Kata TPM .....Negara kebajikan: Kita boleh bankrap ?
Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran Malaysia boleh bankrap jika konsep negara kebajikan yang ditawarkan oleh Pas diterima dan dipraktikkan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, konsep tersebut membawa pengertian bahawa seseorang yang tidak bekerja juga akan mendapat bayaran bulanan daripada kerajaan.
Keadaan ini, kata beliau, menyebabkan kerajaan pada masa sama terpaksa pula mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka yang mampu.
‘‘Sedangkan kita telah melihat bagaimana negara maju yang mengenakan cukai yang tinggi akhirnya tidak dapat dipertahankan.
‘‘Apatah lagi kita sebagai negara sedang membangun, kalau ada dasar mereka yang tidak bekerja pun mendapat bayaran setiap bulan, maka itu alamat negara kita akan menjurus kepada lembah sebuah negara yang bankrap,’’ kata beliau.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan Rumah Harapan Kanak-Kanak Malaysia di Kampung Baru Labu Lanjut, Salak Tinggi di sini hari ini.
Rumah perlindungan anak-anak yatim yang menghidap AIDS/HIV bernilai RM1.3 juta itu dikelolakan oleh Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM).
Hadir sama pada majlis tersebut ialah isteri beliau yang juga penaung YHKM, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik.
Menurut Najib, pada masa ini, lebih realistik dan praktikal sekiranya amalan sekarang diteruskan iaitu menjadi sebuah kerajaan prihatin yang menekankan kepada pembentukan masyarakat penyayang.
Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan akan terus memastikan tidak ada satu kelompok masyarakat pun di negara ini akan merasakan diri mereka terpinggir kerana tidak mendapat pemberian daripada kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
‘‘Kita akan tentukan dapat menyediakan peluang yang adil serta saksama jika ada kelompok masyarakat yang benar-benar mengharapkan sumbangan kerana tidak mampu bekerja seperti golongan kurang upaya (OKU) atau ibu tunggal.
‘‘Maka dengan cara itu kita dapat tentukan bahawa mereka yang mampu bekerja hendaklah bekerja,’’ katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam negara ini terdapat lebih dua juta pekerja asing tidak termasuk yang memasuki Malaysia secara haram telah mengambil alih pelbagai jenis pekerjaan di negara ini.
‘‘Sehinggakan tukang gunting rambut dan tukang masak juga merupakan pekerja asing.
‘‘Ini belum lagi sampai kepada negara kebajikan sebab kalau semua tidak bekerja, akhirnya negara ini dikuasai pekerja asing,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa pembangkang akan sentiasa menjanjikan sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata.
‘‘Itu kerja pembangkang, tidak hairanlah, apa kita buat dia akan kata sama ada tidak betul atau belum memadai atau belum mencukupi.
‘‘Tetapi apabila diserahkan kepada mereka selama empat tahun di Terengganu, rakyat telah menolaknya dan selama 18 tahun di Kelantan, hari ini angin perubahan bertiup kencang di negeri itu,” katanya.
Mengulas pembinaan Rumah Harapan Kanak-Kanak Malaysia, Najib berkata, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak untuk tujuan tersebut akan memperoleh ganjaran pahala yang besar di sisi Allah kerana ia membabitkan anak- anak yatim.
No comments:
Post a Comment