Friday, March 21, 2008

Akhbar digital dengan sedap rasa melaporkan , natara tajuk laporanya berbunyi .....PAS enggan bincang perpaduan Melayu ?

PAS tidak mahu berbincang mengenai perpaduan Melayu sebaliknya hanya bersedia berbincang dengan mana-mana pihak mengenai perpaduan Islam, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang .

Katanya bagi PAS cara untuk menyatupadukan orang Melayu ialah menerusi Islam dan bukannya menerusi bangsa Melayu itu sendiri.

"Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak kerana kita bersifat terbuka dan bagi kita hanya Islam boleh membawa perpaduan dan bukannya Melayu boleh selesaikan perpaduan Melayu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan masyarakat Cina dan India di sini pada hari Jumaat.

Abdul Hadi berkata PAS tidak ada masalah untuk berbincang dengan manamana pihak kerana parti itu sebelum ini telah menyertai pelbagai badan sejak tahun 1960an lagi seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan Majlis Pembangunan Ekonomi Negara (MAPEN).

Akhbar hari ini melaporkan cadangan 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang akan memainkan peranan menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam.

Abdul Hadi berkata Umno kini tidak lagi boleh bercakap isu dan soal Melayu dan Islam kerana imej parti itu telah rosak.

Mengenai dakwaan terdapat usaha untuk "membeli" Anggota Parlimen Barisan Nasional bagi menyertai parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak, Abdul Hadi berkata jika benar perkara itu berlaku ia haruslah dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah.

"Biar BPR siasat, dan bagi PAS, kita memilih wakil rakyat secara demokratik dan bukannya membeli mana-mana wakil rakyat tetapi berdasarkan kepada pengalaman, kita tahu BN pernah cuba membeli wakil rakyat PAS di Kelantan", katanya.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang turut hadir pada perjumpaan itu, berkata kerajaan PAS telah memberi tanah kepada kaum bukan bumiputera di Kelantan bagi membolehkan mereka membuka perkampungan. BERNAMA