Monday, July 30, 2007

Laporan Khas: Guru mesti diberi kepercayaan


Ibu bapa tidak patut melenting bagi memastikan anak menjadi 'manusia'

SAYANG isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan”. Begitulah betapa masyarakat dulu menggambarkan kaedah terbaik menunjukkan perasaan kasih sayang kepada keluarga tercinta. Nampak seakan ada unsur penderaan, tetapi ia sudah diakui berabad-abad lamanya sebagai langkah terbaik menzahirkan rasa sayang.
Justeru, apabila masyarakat mula memperkatakan mengenai kes yang kononnya dilabelkan sebagai penderaan guru terhadap pelajar, peribahasa itu wajar disorot kembali untuk sekurang-kurangnya memberi ruang kepada semua yang terbabit merenung seketika apa sebenarnya berlaku.Apakah wajar tindakan guru menghukum pelajar dengan tujuan mendidik dilabelkan sebagai penderaan sedangkan pada mata masyarakat, guru adalah insan paling tepat menyampaikan pendidikan serta bimbingan pada saat ibu bapa sibuk dengan urusan duniawi.
Ketika isu ini mula diperdebatkan menerusi media dari semasa ke semasa, mula timbul pandangan pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang mencemuh, memaki dan memperlekehkan guru, namun tidak kurang juga bersimpati dengan guru yang dari hari ke hari terus dibeban dengan tugas serta amanah yang semakin berat.Apa yang pelik dalam senario ini ialah apabila ibu bapa yang memukul canang mengatakan anak mereka didera, adalah mereka yang dibesarkan dengan sebatan rotan, suara herdik, malah mungkin ada pernah diketuk dan ditampar guru pada zaman persekolahan mereka.
Persoalannya, adakah ketika itu ia dianggap satu penderaan, malah adakah mereka gagal dididik menjadi seorang ‘manusia’?Sedih memikirkan senario ini apabila profesion perguruan kini diperkotak-katikkan dengan pelbagai tohmahan yang semakin merendahkan martabat pendidik sehingga ada di kalangan mereka sudah tidak bangga lagi digelar guru.
Namun, pada masa sama memang tidak dapat dinafikan ada di kalangan guru yang terkadang hilang pertimbangan dan melakukan hukuman melampaui batasan serta norma sewajarnya sebagai seorang pendidik. Golongan guru sebegini walaupun jumlahnya mungkin terlalu kecil, tetapi jelas mencalar seluruh institusi itu yang selama ini amat diagungkan.Perhatikan saja apa yang didedahkan media sejak akhir-akhir ini yang menunjukkan ada juga kalangan guru menghukum pelajar secara melampau, malah ada pandangan sesetengah pihak melabelkannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Antaranya, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohd Noor, yang menyatakan bahawa tindakan guru menjatuhkan hukuman kepada mereka yang tidak bersalah sebagai tindakan yang sangat kejam dan tidak boleh diterima dalam budaya masyarakat timur.Ada kebenarannya juga jika kita membincangkan dari sudut etika keguruan kerana sebagai guru dibekalkan dengan pelbagai kaedah melalui subjek psikologi pendidikan ketika mereka belajar di institusi perguruan, sewajarnya guru tahu menilai apakah tindakan terbaik mendidik pelajar.Namun, mendalami isu ini adakah seluruh institusi perguruan menerima tekanan oleh kesilapan dilakukan sebilangan kecil guru yang boleh dianggap bermasalah ini? Wajarkah habis lumpur terpalit kerana seekor lembu?Justeru, jika kerana isu ini moral guru mula jatuh dan sudah hilang keikhlasan dalam melaksanakan tugas, siapa yang rugi?
Apa yang pasti guru tetap akan dibayar gaji walaupun mengajar dengan sambil lewa. Bukannya susah untuk guru memprotes apa yang sudah menimpa mereka kini, tetapi pernahkah guru bertindak sedemikian?Masyarakat perlu membuka mata seluasnya melihat betapa perit dan getirnya tugas guru mendidik anak mereka dan walau keadaan kronik melanda, guru tetap meneruskan keazaman mereka memikul amanah menghasilkan ‘manusia’.
Pokok pangkal kepada semua senario ini, ibu bapa perlu merenung sejenak tujuan mereka menghantar anak ke sekolah. Adakah sekadar menumpangkan anak sepanjang tempoh mereka bekerja atau benar-benar ikhlas untuk melihat anak mereka memperoleh manfaat ilmu di sekolah.Jika inginkan anak mereka berhemah, berdisiplin dan terpelajar, tanamlah sepenuh kepercayaan kepada guru untuk menjalankan tugas mereka dengan penuh selesa. Janganlah kongkong dan beri lebih tekanan kepada pendidik. Sudahnya, anak mereka juga yang akan kerugian.Pada bahu 350,000 guru seluruh negara terletaknya tanggungjawab besar untuk melihat lebih lima juta pelajar menjadi manusia kental jati diri dan bukan menjadi insan manja dan lembik seperti apa yang berlaku sekarang lantaran sikap ibu bapa sendiri.
Justeru, pengumuman Kementerian Pelajaran untuk melihat semula peraturan yang digunakan dalam garis panduan pelaksanaan disiplin di sekolah haruslah memberi lebih ruang kepada guru menjalankan tugas mereka tanpa kekangan lagi.Janganlah pula ada pihak yang berasakan tindakan itu sebagai tidak adil kepada pelajar kerana adalah sangat adil sekiranya guru menjalankan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan melahirkan pula pelajar yang sangat berkualiti dalam pelbagai aspek.
Kesimpulannya mudah, adakah ibu bapa inginkan anak mereka diberi perhatian atau dibiarkan begitu saja melakukan apa saja. Jangan sampai ada guru yang berkata, “Lantaklah apa nak jadi dengan anak dia kerana kalau kita ambil berat sekalipun dia bukan suka. Lagi elok kalau kita tak ambil tahu langsung. Bukan kita yang rugi.”

No comments: