Monday, April 28, 2008

Shahrir: Fokus bela kepentingan rakyat, bukan kejar jawatan

Anggota-anggota Umno harus mengembalikan kedudukan parti politik itu sebagai pembela kepentingan masyarakat, dan bukannya memfokus kepada usaha mengejar jawatan di dalam parti.
Ketua Umno bahagian Johor Baharu, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata tindakan mengejar jawatan mengakibatkan hubungan parti dengan rakyat menjadi bermasalah dan renggang.
"Kalau tidak melihat kepada jawatan dalam parti tetapi melihat kembali kepada kedudukan asal dan tujuan kita sebagai parti politik yang membela kepentingan orang ramai, ini akan mengekalkan sokongan rakyat kepada Umno," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan belia, Young Malaysian Movement Dearah Johor Baharu di sini, Ahad.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Disember nanti, Shahrir berkata fikiran beliau masih lagi belum sampai ke peringkat itu.
Beliau mengakui ada pihak mencadangkan beliau bertanding jawatan presiden, namun katanya ini bukan masa bagi beliau memikirkan soal tersebut, yang bukan sesuatu perkara yang penting baginya.
"Ini masa untuk kita bekerja. Kita mempunyai tanggungjawab sebagai kerajaan yang baru mendapat mandat daripada pengundi dan kita patut melaksanakan apa yang dijanjikan pada pilihanraya lepas," tegasnya.
Mengenai cadangan di peringkat akar umbi supaya jawatan pengerusi jawatankuasa perhubungan Umno negeri dipertandingkan di kalangan ketua-ketua bahagian agar lebih demokrasi dan adil, Shahrir berkata apa yang penting ialah hak bersuara di dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut dan apa yang disuarakan akan disampaikan oleh pengerusi di peringkat Majlis Tertinggi (MT).
"Pengerusi hanya mempengerusikan jawatankuasa perhubungan itu dan tidak ada keadaan di mana pemilihan perlu diadakan. Hak bersuara ialah satu amalan yang lebih penting dalam demokrasi," katanya.
Sementara itu ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut senada dengan Shahrir semasa diminta mengulas perkembangan semasa yang menyaksikan ada kalangan anggota Umno yang menawarkan diri bertanding ke jawatan anggota MT.
Katanya ketika ini bukan masa yang sesuai untuk menyatakan pendirian bagi jawatan anggota MT kerana seharusnya anggota Umno perlu memberikan tumpuan dalam usaha menggerakkan parti terlebih dahulu.
"Bukan masanya untuk menyatakan kedudukan. Biarlah dia orang. Bagi saya, saya lebih fokus kepada soal untuk menentukan parti ini dapat bergerak dengan mandat yang diberikan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Post Mortem Pilihan raya Umum ke12 di Plentong hari ini. BERNAMA

No comments: