Saturday, April 05, 2008

Ku Li : Berani dan terbuka Sebarkan !!!!!

Umno hancur akibat tiada demokrasi, bersifat perkauman dan akhlak buruk - Ku Li
Anis Nazri
Sat | Apr 05, 08 | 6:41:08 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 April (Hrkh) - Tiada demokrasi dalam Umno, dasar dan visi Umno yang bersifat perkauman serta perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang Umno merupakan tiga faktor kekalahan Umno dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

Demikian dinyatakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Khas Umno Bahagian Gua Musang, di Balai Rakyat, Gua Musang, semalam.

Menurut Ku Li, kemusnahan demokrasi dalam Umno bermula apabila Perlembagaan Umno dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada Bahagian Umno.

"Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 Bahagian daripada jumlah 191 Bahagian Umno. Tujuannya, kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain," dakwa beliau.

Umno tidak amal demokrasi

Kata Ku Li lagi, sebelum kuota itu diperkenalkan, Umno pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja, yang jelas 'peraturan' yang munasabah dan tidak terlalu 'undemocratic'.

Beliau menambah, parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa.

Katanya, parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik.

"Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti. Akibatnya parti menjadi beku. Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik," tegas Ku Li.

Beliau turut menyatakan bahawa dengan amalan tersebut lahirlah banyak 'pak turut' dan 'tukang ampu' dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.

Beliau mengakui inilah keadaan yang berlaku dalam Umno hingga sekarang, di mana setiap kali menjelang pilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden Parti, atau Timbalan Presiden, Ketua Wanita, atau Ketua Pemuda tidak ditandingi.

Justeru, tegas beliau untuk menyelamatkan Umno dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam Umno.

Umno tidak pentingkan semua kaum

Dalam pada itu, Ku Li turut menyatakan bahawa dasar dan visi Umno hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

Menurutnya, dasar dan visi Umno hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.

"Kita mahu Umno menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan 'visi tradisionalnya': iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan," tegas beliau.

Menurutnya, imej Umno selama beberapa tahun ke belakangan ini dapat dibahagikan kepada tiga jenis, di mana imejnya kepada orang Melayu ialah Umno tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala, di samping Umno dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin.

Selain itu, katanya orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen Umno untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau turut menyentuh imej Umno di mata orang bukan Melayu, di mana mereka menganggap Umno ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain, yang mana Umno dianggotai oleh orang Melayu yang 'fanatik Melayu' - suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain.

Begitu juga katanya dengan imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti 'orang kaya' di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korap, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum.

"Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu. UMNO mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. Umno mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu," tegas beliau.

Dalam pilihan raya umum lalu, beliau mengatakan ada orang dari kaum India dan Cina, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, serta mengundi calon PAS di kawasan kuat Umno.

"Mengapa? Apakah kerana mereka sudah dipukau atau diIslamkan oleh orang PAS? Tidak. Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada Umno terhadap kaum bukan Islam. Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan," jelas beliau.

Katanya, inilah cabaran yang dihadapi oleh Umno hari ini, di mana ia terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum.

Calon Umno tiada adab, maki hamun Nik Aziz

Tambahnya, Umno terpaksa menyaingi parti baru seperti KeADILan yang dilihat oleh semua kaum - termasuk orang Melayu generasi baru - sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Faktor ketiga kekalahan Umno, katanya berkenaan perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang Umno yang perlu diadabkan.

Berdasarkan pemerhatian, kata beliau dalam kempen pilihan raya lalu, kelakuan beberapa calon Umno tidak beradab.

"Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Seorang calon Parlimen Umno memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit. Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu. Di Kelantan, kita dengar bagaimana seorang calon parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di KL, memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Dato' Nik Aziz," tegas beliau.

Bahkan, katanya seluruh jentera Umno digerakkan untuk melancarkan semacam 'perang salib' terhadap PAS, seperti perang yang dilakukan oleh Presiden Amerika, George Bush terhadap negara Islam.

"Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu - bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun - meluat dan menyampah dengan perangai dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng yang menyebabkan kita kalah lebih teruk dari tahun 2004," tegas beliau.

Keadaan itu, dakwa beliau berlaku kerana terlalu yakin pada kekuatan parti, sehingga tidak nampak kelemahan parti.

Jelasnya, orang-orang seperti itu berasa megah, berani bercakap besar dan memberi tahu pengundi 'Aku akan menjadi Menteri Besar' atau akan menjadi menteri jika dipilih.

'Roh perut' kuasai Umno, wang jadi mainan

Beliau turut mendakwa bahawa ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik Umno untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam Umno untuk kepentingan kepimpinan, tidak untuk kepentingan rakyat dan anggota akar umbi Umno.

"Jiwa dan roh Melayu orang Umno mulai digantikan dengan 'roh perut'. Wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam Umno," dakwa beliau.

Justeru, untuk menyelamatkan Umno, Ku Li menegaskan bahawa parti perlu membuang segala anggota Umno 'di atas' itu yang jahat, yang korap, yang tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana.

"Ada orang boleh jadi geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya. Orang ini tidak layak diangkat oleh Umno untuk menjadi pemimpin mereka. Mengapa? Sebabnya mereka tidak mempunyai 'roh atau semangat Melayu' yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat," tegas beliau.

Katanya, mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik, tetapi tidak layak menjadi pemimpin bagi bangsa Melayu-Islam yang mempunyai nilai-nilai ketimurannya yang tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang Melayu. - mks.

No comments: