Saturday, July 28, 2007

Media Cina, India tidak galak muhibah

SEJAK kebelakangan ini isu perkauman dan perbezaan kaum tertonjol lagi. Tetapi apa yang dibincangkan oleh pihak tertentu dan orang awam sebenarnya bukan isu baru. Ia adalah isu lama yang sudah basi tetapi belum lagi diatasi.

Kenapa menjelang kita menyambut Hari Kemerdekaan ke-50 kita dihadapkan dengan masalah seperti ini? Sepatutnya sekarang masalah perkauman dan perpisahan kaum tidak wujud lagi.
Kenapa agaknya berlaku masalah seperti ini?

Ada banyak sebab tetapi salah satu daripada masalah utama ialah media Cina dan India.
Apakah yang telah dilakukan oleh akhbar dan majalah Cina dan India di Malaysia yang boleh dianggap sebagai tidak menggalakkan perpaduan dan semangat muhibah?

Sebabnya ialah hampir seratus peratus kandungannya mengenai hiburan dan sosial mengenai Hong Kong dan India (Mumbai dan Chennai).

Sebenarnya ini tidak salah, tetapi apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kenapa mesti akhbar dan majalah Cina dan India ini membudayakan secara keterlaluan bahan hiburan dari negara asing?

Dan kenapa pula sehingga sekarang tidak ada sebuah akhbar dan majalah Cina dan India yang menyiarkan berita tentang dunia hiburan dan kesenian Melayu.

Malah penolakan kesenian dan kebudayaan Melayu oleh media Cina ini boleh dianggap sebagai salah satu sebabnya masyarakat Cina dan India di Malaysia tidak terdedah dengan kehadiran kesenian dan kebudayaan Melayu yang menjadi teras kebudayaan dan kesenian Malaysia.

Adalah tidak munasabah kalau akhbar dan majalah Cina dan India ‘memboikot’ filem, teater, muzik dan kesenian Melayu dan tidak mendedahkan pembaca dan masyarakat mereka untuk mengenalinya.
Ini juga dapat dilihat dalam penerbitan siri drama Cina dan India tempatan di mana watak Melayu tidak wujud langsung.

Tidakkah ini juga boleh dijadikan alasan kenapa masyarakat atau penonton Cina dan India rasa masyarakat Melayu sebagai sebuah masyarakat asing?

Sepatutnya stesen televisyen tempatan sudah lama tidak menggalakkan penyiaran siri drama dari Hong Kong atau India. Apa yang harus dilakukan ialah semua drama televisyen tempatan dalam bahasa Cina dan India mesti dikeluarkan oleh penerbit tempatan.

Sudah tiba masanya drama dari Hong Kong dan India tidak disiar oleh televisyen tempatan.
Dan semua siri drama mesti mempunyai watak-watak berbilang kaum supaya penonton dari kecil lagi dapat melihat masyarakat Malaysia dalam siri drama.

Ini boleh mencorakkan pemikiran mereka untuk berfikir sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan tidak sahaja sebagai orang Cina atau India.
Drama dan filem Melayu sering menampilkan watak Cina dan India dan ini telah sedikit sebanyak menggalakkan perpaduan kaum.
Dalam awal dekad 1980-an dulu saya pernah melihat anak Cina dan India menonton filem Melayu di pawagam. Tetapi oleh sebab mereka telah tidak digalakkan oleh media syarikat keturunan Cina dan India yang menggembar-gembur bahan hiburan dari Hong Kong dan India tanpa memberi publisiti kepada filem Melayu, maka minat orang Cina dan India tempatan terhadap filem tempatan sudah berkurangan.

Saya berani berkata di sini bahawa media bukan Melayulah yang merupakan salah satu faktor kenapa terdapat masalah perpecahan kaum di Malaysia sekarang.

Jadi saya syorkan kepada kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi memastikan akhbar dan majalah Cina dan India di Malaysia supaya tidak memberi publisiti terlalu meluas kepada bahan hiburan dari Hong Kong dan India.

Dalam konteks ini saya syorkan semua surat khabar dan majalah mempunyai ruang khas untuk membincangkan kebudayaan dan kesenian, muzik dan filem tempatan supaya pembaca dan masyarakat Cina dan India terdedah dengan kegiatan seni dan kebudayaan kita.

Ini dapat dilihat dalam akhbar dan majalah Melayu yang sering menyiarkan berita tentang kebudayaan dan kesenian Cina dan India. Tetapi sebaliknya tidak berlaku.

Cuma dengan memahani kebudayaan dan kesenian tempatan kita boleh wujudkan satu masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat muhibah.

– MANSOR PUTEH,
Kuala Lumpur.

1 comment:

Holy River said...

Saya kurang pasti tentang dakwaan Encik Mansor yang mengatakan media India dan Cina tidak menggalakkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat negara kita. Hal ini kerana bagi pendapat saya, tindakan media India dan Cina tidak banyak bezanya dengan media Melayu dan Inggeris di Malaysia. Encik Mansor mendakwa sehingga hari ini tidak ada sebuah akhbar dan majalah Cina dan India yang menyiarkan berita tentang dunia hiburan dan kesenian Melayu. Peliknya, Encik Mansor membuat pendakwaan ini seolah-olah media Melayu mempromosikan hiburan dan keseniaan Cina dan India tempatan. Sehingga hari ini, tiada akhbar Melayu yang mempamerkan rencana tentang hiburan dan keseniaan Cina dan India tempatan. Sebaliknya, mereka lebih ghairah mempromosikan hiburan Indonesia, Latino, Korea, Jepun dan semestinya Hollywood, yang sering dikaitkan dengan punca utama berleluasanya maksiat dalam kalangan golongan muda negara kita.

Encik Mansor juga dengan beraninya mendakwa 'penolakan kesenian dan kebudayaan Melayu oleh media India dan Cina ini boleh dianggap sebagai salah satu sebabnya masyarakat Cina dan India di Malaysia tidak terdedah dengan kehadiran kesenian dan kebudayaan Melayu yang menjadi teras kebudayaan dan kesenian Malaysia'. Setelah difikirkan, saya mengaku ada kesahihan pada kenyataan beliau. Namun, sekiranya beliau ingin menegur media India dan Cina, beliau juga perlulah bersikap adil dengan menegur media Melayu juga atas sebab yang sama. Namun dakwaan beliau yang mengatakan media India dan Cina tidak menyemai semangat muhibah adalah fitnah semata-mata. Hanya kerana kedua-dua medium media ini tidak memaparkan seksyen khas bagi mempromosikan artis Melayu, tidak bermaksud mereka tidak bersikap muhibah. Mereka juga mengadakan rencana khas tentang tokoh-tokoh kebangsaan, warisan negara dan banyak lagi.

Saya tidak menolak dakwaan Encik Mansor 100%. Namun tindakan beliau melemparkan tuduhan terhadap media India dan Cina sahaja merupakan suatu tindakan yang berat sebelah. Malah, berani juga saya katakan mentaliti orang-oang seperti Encik Mansorlah yang menjadi punca isu perkauman tertonjol. Saya berharap Encik Mansor akan menbuat penyelidikan yang lebih mendalam tentang isu-isu seperti ini sebelum disiarkan dalam internet. Sekian terima kasih.