Tuesday, May 08, 2007

.2 juta naik gaji -- PM setuju formula kenaikan ambil kira jurang pendapatan kakitangan awam


Kira-kira 1.2 juta kakitangan awam akan menerima kenaikan gaji baru tidak lama lagi menggunakan formula yang mengambil kira jurang pendapatan antara kakitangan kumpulan rendah dan pegawai tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengesahkan kesediaan kerajaan untuk menimbangkan kenaikan gaji sektor awam berkata, formula gaji baru tersebut sedang diperhalusi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau berkata, semua kakitangan awam bakal menerima kenaikan gaji, tetapi kerajaan perlu memberi perhatian kepada golongan berpendapatan rendah kerana kos sara hidup yang meningkat membebankan mereka.
‘‘Semua (kakitangan) akan menerima kenaikan, cuma yang berbeza nanti adalah jumlahnya,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Forum Halal Sedunia 2007 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut beliau, jurang pendapatan sedia ada yang terlalu lebar tidak baik kerana ia akan menjadikan mereka yang berpendapatan tinggi terus mempunyai lebih kemampuan, manakala kakitangan kumpulan rendah berhadapan dengan masalah kewangan.
Khabar gembira kenaikan gaji kakitangan awam itu diumumkan oleh Abdullah semasa beliau berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini.
“Kakitangan awam akan menikmati kenaikan gaji kerana mereka ‘berhak’ mendapatkannya.
‘‘Usul ini sedang dipertimbangkan dan saya rasa anda semua wajar mendapat kenaikan gaji. Sudah sewajarnya difikirkan tentang banyak mana, tetapi soal banyak mana, hanya Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam seorang yang tahu. Saya tak tahu,” katanya.
Sementara itu, Ismail ketika ditemui pada majlis yang sama memberitahu, kajian mengenai kenaikan gaji kakitangan awam kini berada di peringkat akhir penelitian JPA.
Ditanya sama ada kumpulan berpendapatan rendah akan menikmati peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada kumpulan pegawai tinggi, Ismail menegaskan bahawa pendekatan yang digunakan adalah serupa seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.
Katanya, ia juga sama seperti yang diminta oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Ketika ditanya bilakah kajian mengenai kenaikan gaji tersebut akan diserahkan kepada kerajaan, Ketua Pengarah JPA itu berkata: ‘‘Tunggulah... Perdana Menteri akan umumkan.”
CUEPACS dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri baru-baru ini menuntut kerajaan membuat semakan gaji dengan kenaikan antara 20 dan 40 peratus, selain mahukan persaraan kakitangan awam dilanjutkan sehingga 60 tahun dan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dihapuskan.
Kongres itu mencadangkan kenaikan gaji 40 peratus untuk kumpulan sokongan II (Gred 1-16) yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam, manakala kumpulan sokongan I (Gred 17 hingga 26 dan Gred 27 hingga 40) pula menikmati kenaikan gaji sebanyak 30 peratus.
Bagi kumpulan pengurusan dan profesional (Gred 41 hingga 54) CUEPACS mencadangkan mereka diberi kenaikan gaji sebanyak 20 peratus manakala para penjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) diberi kenaikan gaji sebanyak 10 peratus.
Ketika merasmikan Perhimpunan Hari Pekerja 2007 di Stadium Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur kelmarin, Abdullah memberitahu, cadangan semakan gaji itu kini dalam ‘pertimbangan aktif’ JPA.
Kali terakhir kerajaan membuat semakan gaji kakitangan awam ialah pada 1992.
Perdana Menteri menjelaskan, pengumuman mengenai kenaikan gaji berkenaan akan dibuat apabila kajian mengenainya selesai.
Beliau berkata, kedudukan kewangan negara serta beberapa faktor lain perlu diambil kira dalam menentukan kadar kenaikan gaji yang dicadangkan itu.
Abdullah secara berseloroh berkata, beliau memilih untuk bercakap mengenai isu kenaikan gaji pada perhimpunan bulanan kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini “kerana kakitangan awam sudah tidak berminat untuk mendengar perkara lain lagi.”
‘‘Ada orang kata dah lama dah tak dapat kenaikan gaji. Ada pula yang cakap sistem penyampaian perkhidmatan awam tak elok lagi, macam mana mereka nak naik gaji.
“Ada yang cakap gaji perlu dinaikkan kerana kos hidup makin tinggi. Macam-macam saya dengar dan saya tahu bahawa sudah lama kita tak pertimbangkan untuk kenaikan gaji,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, walaupun kenaikan gaji sudah lama tidak dibuat, kerajaan tetap memberikan beberapa elaun lain seperti Elaun Kos Sara Hidup (COLA) kepada kakitangan kerajaan.
Pada majlis yang sama, Abdullah meminta kakitangan awam memberi perhatian kepada usaha-usaha meningkatkan mutu perkhidmatan awam dengan memberi tumpuan kepada aspek kecekapan, kepantasan serta keadilan dalam bekerja.
‘‘Kita mesti bekerja dengan cekap, cepat dan adil, barulah orang puas hati. Memang kerja kita banyak tetapi apa boleh buat, kita kena buat sebab itu merupakan kerja kita.
‘‘Kita tak boleh hadkan perhatian kita pada 10 fail kalau fail di depan kita bertimbun-timbun. Kita tak boleh kata kita nak terima surat rayuan sekian banyak sahaja sedangkan yang sampai ke meja kita berpuluh-puluh, beratus-ratus,” tegasnya.
Menurut Abdullah, semua itu memerlukan perhatian kakitangan awam yang bertanggungjawab menguruskannya secara efisien.

No comments: