Wednesday, March 26, 2008

Pilihanraya Datuk Banadar KL ?

Semua pihak wajar mengalu-alukan amalan memilih secara tunjuk terhadap Datuk Bandar yang diamalkan secara tradisi perlu diubah. Moto 'PAS Untuk Semua' harus direalitikan dan dicanai idea ini dalam semua disiplin aspek kehidupan. Biarpun gagasan atau idea ini dibawa untuk diketengahkan oleh kerajaaan atau wakil Barisan Rakyat.


Kini, setidak-tidaknya suara dan pandangan kita turut mendapat perhatian. Ini adalah satu lagi kemenangan moral kepada Barisan Rakyat. Agenda perubahan itu turut dirasai sama oleh rakyat, kerana rakyat mahukan perubahan. Kita menyanjung tinggi usaha pihak kerajaan BN mahu membincangkan idea ini demi kebaikan rakyat teramai.


Pilihanraya Datuk Bandar KL

Penduduk bandar raya Kuala Lumpur berpeluang memilih sendiri calon Datuk Bandar kegemaran mereka jika kerajaan meminda satu akta untuk membolehkan pilihanraya kerajaan tempatan.

Cadangan ahli parlimen pembangkang untuk mewujudkan pilihanraya itu, termasuk memilih ahli-ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akan dibawa dalam mesyuarat jemaah menteri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique hari ini.

Katanya, Akta Ibukota Persekutuan 1960 (Akta 190) perlu dipinda kerana, buat masa ini, jawatan itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN memenangi satu kerusi sahaja, manakala pembangkang merampas 10 kerusi - rekod pertama dalam sejarah pilihanraya umum - dengan pecahan lima DAP, empat PKR dan satu PAS .

Sementara Labuan dan Putrajaya, dua lagi kawasan Wilayah Persekutuan, kekal di tangan BN.

Awal minggu ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chua, dilaporkan akan mendapat pandangan orang ramai berhubung pilihanraya bagi memilih anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hasil rumusan tinjauan orang ramai itu akan diserahkan kepada kabinet untuk keputusan akhir.

Pilihanraya kerajaan tempatan pernah dijalankan 40 tahun lepas tetapi kemudiannya dimansuhkan.

Mengulas isu ini, Zulhasnan berkata perkara ini sedang diperhalusi oleh kementerian Ong dan ia akan dapat memberi jawapan yang lebih jelas.

Ahli parlimen Setiawangsa juga berkata, satu sesi pertemuan dan perbincangan dengan semua ahli parlimen di Wilayah Persekutuan, termasuk 10 wakil pembangkang, akan diadakan 4 April ini.

"Kita akan menjemput semua ahli parlimen termasuk pembangkang bagi membolehkan mereka mendengar segala rintihan, pandangan dan cadangan yang ingin dibangkitkan oleh wakil rakyat," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Lanjutan daripada itu, kementerian berkenaan akan mengadakan "Retreat Merakyatkan Wilayah Persekutuan" yang dijadualkan pada 17 hingga 19 April depan.

Zulhasnan berkata, selain wakil rakyat, perbincangan ini turut membabitkan ketua-ketua jabatan dan agensi Wilayah Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan penduduk bagi membuka peluang mereka membahaskan masalah, isu dan pandangan terhadap dasar-dasar sedia ada.

"Menerusi cara ini, saya yakin kerajaan menerusi kementerian dan DBKL berupaya untuk memahami aspirasi rakyat dan membolehkan kami memperhalusi, menambah baik dan merangka dasar dan strategi yang berkesan untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur.

"Ia sebahagian daripada pelan strategik kementerian ini. Ia merupakan langkah proaktif Kementerian Wilayah Persekutuan dalam memperkasa sumbangan kami kepada rakyat terutama di Kuala Lumpur," katanya lagi.

Katanya, hasil pertemuan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri bagi membentuk hala tuju baru dan usaha penambahbaikan perkhidmatan di Wilayah Persekutuan.

No comments: