Tuesday, January 01, 2008

Pak Lah diambang 2008

Tolak pelampau -- Jangan beri ruang mereka pengaruhi dan tentukan agenda negara - PM


Abdullah Ahmad Badawi, Jeanne Abdullah dan Tengku Adnan Tengku Mansor mengangkat tangan semasa detik jam 12 tengah malam pada sambutan Tahun Baru 2008 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi.


PUTRAJAYA 31 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat supaya tidak memberi sedikit pun ruang kepada golongan pelampau untuk mempengaruhi dan jauh sekali menentukan agenda negara bagi mengelak Malaysia daripada terjebak dalam kancah huru-hara.

Perdana Menteri berkata, segala usaha mestilah dengan matlamat untuk membawa manfaat serta faedah kepada semua rakyat dan bukan kerana menyahut desakan daripada pemikiran sempit golongan itu.

“Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memelihara negara dari terjebak ke kancah huru-hara akibat apa yang dimomokkan sebagai kebebasan bersuara yang tidak mempedulikan perasaan atau sensitiviti orang lain,” katanya dalam Amanat Tahun Baru 2008 yang disiarkan ke seluruh negara malam ini.

Abdullah berkata, kebebasan bersuara tiada ertinya jika tidak diamalkan dengan bertanggungjawab.

“Kita sendiri telah menyaksikan pelbagai musibah dan bencana yang menimpa negara-negara lain akibat daripada amalan kebebasan bersuara yang tiada had, kononnya dianggap mutlak,” katanya.

Mengenai isu kebebasan beragama, Perdana Menteri berkata: “Kita perlu menghadapinya dengan sabar dan berhati-hati serta menjauhkan diri daripada dipengaruhi.

“Kita harus mengambil pendirian untuk menolak cara penyelesaian yang ekstrem. Isu ini tidak boleh diselesaikan melalui demonstrasi jalanan.”

Abdullah berkata, beliau percaya setiap rakyat Malaysia mampu berfikir dan menilai dengan bijak dan tidak akan sekali-kali membenarkan dan merelakan sebarang anasir untuk merosak atau mencemarkan keharmonian yang telah dibina buat sekian lama.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk mempertahankan keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati ini. Sekiranya ada kekurangan dalam pelaksanaan, marilah kita bersama memperkukuhkan dengan jujur dan ikhlas, demi Malaysia tercinta,” katanya.

Beliau berkata, keamanan dan keharmonian dikecapi sejak sekian lama kerana adanya perasaan muhibah, sikap toleran dan cara bersederhana dalam kalangan rakyat hingga berupaya memahami akan orang lain.

Perdana Menteri berkata, perasaan itu jugalah yang telah berjaya merobohkan benteng pemisah yang wujud oleh kerana perbezaan kaum, agama, pangkat mahupun darjat.

“Ini kita lakukan kerana kita arif dan akur bahawa bumi Malaysia ini bukan milik mana-mana individu atau kaum, tetapi adalah milik kita bersama, setiap rakyat Malaysia. Di negara ini, tidak ada warga yang diiktiraf lebih tinggi kerakyatannya daripada warga yang lain,” katanya.

Abdullah yang turut melahirkan rasa simpati kepada ribuan rakyat yang menjadi mangsa banjir, menyifatkan bencana itu merupakan satu ujian daripada Allah bukan sahaja terhadap mereka yang dilanda banjir tetapi juga kepada mereka yang terselamat serta kerajaan.

Beliau bersyukur kerana dalam keadaan seperti itu, perasaan simpati dan kasih sayang serta semangat ingin menolong yang tinggi yang diberikan kepada mangsa tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan dalam masyarakat telah diperlihatkan.

“Begitulah juga halnya, setiap kali berlaku bala bencana, baik di mana sahaja, di bandar atau di desa. Kerana itulah, saya amat berbangga dengan rakyat Malaysia,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua terlibat dalam usaha menyelamat dan membantu mangsa seperti polis, tentera, anggota kerajaan dan orang awam.

Mengimbas kembali pencapaian pada tahun 2007, Abdullah berkata, negara telah merakamkan pelbagai kejayaan yang memberangsangkan dan ia dikecapi hasil daripada perpaduan dan kebersatuan yang telah dipupuk untuk sekian lama.

Perdana Menteri bangga ekonomi negara berkembang pada kadar 6 peratus bagi tahun 2007 berikutan perdagangan serta pasaran saham yang cergas manakala kadar inflasi dan pengangguran berada pada tahap rendah dan terkawal.

Dalam membangunkan modal insan, tahun 2007 menjadi titik permulaan yang menjanjikan pencapaian gemilang dengan pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan pada Januari lalu, diikuti Pelan Strategik serta Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara.

Bagi memastikan faedah pembangunan negara dinikmati secara saksama, tahun 2007 menyaksikan pelaksanaan koridor pembangunan ekonomi secara besar-besaran iaitu di selatan Johor, di wilayah Utara dan di wilayah Pantai Timur.

Abdullah berkata, tahun 2007 juga mempamerkan prihatin kerajaan terhadap nasib rakyat apabila ia mengekalkan harga minyak walaupun harga melambung naik di pasaran dunia, serta memantau harga barangan keperluan asas untuk mengawal kenaikan kos sara hidup.

Sebagai tanda penghargaan serta untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji antara 7.5 dan 42 peratus untuk kakitangan awam pada Julai lalu.

Abdullah berkata, tahun 2007, yang merupakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, menyerlahkan kejayaan negara dalam pelbagai arena di dalam dan luar negara.

“Kemuncak kebanggaan kita rakyat Malaysia untuk tahun 2007 pastinya apabila buat pertama kalinya Malaysia memiliki dua orang angkasawan dengan seorang daripadanya telah ke Stesen Angkasa lepas antarabangsa pada 10 Oktober lalu, dan seorang lagi Insya-Allah akan ke sana pada tahun 2010 atau 2011 nanti,” kata Perdana Menteri.

Tahun Melawat Malaysia 2007 berjaya menarik 20.7 juta pelancong yang menghasilkan pendapatan sebanyak RM45.7 bilion, manakala dalam arena sukan, atlet negara berjaya meraih 68 pingat emas pada Sukan SEA di Korat, Thailand.

Mengenai tahun 2008, Perdana Menteri berkata, ia menjanjikan 1001 cabaran serta rahmat buat semua tetapi rakyat hendaklah bekerjasama untuk membawa keamanan, perpaduan dan kemajuan.

“Mana yang keruh, sama-sama kita buangkan, supaya yang jernih dapat kita nikmati. Mana yang berat, kita pikul; mana yang ringan, kita jinjing.

“Semuanya kita lakukan bersama. Kepada Tuhan kita pohon petunjuk dan rahmat serta berkat.”

– Bernama

No comments: