Wednesday, January 09, 2008


'Pelan Tindakan Isu Perkauman Umno', Pemuda PAS buat laporan polis
Intan Abdullah
Wed | Jan 09, 08 | 5:00:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Hrkh) - Bahang pilihan raya umum kian terasa dengan lebih banyak lambakan isu yang sedang cuba dimainkan oleh pihak yang mahu mencaturkan perjalanan politik semasa tanah air.


Terbaru, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub membuat laporan polis ekoran sepucuk surat yang diterima olehnya pada jam 4 petang semalam di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Surat daripada Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri radzi Sheikh Ahmad kepada Setiausaha dan Ketua-ketua Bahagian Umno dan Barisan Nasional untuk mengambil tindakan bersama ekoran keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti tersebut untuk melaksanakan satu pelan tindakan bersama terhadap 'Isu Perkauman'.

"Kita berasa bimbang dan sangsi dengan isi kandungan surat tersebut yang mengandungi satu 'Pelan Isu Perkauman' yang akan digunakan oleh BN dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada wartawan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Sejurus menerima surat tersebut, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian terus melaporkan mengenai isi kandungan tersebut kepada pihak polis.

"Kita mahu pihak polis membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengenalpasti kesahihan isi kandungan surat tersebut. Jika benar ianya tidak mendatangkan kemudaratan dan bahaya kepada keselamatan serta kestabilan negara, maka kita minta Dato' Seri Radzi sendiri membuat penjelasan dan seterusnya menafikan kebimbangan ini,"jelasnya.

Ketika ditanya mengenai jangkaan pihak Umno-BN akan menggunakan isu perkauman dalam pilihan raya umum kali ini, pihaknya tidak menolak kemungkinan tersebut memandangkan ketika ini sememangnya parti tersebut sedang mengeksploitasi isu-isu perkauman bagi meraih sokongan rakyat terhadap mereka.

Antara isi kandungan tersebut adalah pihak pengirim surat iaitu Radzi meminta kerjasama daripada Ketua dan Setiausaha Bahagian agar memberikan kerjasama yang baik untuk melaksanakan pelan tersebut bagi memulihkan kembali sokongan rakyat kepada BN.

Salahuddin petang tadi turut diambil keterangan dan disoalsiasat selama setengah jam oleh Pegawai Penyiasat Jenayah, ASP Saerah Dollah yang turut meminta beliau mengemukakan pandangan mengenai surat yang diterima itu.



No comments: