar terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwanya memalsukan bukti dalam laporan kesnya pada 1998.

Pada masa itu, Musa seorang pegawai penyiasat manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaraya terhadap kes Anwar.

Apabila Anwar ditahan pada 20 September 1998, beliau dibawa ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman apabila mantan timbalan perdana menteri itu dipukul oleh KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, menyebabkan matanya lebam dan mengalami kecederaan lain di badannya.

Anwar berkata, laporan asal perubatan yang disediakan oleh beberapa orang doktor telah diketepikan.

Dalam laporannya itu, Anwar berkata, laporan perubatan menyimpulkan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah akibat dipukul.

Bagaimanapun, Anwar berkata, laporan tersebut tidak diterima dan mereka yang memukulnya tidak didakwa, sebaliknya peguam negara ketika itu Tan Sri Mokhtar Abdullah - yang didakwanya berpakat dengan Abdul Gani - meminta seorang doktor lain Dr Abdul Rahman Yusof mereka-reka laporan perubatan kedua.

Anwar berkata, beliau percaya, Musa dan Abdul Gani berada di Bukit Aman pada malam beliau dipukul oleh Abdul Rahim dan kedua-duanya "merahsiakan" kejadian tersebut daripada pengetahuan umum.

Sehubungan itu, Anwar mendesak supaya satu siasatan baru dijalankan terhadap dakwaan mereka bukti, yang boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara.

BPR menjalankan tugas menyiasat dakwaan tersebut memandangkan ia membabitkan pihak polis dan pejabat peguam negara.

Musa dan Gani telah dipanggil memberi keterangan berhubung laporan Anwar pada 11 Julai lalu.

Musa memberi keterangan lebih empat jam, manakala Gani pula memberi keterangan selama kira-kira 40 minit.

No comments: