Monday, September 10, 2007

Laporan Ketua Audit Negara Harus Dapat Pujian, Kata Prof Hamdan

KOTA KINABALU, 10 Sept (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang mendedahkan pelbagai kepincangan dalam pengurusan dana awam seperti yang disiarkan oleh media perlu mendapat pujian semua pihak, kata Aktivis Hak Asasi Manusia dan Pengguna Datuk Prof Dr Hamdan Adnan.

Katanya pendedahan itu bukan sahaja menunjukkan sikap bertanggungjawab kerajaan tetapi juga membuktikan ketelusan pentadbiran dalam menguruskan wang rakyat.

"Oleh kerana laporan tersebut sudah mendedahkan beberapa penyelewengan dana awam yang ketara, saya berpendapat Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu dibawa masuk untuk membuat siasatan terhadap sesiapa yang bertangungjawab," katanya kepada Bernama sebagai mengulas pendedahan Ketua Audit Negara terhadap penyelewengan dana di beberapa kementerian.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas laporan berkenaan mahu kementerian yang terbabit bertanggungjawab terhadap kepincangan yang berlaku.

Laporan Ketua Audit Negara antara lain mendedahkan pembelian pemutar skru yang sepatutnya berharga RM32 menjadi RM224 dan pembelian sebuah kamera digital 3.1 megapixel berharga RM8,254.

Hamdan berkata tindakan tegas perlu diambil bukan sahaja kepada pihak bertanggungjawab terhadap pembelian berkenaan tetapi juga kepada syarikat yang menjadi pembekal barangan berkenaan kerana meletakkan harga tidak munasabah, bagi mengelak perkara seumpama daripada berulang.

-- BERNAMA

No comments: